Berita

‘Asal ikut cakap Najib, MB tidur pun tak apa’

ALOR SETAR, 3 FEB: “Najib  suka orang yang ikut cakap, tidur pun tak apa.”

Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew berkata demikian ketika diminta mengulas pelantikan Datuk Ahmad Bashah Md Hanapiah menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Rakaman Timbalan Pengerusi Umno Kedah itu dilihat tidur ketika Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua’adzam Shah sedang bertitah tersebar luas di media sosial hari ini.

Terdahulu, Mukhriz menghantar pesanan kepada  Ahmad Bashah supaya tidak tidur pada majlis angkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah.

Menteri Besar Kedah yang baharu itu kemudian memberi alasan:  “Saya tidak lena tetapi hanya pejam mata sebab nak menghayati ucapan tuanku pada majlis di istana.”

Setiausaha DAP Kedah, Teoh Boon Kok pula berharap, pembangunan Kedah ‘tidak terus tidur’ berikutan  perkembangan ekonomi negeri itu terus merosot ketika Mukhriz masih berkuasa.

“Semasa Mukhriz menjadi Menteri Besar, ekonomi Kedah tidak berkembang malah pendapatan negeri juga semakin menurun. Tak dapat tarik banyak pelabur,” katanya kepada Roketkini.

Berseloroh mengenai rakaman Ahmad Bashah tidur, Teoh menyifatkan ia ulangan kepada perbuatan bapa Mukriz, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lama selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Dulu Tun Mahathir pun ada sebut Pak Lah tidur. Sekarang, anaknya pula buat benda sama kepada Ahmad Bashah,” katanya.

Terdahulu, Kok Yew yang menegaskan DAP berkecuali dalam isu membabitkan kemelut dalaman UMNO, berkata pelantikan Ahmad Bashah menambahkan lagi perpecahan dalaman UMNO Kedah sekaligus memudahkan Pakatan Harapan menawan negeri ini, kelak.

“DAP ambil pendirian berkecuali dan tidak oportunis kerana ia isu rumah tangga UMNO. Tapi bila kita lihat Ahmad Bashah jadi Menteri Besar, kerja kita lagi mudah kerana ada banyak isu,” kata Adun Derga itu.

Beliau percaya pelantikan Ahmad Bashah tidak akan mengubah keadaan politik Kedah dan hanya menonjolkan sikap tidak demokratik UMNO BN menangani kemelut politik negeri.

“Mereka suka-suka buang, suka-suka lantik,” katanya. – Roketkini.com