Berita

Pimpinan DAP prihatin nasib mangsa kes Adun BN lepas tembakan

KUALA LUMPUR 27 JAN:  Pimpinan DAP antara prihatin terhadap nasib sekumpulan orang Asli yang mendakwa diugut seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Perak dengan melepaskan tembakan ke udara.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto yang turut bersolidariti dengan mengiringi mereka ke ibu pejabat polis itu menyifatkan kejadian itu harus dipandang serius dan tidak wajar diabai.

Beliau tidak menolak kemungkinan kes itu ada unsur politik berikutan kerajaan Persekutuan kerap menggunakan institusi kerajaan bagi mengekang usaha pembangkang mendekati rakyat.

“Tidak boleh bayangkan ada aksi menembak di kawasan sebegitu permai. Polis sepatutnya tidak amalkan dwistandard. Walaupun kes itu melibatkan Adun BN, polis harus menyiasat,” katanya kepada Roketkini.

Sekumpulan orang Asli membuat aduan di Bukit Aman diiringi pimpinan DAP dan badan bukan kerajaan (NGO) berikutan aduan mereka sebelum ini di negeri berkenaan, tidak dilayan sebaliknya digertak dan diugut pegawai polis.

Mengikut kenyataan bertulis, mereka digertak Adun Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris yang melepaskan tembakan ke udara selepas melawat kawasan tangki air yang dibina mereka di Kampung Sungai Papan dengan bantuan Impian Malaysia.

Impian Malaysia adalah projek kebajikan untuk rakyat meliputi pelbagai bidang segi ekonomi, sosial anjuran DAP.

Adun Pasir Panji, Howard Lee Chuan How yang turut bersolidariti pula menyifatkan Tarmizi itu tidak wajar dilakukan oleh seorang yang bergelar Adun dan ia melanggar hak asasi manusia.

“Saya hadir bersama-sama mengiringi orang Asli untuk memahami lebih mendalam mengenai kejadian yang menimpa mereka,” katanya.

Hadir sama, sebuah NGO iaitu Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS).