Berita

Razali tiada jawatan dalam DAP, Pejabat KM

KUALA LUMPUR 21 JAN: DAP meminta semua pihak termasuk media tidak mengaitkan bekas ahli parti itu, Mohamed Razali Abdul Rahman sebagai Pegawai Khas atau sebarang jawatan dalam Pejabat Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang.

Mengikut kenyataan media DAP hari ini, Razali juga tidak pernah memegang sebarang jawatan di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan mahupun Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang

Malah, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan DAP sebelum ini berulang kali membuat penafian mengenai jawatan dan kedudukan individu yang mentohmah parti itu berkaitan isu Israel.

Razali menyertai DAP pada 2008 sebelum dipecat pada 2011 berikutan beliau menuduh DAP sebahagian ‘perancangan Kristian’ untuk mengambil alih Putrajaya.

“DAP berharap penjelasan mengenai status dan identiti Razali membantu media dalam laporannya tanpa sebarang salah faham mengenai dakwaan hubungan dengan DAP mahupun Ketua Menteri Pulau Pinang,” kenyataan itu.

Kebelakangan ini, DAP yang kian mendapat sokongan masyarakat Melayu-Islam diserang pelbagai pihak berikutan isu Israel akibat tulisan Razali di blognya yang kemudian disebar luas oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.