Rencana

OlaBola: Mengenang muhibah dan perihal patriotisme

KENANGAN bahawa kita pernah mengetepikan perbezaan bangsa, bahasa dan agama untuk duduk bersama dalam satu negara memang ada dalam kepala otak kita, tetapi jika tidak diingatkan, barangkali kita akan segera lupa dan akan kembali ke perangai buruk membenci dan memusuhi semua orang yang dilihat sedikit tidak sama.

Sekonyong-konyong, itulah yang cuba dibuat dengan sungguh-sungguh oleh Chiu Keng Guan dan kru penerbitannya dalam menghasilkan Ola Bola, filem yang berlatar belakang kejayaan pasukan bola sepak Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Tidak sedikit yang pernah berteori betapa jika bola sepak Malaysia ingin kembali berjaya seperti pada 1970-an dan 80-an, bukan strategi, jurulatih atau sistem yang perlu ditukar, sebaliknya pasukan kita perlu dibina dari setiap kaum, bukan didominasi mana-mana satu daripadanya.

Ciri unik yang ada pada setiap kaum di negara ini adalah kekuatan yang perlu digembleng, yang tidak ada pada negara lain, contohnya Korea Selatan yang berhasil kita tewaskan pada perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 1980 dengan jaringan 2-1 hasil gol-gol Hassan Sani dan James Wong.

Orang Cina barangkali terkenal dengan sikap enggan mengalah, semangat kuat bersaing, bijak mengarah dan punya sifat individu yang menonjol, sentiasa mahu menang dengan tidak kira ‘halal-haram’. Ciri-ciri inilah yang mungkin ada pada Soh Chin Aun (Tauke) sewaktu mengemudi barisan pertahanan dan memimpin pasukan bola sepak kita.

Begitu pula orang India, mungkin dikenali dengan sikap tak kenal penat, lari macam lipas kudung, betis kecil guna untuk larian jarak jauh serta punya stamina tinggi, dan sangat boleh diharapkan untuk kejar bola selain berwatak agak dramatik. Manakala orang Melayu mungkin lebih fancy, gemar menggelecek cantik dengan larian bergaya sebelum menjaringkan gol selain boleh diharap jika ada pergaduhan kecil di padang.

Gabungan bijak ciri-ciri unik setiap kaum mungkin rahsia kejayaan bola sepak kita atau sukan lain, sekurang-kurangnya ia pernah terbukti satu ketika dahulu. Malah, inilah agaknya rahsia untuk kita berjaya sebagai satu bangsa di negara ini, keluar dari kepompong perkauman untuk masuk dan bercampur dengan pelbagai jenis manusia dan sumber yang ada.

Budaya gotong-royong dijadikan satu nilai sosial penting sejajar penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1973. Semangat muhibah dianjurkan untuk mewujudkan interaksi aktif antara berbilang kaum. Rukun Negara diperkenalkan bagi mewujudkan satu set nilai yang dikongsi bersama sesama rakyat.

Pada era 1970-an adalah dekad penting pemupukan perpaduan kaum yang ditaja bekas Perdana Menteri, Tun Razak Hussein bersama pemimpin lain dan ajaibnya ia disambut secara baik oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini tanpa rasa prejudis berlebihan.

Dalam Ola Bola, suasana ini digambarkan dalam acara funfair yang dihadiri dan disertai rakyat dari segenap kaum tanpa mengira ras. Barangkali inilah ‘zaman emas’ perpaduan kaum dalam negara kita yang amat sukar untuk kita ulang kembali, jauh lebih sukar daripada layak semula ke Sukan Olimpik.

Sehingga pertimbangan politik mula masuk campur dalam segenap urusan, elemen muhibah yang baru bercambah mula diracuni. Bermula dengan keputusan politik memboikot Sukan Olimpik 1980 kerana berbondong-bondong menurut ajakan Amerika Syarikat yang terlibat Perang Dingin dengan Rusia, kegagalan membawa semangat muhibah ke tahap seterusnya telah menggagalkan kita dalam banyak perkara.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan dalam dekad yang sama gagal diseimbangkan dan diadun dalam semangat muhibah yang lebih besar sehingga ia dilihat sebagai Malay-centric dan bukannya satu agenda nasional. Malah lebih teruk ialah apabila ia dijadikan lesen untuk menghalalkan pelbagai bentuk rasuah dan penyelewengan atas alasan meningkatkan daya saing Bumiputera dan seumpama dengannya.

Rasuah menjadi barah. Muhibah tidak lagi disebut-sebut apatah lagi diangkat sebagai agenda. Mahathir muncul awal 1980-an dan mahu cepat menjadikan Malaysia negara maju dengan mengubah dasar pertanian kepada perindustrian. Dasar penswastaan ala Margaret Thatcher diperkenal. DEB diteruskan tanpa dibaiki lompong-lompong. Persetan perpaduan kaum. Kita mahu cepat sampai ke bintang.

Dari muhibah kita menuju musibah.

Pengabaian terhadap hakikat bahawa kita berkongsi hidup dengan kaum-kaum lain di sini telah, sedang dan akan menggagalkan kita dalam kehidupan bernegara. Ia akan mendorong semangat cintakan kaum sendiri melebihi negara. Perkara ini bukan sahaja menutup potensi kekuatan yang kita ada melalui elemen perpaduan, malah cenderung membiak rasuah dan rasisme.

Pengabaian semangat muhibah, pengukuhan DEB secara silap barangkali menyebabkan kita semakin jauh terpecah dan sifat curiga pra-1969 mula bertunas semula. Usaha-usaha seperti gotong-royong dan penghayatan semangat Rukun Negara tidak diteruskan. Penyelesaian terhadap pengasingan anak-anak sekolah melalui SK dan SJK tidak dicari.

Biro Tata Negara (BTN) dijadikan medan propaganda politik sempit perkauman. Pengelompokan berlaku dengan giat dan apabila Najib memperkenalkan 1Malaysia, ia gagal total. Agaknya bermula dari situ, orang Cina sudah tidak lagi main bola.

Jika mahu ditonton sebagai sebuah filem tipikal, Ola Bola mungkin agak mengecewakan ketimbang lakonan kaku pelakonnya yang cetek pengalaman di lakon layar. Ia juga kadangkala lebih menyerupai sebuah filem iklan yang panjang tentang Malaysia, melihat kepada imej-imej cantik pemandangan air terjun, sawah padi, tanah tinggi dan lainnya.

Atau sebuah video dari Jabatan Penerangan tentang semangat kesukanan, jika babak-babak di bilik persalinan (yang panjang dan didaktik) itu sahaja diambil kira. Tetapi, jika kita menonton filem ini sebagai rakyat Malaysia yang rindukan semangat muhibah (istilah ini sahaja sudah lama tidak disebut orang), kita akan sangat berpuas hati.

Babak Marianne mengibarkan bendera Malaysia di luar jendela kereta api berlatar belakang kehijauan hutan Sabah adalah antara shot tercantik – penyatuan imej-imej perempuan Cina, bendera Malaysia, kereta api dan hutan menghijau Sabah. Dan babak tiga pengulas sukan berkongsi meja untuk mengulas dalam siaran radio masing-masing juga sangat mengesankan; wujudkah lagi situasi sebegini pada masa ini?

Ola Bola layak diangkat sebagai filem Malaysia yang berjaya, menyuntik semangat patriotisme jauh lebih baik daripada filem yang didanai geran kerajaan seperti Tanda Putera dan lain-lain. Terima kasih, Chiu!

 

* Haizir Othman adalah peminat bola sepak tempatan yang gigih menyokong Arsenal. Juga giat menulis perihal isu semasa, selain sajak dan cerpen.