Berita

BN jual tanah 35 kali ganda lebih banyak untuk perolehan lebih sedikit

GEORGETOWN 2 FEB: BN Pulau Pinang ketika mentadbir Pulau Pinang sebelum ini membuat 35 kali ganda lebih besar untuk jualan tanah di negeri ini berikutan tidak mengamal tender terbuka, berbanding kerajaan negeri sedia ada.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, Pulau Pinang hanya jual 106 ekar tanah untuk perolehan RM1.1 bilion sedangkan, katanya Kerajaan BN sebelum ini menjual 3,661 ekar tanah hanya untuk RM1 bilion.

“Pulangan kurang diperolehi BN sungguhpun menjual tanah 35 kali ganda lebih besar kerana ia tidak dijual secara tender terbuka seperti Kerajaan Negeri Pakatan Harapan sekarang,” katanya pada majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Pulau Pinang, hari ini.

Setiausaha Agung DAP itu juga menolak keras fitnah kononnya Kerajaan Pulau Pinang mencatat lebihan belanjawan kerana menjual tanah sedangkan ia hasil amalan pentadbiran bersih dan anti-rasuah.

Malah, beliau berkata, lebihan belanjawan terkumpul sepanjang tujuh tahun antara 2008 hingga 2014 ialah RM507.12 juta, jauh melebihi lebihan ketika BN memerintah selama 50 tahun (1957-2007).

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2008, lebihan belanjawan dicatat iaitu RM87.99 juta, 2009 (RM77.34juta), 2010 (RM33.54 juta), 2011 (RM138.31 juta), 2012 (RM114.47 juta), 2013 (RM1.3 juta) dan 2014 (RM54.17 juta).

Bagaimanapun, Guan Eng mengakui pencapaian cemerlang Kerajaan Pulau Pinang dibayangi masalah kemerosotan ekonomi yang melanda negara yang ditadbir Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita sedaya upaya menjauhi wabak kemerosotan ekonomi itu. Namun, perkara ini sukar dan mustahil kerana Pulau Pinang sebahagian daripada Malaysia. Maka, tempiasnya pasti akan turut kita rasa,” katanya.

Justeru, beliau berkata, Kerajaan Pulau Pinang berusaha keras melaksanakan pelbagai langkah bagi menghalang kemerosotan atau kemeruduman ekonomi negara menjangkiti negeri ini.