Berita

Fitnah Guan Eng: Tantawi kesal, akui tulisannya tidak berasas

GEORGETOWN 18 JAN: Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan hari mengaku kesal kerana artikel tulisannya yang melempar beberapa tuduhan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada 6 Ogos 2014 tidak berasas.

“Kami memutuskan untuk tidak memanjangkan kes berkenaan. Saya membuat keputusan untuk menarik balik sebahagian artikel yang menyinggung Lim kerana ia tidak mempunyai asas,” katanya yang membaca kenyataannya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini.

Mahkamah sama turut juga memerintahkan Nasrudin yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat itu membayar RM10,000 sebagai pampasan kepada Guan Eng. Penghakiman persetujuan itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman, Lim Chong Fong, pagi tadi.

Memetik Buletin Mutiara, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata: “Selepas kita menunjukkan dokumen, akhirnya beliau menerima kebenaran bahawa Kerajaan Negeri memang mengamalkan tender terbuka.

“Ini kerja Tuhan, iaitu menunjukkan kebenaran itu benar.”

Guan Eng menyaman Nasrudin kerana mendakwanya menggunakan rundingan terus untuk penganugerahan projek RM4.63 bilion kepada Konsortium Zenith BUCG Bhd.

Nasrudin dalam artikel yang disiar di facebook itu mendakwa Guan Eng memberi projek secara rundingan terus walaupun Pakatan Rakyat menentang cara berkenaan.

Beliau kemudian mempersoal mengapa Guan Eng tidak dibidas kerana projek itu sedangkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim diselar dan didesak meletak jawatan kerana projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX).

Pemimpin PAS itu juga mempersoal ‘perbelanjaan berlebihan’ sebagai sesuatu yang tidak perlu apabila Pulau Pinang mencatatkan bajet defisit selama enam tahun berturut-turut sedangkan ia tidak benar.

Projek Kidex antara sebab utama mengapa PKR mahu menggantikan Khalid sebagai menteri besar.

Kos projek itu dianggar bernilai RM161 juta dengan tempoh konsesi selama 48 tahun.