Berita

Sekat media alternatif tindakan cabuli kebebasan bersuara

 

KUALA LUMPUR 4 FEB: Keangkuhan kerajaan UMNO BN mempertahan tindakan menyekat beberapa media portal alternatif, terbaru medium.com mencabuli hak kebebasan bersuara yang sepatutnya dinikmati rakyat.

Menyifatkan ia tidak selaras dengan amalan demokrasi, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabai, Kamache Doray Rajoo, berkata rakyat harus didedah kepada pelbagai pandangan bagi memberi ruang kepada mereka untuk menilai sesuatu peristiwa..

“Setiap rakyat berhak mengetahui perkembangan berkaitan pemimpin atau apa-apa pun. Media milik kerajaan tidak lapor perkara sebenar, jadi kita sangat perlukan media alternatif. Kerajaan tidak boleh sekat semuanya, sebab ini negara demokrasi,” katanya kepada Roketkini.

Beliau diminta mengulas tindakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Salleh Said Keruak yang menyekat laman portal antarabangsa, medium.com, kononnya atas alasan menyiarkan berita palsu yang boleh memudaratkan keselamatan negara.

Beliau sembarangan menuduh medium.com melanggar undang-undang negara berikutan penyiaran artikel :”Najib negotiates his exit but he wants safe passage and all the money”.

Sebelum ini, laman web antarabangsa, Sarawak Report yang kritikal terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut disekat aksesnya, memaksa media alternatif itu beralih ke medium.com.

Bagaimanpun, kata Kamache, teknologi yang berkembang pesat dengan akses mudah kepada internet ditambah pula penggunaan meluas telefon pintar, kerajaan sukar menyekat rakyat kepada akses maklumat.

“Rakyat tidak seperti dulu, mereka terdedah dengan teknologi, jadi semuanya di hujung jari. Kerajaan boleh sekat sana sini, tapi akhirnya rakyat tetap tahu perkara sebenar,” katanya. -Roketkini.com