Berita

Dasar bersama Pakatan Harapan atasi kebimbangan orang Melayu

KUALA LUMPUR 18 JAN: Pakatan Harapan meletakkan tiga perkara yang menjadi asas kepada kerangka dasar bersama yang bersifat radikal tetapi spesifik termasuk mengatasi  isu yang menjadi kebimbangan orang Melayu.

“Kita akan bangkitkan isu orang Melayu secara jelas, kreatif dan objektif terutama dalam perkara yang menjadi kebimbangan Melayu yang sering dimainkan UMNO,” kata Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

Beliau ketika menjawab soalan, bagaimanapun menegaskan tumpuan terhadap isu orang Melayu bukan bermaksud meminggirkan isu membabitkan kaum lain.

“Cara komunikasi dengan pengundi Melayu perlu penambahbaikan. Ia bukan pinggirkan kaum lain tetapi apabila kita bentang dasar bersama nanti, rakyat akan lihat kita ada penyelesaian menyeluruh dalam iisu semua kaum,” katanya.

Pada sidang media bersama pimpinan Pakatan Harapan di ibu pejabat DAP, hari ini, beliau berkata, tiga perkara itu menjadi asas kepada program, pendirian dan dasar yang membabitkan isu utama dan dikupas secara terperinci.

SUFI7405Perkara pertama, katanya ialah penekanan kepada merangka program untuk menangani isu kebajikan, sosio-ekonomi dan politik masyarakat Melayu tanpa mengabai kepentingan kaum lain.

“Perkara kedua ialah isu peluang pekerjaan dan dasar guna tenaga serta modal insan. Pada 2009 dan 2010, isu pengangguran anak muda, kenaikan harga barang, kita tak tonjolkan. Kali ini kita akan kupas dengan lebih mendalam,” katanya.

Perkara ketiga, kata Rafizi ialah mengenai sistem pendidikan yang menyeluruh, adil dan mampu menjadikan Malaysia yang berbeza untuk melahirkan masyarakat berkualiti dan bertanggungjawab.

Terdahulu, Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pembentukan dasar bersama itu, sebahagiannya pengukuhan dasar bersama ketika Pakatan Rakyat,  akan diumumkan secara berperingkat-peringkat.

“Kali ini ada kelainan kerana kita perlu lebih radikal dan fokus isu utama yang sangat penting untuk rakyat, ia akan diumumkan secara berperingkat sebelum Konvensyen Pakatan Harapan 16 Julai ini,” katanya.

Antara pimpinan Pakatan Harapan yang hadir ialah Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke; Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir; Ketua Penerangan Amanah, Khalid Samad; Pengarah Strategi Pilihanraya DAP, Dr Ong Kian Ming; Penolong Setiausaha DAPSY Kebangsaan, Rajiv Risyakaran dan beberapa lagi.