Rencana

Tawaran baru untuk Malaysia

 

KETIKA krisis besar melanda dalam semua aspek, Datuk Seri Najib Razak dan UMNO seperti sudah tiada harapan. Namun mereka boleh saja terus bertahan dengan mencipta “Insiden Low Yat” berulang kali untuk melagakan anak muda miskin dengan alasan perkauman – anak muda berbangsa Cina mana yang akan bekerja di kedai telefon bimbit untuk gaji tidak seberapa jika mereka kaya?

Bolehkah kita DAP melihat nasib yang dikongsi golongan 60 peratus golongan bawahan yang terdiri daripada anak muda Melayu dan Cina ini? Bolehkah kita nyatakan dengan jelas keinginan dan aspirasi mereka bawah satu nafas?

Soalan yang lebih penting lagi: Adakah kita benar-benar mengenali mereka? Adakah kita benar-benar mengenali siapakah orang Melayu itu? Apakah orang Melayu itu? Di manakah orang Melayu itu?

Sangat menyedihkan apabila ada antara kita melihat orang Melayu sebagai satu entiti dengan satu set watak karikatur. Sebagai contoh, kita tidak sedar kita sedang bersikap rasis apabila melihat kebanyakan Melayu sebagai polis, pegawai penguatkuasa, mat rempit, dan sebagainya.

Sama juga dengan hanya melihat orang Cina sebagai orang kaya dan ahli perniagaan yang sentiasa mahu menipu orang Melayu. Selepas 50 tahun, naratifnya tetap sama. Ini sangat menyedihkan.

Apabila berbicara tentang kaum, ada tiga perkara ingin saya kongsi.

Pertama, identiti boleh berubah bentuk dan tidak tetap.

Sehingga Perang Dunia Kedua tamat, kebanyakan etnik Melayu tidak memanggil diri mereka sebagai Melayu. Mereka pertama-tamanya mengaitkan diri mereka dengan tempat asal di Semenanjung atau kawasan daerah di Indonesia tempat mereka datang. Perkara sama juga untuk etnik Cina yang melihat diri mereka sebagai Hokkien, Hakka, Kantonis dan sebagainya.

Dari mula, DAP berhasrat melahirkan sebuah Malaysia di mana setiap individu melihat diri sebagai rakyat Malaysia dahulu. Kita gelarnya Malaysia Untuk Rakyat Malaysia. Sementara itu, selepas 10 tahun menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan idea Bangsa Malaysia.

Kedua-dua idea ini ada sedikit-sebanyak persamaannya. Selama 14 tahun dari pelancaran Wawasan 2020 pada 1991 sehingga hari Hishamuddin Hussein menghunuskan kerisnya pada Julai 2005, Dr Mahathir telah menjadikan orang Amerika, Yahudi, Britain, Australia dan Singapura sebagai musuh, tetapi wacana tentang kaum tempatan masih tidak banyak kedengaran.

Saya selalu rasa lambaian keris dan peralihan UMNO kepada politik-sayap-kanan pada 2005 sebagai langkah politik paling bodoh dalam sejarah Malaysia. MCA, MIC dan Gerakan telah ‘mati’ sejak 2005. Jadi saya harap kita tidak hidupkan mereka semula.

Kedua, politik identiti datang bersama mekanisme defensif.

Seorang ahli antropologi Australia tiba di perkampungan Kristian di Indonesia di Kalimantan dan bingung melihat setiap upacara Kristian di kampung itu dijalankan dengan mengorbankan daging babi. Sebagai seorang Kristian, beliau keliru.

Hanya setelah berbulan kemudian selepas mengembara keluar dari kampung itu, beliau sedar ia satu mekanisme defensif. Kampung itu dikelilingi enam kampung Muslim. Daging babi itu merupakan cara untuk orang Kristian membezakan diri mereka dengan orang Islam.

Etnik Cina di Malaysia, terutamanya generasi saya, membesar dengan tanggapan bahawa Tarian Singa merupakan komponen terpenting budaya Cina. Saya baru sedar tiada negara lain di dunia termasuk China dan Taiwan, melihatnya sebegitu pada zaman itu.

Siapa yang menyebabkannya? Tan Sri Ghazali Shafie. Menteri Dalam Negeri ketika itu memberitahu orang Cina bahawa lebih baik menari menggunakan simbol negara, Harimau berbanding Singa.

Dalam contoh seterusnya, saya tidak berniat menyamakan agama dengan sistem persekolahan. Tetapi dalam politik identiti, Islam diuar-uarkan selepas 13 Mei kerana Muslim merasakan keperluan psikologi untuk ada identiti jelas untuk berdepan dengan bukan Melayu. Begitu juga dengan orang Cina yang berhimpun demi sekolah Cina kerana merasakan identiti mereka bakal dinafikan.

Tetapi pada hari ini, kebanyakan Muslim memang mengamalkan agama mereka dan ada pula menghabiskan banyak masa mempelajarinya. Seperti itu juga, 90 peratus orang Cina mempunyai pendidikan Cina sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun. Keadaan berbeza pada masa ini.

Adakah masyarakat merasakan identiti mereka terancam? Jawapan saya ialah ‘ya’ dan ‘tidak’. Jika garis tempur diukur melalui ‘Muslim vs bukan-Muslim’, semua orang akan memasang antena defensif. Mustahil untuk sebarang hinaan tidak dibalas dengan apa-apa reaksi.

Jadi apabila UMNO menghunus keris atau Perkasa melakukan perkara-perkara kurang cerdik, semua kaum bukan-Melayu rasa dihina. Itulah masalahnya apabila kita membenarkan diri masuk ke dalam mod “pantang dicabar”.

Tetapi DAP perlu sangat jelas tentang perkara ini. Kita tidak harus bermain ‘permainan’ mereka. Kita mesti jaga adab dan tertib, kita mesti pimpin penyokong kita agar jadi menjaga adab dan tertib, dan bawa mereka keluar dari menilai dari profail perkauman.

Ketiga, di manakah orang Melayu?

Kadang-kala, saya dapati ahli politik pembangkang Melayu sendiri yang memandang orang Melayu sebagai mundur, kampungan dan emosional. Setiap kali saya dengar sesiapa mengaitkan Melayu dengan perkataan ‘kampung’, saya fikir orang itu tidak hidup dalam realiti.

Sebilangan besar orang Melayu tinggal di pusat bandar dan pekan di pinggir bandar. Sebilangan besar orang Melayu menggunakan telefon bimbit dan internet. Sebilangan besar orang Melayu menggunakan Whatsapp dan Facebook.

Penduduk luar bandar amatlah sedikit. Seperti orang Cina dari pekan kecil, walaupun mereka mendaftar undi di kawasan luar bandar, mungkin separuh daripada mereka tinggal di bandar atau pekan.

Jika anda pernah menghabiskan pagi anda di depan Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, anda akan dapati yang bekerja di pasar Pudu lama itu majoritinya pekerja asing dan separuh daripada mereka, kalau bukan semua, pelanggannya adalah orang Melayu.

Orang Melayu, sama seperti orang lain, membuat pilihan politik rasional. Mereka bermaruah seperti individu lain. Kita mesti melayan setiap rakyat Malaysia sebagai warganegara yang matang dalam pendekatan kita.

Dan yang paling penting, kita mesti melihat keperluan asas setiap warga Malaysia. Semua mahukan pekerjaan yang baik, rumah lengkap, kesihatan baik, pengangkutan lancar, pendidikan baik, penghormatan, maruah.

Maka, kita mesti menetapkan agenda kita dan tidak membiarkan orang lain menetapkannya untuk kita. Bukan UMNO, bukan PAS.

Realiti pahit

Bayangkan seekor gajah, atau mana-mana haiwan besar lain, dirantai sejak kecil. Selepas sedekad atau dua bila rantainya dibuka, gajah itu akan hadapi kesukaran bergerak secara bebas. Memandangkan ia sudah dirantai untuk jangka masa panjang, ia tidak tahu bagaimana caranya menikmati kebebasan yang baru diperoleh.

Inilah cerminan masyarakat kita. Untuk berdekad lamanya kita ‘dipaksa’ menerima bahawa pemisahan kaum dan agama itu adalah fitrah. Kita tidak terlalu mengenali satu sama lain. Pengetahuan kita tentang jiran kita bersandarkan prejudis dan stereotaip negatif, digalakkan pula oleh kerajaan. Oleh itu, perkauman wujud dalam kalangan kita.

Apabila ini berlaku, ia ‘membutakan’ kita daripada melihat realiti, iaitu masalah yang kita kongsi bersama. Saya bercakap tentang masalah ekonomi, kos hidup tinggi dan peluang perniagaan, pendidikan dan isu-isu lain yang sama-sama kita hadapi.

Kita tidak hidup pada zaman biasa. Harga minyak pada USD15 per tong untuk jangka masa panjang, dan tukaran 5 Ringgit kepada 1 dolar, bukan lagi gurauan karut. Ia boleh berlaku tanpa diduga.

Kenapa saya berkata demikian? Kerana untuk dekad lepas, ekonomi Malaysia sangat bergantung kepada minyak dan gas, komoditi, pembinaan dan pembangunan hartanah. Gaji, produktiviti dan kemahiran pula terbantut dan malah mungkin menurun.

Majoriti besar rakyat banyak berhutang disebabkan pinjaman rumah, pinjaman kereta, pinjaman pendidikan, hutang kad kredit, ansuran barang pengguna, dan juga pinjaman perkahwinan untuk sebilangan kecil. Ada yang terus membayar hutang selepas bercerai.

Jika pemberhentian kerja secara besar-besaran berlaku dalam waktu singkat, semuanya akan mendatangkan krisis – krisis pekerjaan, krisis hutang, pecahnya gelembung hartanah, krisis kebajikan dan peningkatan jenayah.

Tawaran Baru

Soalannya ialah “Bolehkah DAP memenuhi satu harapan bersejarah untuk membawa keluar negara daripada kemelut yang akan berlaku, mengusahakan satu tawaran baru dan membina Malaysia baru?

Biar saya beri dua contoh.

Bagaimana mahu berurusan dengan Proton dalam krisis akan datang? Respon termudah ialah matikan saja Proton. Tetapi bagaimana dengan pekerja di sana? Jawapan kita mungkin ‘Kerajaanlah yang harus menanganinya.’ Tapi kita juga tahu kerajaan Najib tidak mampu berfikir.

Jadi apa perlu kita lakukan? Sewaktu krisis, kita mahu pastikan setiap individu punyai pekerjaan.

Jadi, bolehkah kita jadikan Proton sebagai pengeluar bas dan bukannya kereta, dan jadikan Proton sebagai pusat penghasilan bas di Asia Tenggara (kerana ia belum diwujudkan)? Lagipun, ada terlalu banyak kereta di jalan raya pada hari ini. Kita ada 25 juta kenderaan (separuh daripadanya motosikal dan separuh daripadanya kereta penumpang).

Sewaktu krisis, rakyat tidak punyai wang untuk membayar ansuran kereta dan motosikal. Alternatifnya adalah bas. Kerajaan juga tidak perlu membina jalan raya memandangkan pasaran semakin perlahan. Jika jalan raya mahu dibina sekalipun, tidak ada sesiapa akan membiayainya.

Contoh lain adalah apa kita panggil sebagai perkhidmatan awam yang boroi. Selalunya kita akan katakan, kurangkan saja saiz perkhidmatan awam, tanpa memikirkan kehidupan kakitangan awam yang biasa.

Siapakah sebenarnya membazirkan lebih banyak sumber? Bayangkan seorang kakitangan awam wanita tahap pertengahan menyara suaminya yang tidak dapat mencari pekerjaan dengan gaji berpatutan dengan empat anak kecil. Memecatnya semasa krisis bermakna memaksa enam orang kebuluran.

Lebih-lebih lagi, ini akan menyekat penggunaan domestik yang amat diperlukan pada waktu itu. Jika keluarga ini, dan kebanyakan keluarga lain tidak berbelanja, siapakah akan mengeluarkan wang untuk membeli? Jika tidak ada sesiapa menjadi pengguna, ekonomi runtuh lebih cepat.

Apa sepatutnya kita lakukan ialah mengurangkan kemewahan menteri, kontrak penyumberan luar yang mengambil pekerja asing, dan hal-hal yang membazirkan nilai perolehan.

Baru-baru ini, apabila dilaporkan pelajar universiti kelaparan, respon serta-merta daripada pemimpin pendapat ialah: mengapa mereka terlalu banyak merungut, atau mengapa mereka tidak cari kerja separuh masa? Bagi saya, ia reaksi tipikal kelas menengah.

Kita seolah-olah lupa bahawa kerja di kedai runcit, rangkaian makanan segera dan restoran semakin didominasi pekerja asing – tidak, saya tidak anti kepada mana-mana manusia mendapat kerja tetapi kita semua tahu kerja-kerja ini bergaji rendah yang menindas masyarakat tanpa diberi banyak pilihan. Dan, seperti kita semua tahu kerajaan tidak serius dengan gaji minimum.

Kalaupun pelajar kita dapat bekerja di sana, mereka dibayar tidak sepadan dengan masa dihabiskan untuk bekerja semasa belajar. Bayangkan seorang remaja lelaki atau perempuan berasal dari pekan kecil dan mempunyai ibu bapa bekas kakitangan yang bersara atau lebih teruk lagi, diberhentikan, dia tidak punyai apa-apa untuk menampungnya.

Ibu saya menjual tiket loteri di kawasan kurang setengah batu dari hotel ini sejak 1989. Bapa saya pernah menjadi pemandu bas mini dan pemandu teksi. Dalam dewan ini, ramai wakil kepimpinan kita datang dari latar belakang biasa, yang ibu bapa anda mungkin penjaja, peniaga kecil dan pekerja.

DAP dulu pernah, dan rasanya masih lagi, sebuah parti untuk golongan sebegini. Sudah semestinya kita bangga dengan warisan kita. Apa yang kita perlukan kini ialah empati dan solidariti untuk membina sebuah gabungan sosial yang jauh lebih besar.

Sekarang ada ramai penjaja, peniaga kecil dan pekerja daripada semua kaum, termasuk Melayu, India, Iban dan Kadazan. DAP harus menjadi wakil kepada semua rakyat Malaysia ini.

DAP mesti melangkaui kekangan masyarakat lama untuk menawarkan harapan baru kepada rakyat Malaysia. Tawaran Baru ini mesti dibina atas solidariti seluruh masyarakat Malaysia. Pada waktu krisis, kita mesti bersatu dan tidak berpecah.

Sehubungan itu, saya dengan ini mencadangkan usul bahas, iaitu DAP perlu berubah secara drastik dalam modus operandinya untuk menjadi parti yang lebih inklusif supaya pembangkang boleh menawan Putrajaya.
* Ucapan Liew Chin Tong – Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP dan Ahli Parlimen Kluang ketika membawa usul dalam debat transformasi parti di Retreat Kepimpinan Kebangsaan DAP 2016 di Dorsett Grand Subang Hotel, Subang Jaya 16 Januari 2016. Teks itu dibaca oleh Penasihat Impian Malaysia, Wan Hamidi Hamid.