Rencana

Sumpah diingkari, tanah dipijak milik siapa?

 

BELUMPUN sinar pagi tumpah ke bumi, kami sudah mendaki, membelah kabus laluan banjaran Crocker. Hari masih awal saat mulakan perjalanan dari Kota Kinabalu sejak jam 5.30 pagi sebelum tiba sekitar 8 pagi, sempat juga bersarapan di pekan Keningau.

Sekitar jam 9 pagi, orang ramai sudah mula berkumpul. Sebahagian mereka mengenakan pakaian tradisi suku Murut, sejenis jaket kulit kayu dinamai ‘babaru puputul’ bagi lelaki dan ‘pinongkolo’ iaitu baju lengan panjang berwarna hitam bagi wanita.

Mereka turun menyambut 31 Ogos dengan bersemangat dan harapan. Kelihatan juga beberapa pegawai polis, ada berseragam dan ada berpakaian preman. Ada yang merakam video, juga gambar.

Kenderaan berhenti di bahu jalan. Lokasi kami benar-benar di kawasan lapang bawah kanopi besar dua pohon sena tua yang gah di sebuah sudut jalan. Beberapa aktivis DAP dan pemimpin tempatan menyambut kami.

Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai dan rombongan DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur disantuni mesra dan bersalam-salaman dengan pemimpin tempatan dan aktivis parti, tidak terkecuali anggota polis bertugas.

Kami kemudian dibawa ke depan sebuah binaan sederhana yang dikonkrit. Hari ini, sebuah lagi tugu peringatan Batu Sumpah akan dilancarkan penuh tradisi.

“Selamat datang Datuk…” kata seorang pemimpin tempatan.

“Ya, terima kasih…” jawab Tan Kok Wai.

IMG_1926Orang pedalaman Sabah memang gemar memanggil pimpinan DAP dengan gelaran Datuk. Bicara santun mereka mengharukan, malah suka berseloroh. Nilai warisan budaya masih utuh jadi amalan.

Gerakan Batu Sumpah dilancarkan pada Januari 2013, diasaskan Majlis Perundingan Orang Asal DAP Sabah. Gerakan itu diketuai Dr Edwin Bosi. Ia kesinambungan perjuangan tokoh ulung Sabah terdahulu yang mengangkat isu pokok rakyat pedalaman yang terabai dari segi kebebasan agama, hak tanah dan adat.

Pertemuan dengan Tan Sri Richard Lind di kediamannya pada 28 Ogos amat bermakna. Ziarah bersama pimpinan DAP Sabah itu bertujuan menemu ramah dan melihat beberapa dokumen penting Batu Sumpah Keningau.

Richard ialah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Pegawai Daerah Keningau yang mengiringi wakil kerajaan Persekutuan ketika itu, Tan Sri V Manikawasagam (Menteri Kerja Raya) untuk merasmikan Batu Sumpah Keningau pada 31 Ogos 1964.

Rasa bertuah dapat bertemu dengan tokoh Sabah itu. Banyak beliau kongsikan terutama mengenai jaminan kerajaan Malaysia kepada masyarakat orang Asal Sabah.

Ritual pentahbisan

Lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku dinyanyi penuh semangat bagi memulai majlis. Kemudian, semua mata tertumpu pada tugu peringatan itu sebelum seorang tua botak berkaca mata maju sambil memegang kayu, ‘bobolian’ itu namanya Gimbun bin Pandikar dari Kampung Alab, Sook.

Beliau bertinggung di sebelah binaan tugu yang digantung seekor ayam yang diikat bersebelahan. Mulutnya mula melacak mentera, doa dan sumpah dalam bahasa Murut. Kayu dihentak sekali ke perut bumi setiap selesai satu ayat.

Kemuncak ritual, ayam disembelih dan darahnya dibiar memercik ke batu. Termeterailah sumpah darah pada ‘batu sumpah’ mengikut tradisi Murut. Saya cuma memerhati khusyuk kerana pertama kali melihat upacara sumpah dilaksanakan.

Bagi kawasan yang majoriti penduduk Kristian seperti di Merotai, upacara itu digantikan dengan bacaan doa pemberkatan.

Usai pentahbisan dan bergambar kenangan, kami menuju ke sebuah dewan restoran bagi acara sempena Sambutan Hari Kebangsaan DAP Sabah dan pelancaran program Land for the landless oleh Majlis Perundingan Orang Asal DAP Sabah.

Tanah dipijak milik ‘syarikat’.

Bobolian Gimbun bin Pandikar bukan datang suka-suka. Beliau bersama teman dari beberapa kampung lain membawa bersama rasa marah dan pilu. Tanah yang mereka diami, yang mereka usahakan kini milik orang – milik syarikat yang diberi restu kerajaan BN Sabah.
IMG_1979Konflik pemilikan dan pemberian tanah adat kepada syarikat merupakan pencabulan besar terhadap jaminan kerajaan Malaysia pada batu sumpah. Jauh lebih penting, tanah adalah hidup mati orang asal.

Kira-kira 300 penduduk dari beberapa kampung yang terjejas akibat ‘rampasan’ tanah adat memenuhi ruang dewan. Selesai perasmian, wakil penduduk naik ke pentas untuk berkongsi kisah masalah tanah.

Mengikut Matawas, 59 dari Kampung Alab di Sook di sempadan Keningau, sebuah syarikat swasta meneroka tanah adat untuk menanam 40,000 hektar getah.

“Kami umpama pelarian di kampung sendiri. Kami dianggap menceroboh tanah orang sedangkan sejak belum merdeka lagi, kami menetap di sana.

“Syarikat itu bukan sahaja ceroboh tanah tetapi juga tidak hormati kami. Mereka robohkan rumah adat yang kami dirikan atas tanah kami…,” katanya yang geram kerana syarikat itu pula tidak takut kepada mereka kerana lesen meneroka tanah diberi kerajaan BN Sabah.

“Inilah yang terjadi di kampung kami. Kerajaan sekarang bukan lagi berjiwa rakyat tapi berjiwa syarikat,” katanya.

Matawas hanyalah seorang dari ribuan penduduk yang terjejas akibat rampasan tanah adat.

Sudah tentu, perjuangan Gerakan Batu Sumpah bukan sekadar kempen mengenang sejarah. Jauh dari itu, ia perjuangan hidup mati masyarakat orang Asal Sabah dalam mempertahan hak dan masa depan mereka.

Tanah yang dipijak milik orang, siapa tak terkilan tanahnya diambil sedemikian rupa? Tambahan pula, termeterai sudah sumpah dan janji.

Petang itu, kami pulang ke Kota Kinabalu untuk program seterusnya. Kepulangan itu mengambil laluan Tambunan dengan pemandangan hutan dan bukit-bukau nan indah.

Mungkinkah keindahan itu juga bakal menjadi milik syarikat, hanya menunggu masa disodok jentolak? – Roketkini