Berita

SESB patut turunkan tarif elektrik Sabah

KOTA KINABALU 6 FEB: Syarikat pembekal elektrik Sabah, SESB disaran menurunkan tariff elektrik yang tinggi di negeri itu berikutan penurunan harga diesel sekitar 25 peratus, baru-baru ini.

Gesaan itu dibuat Setiausaha DAP Sabah, Junz Wong yang berkata penurunan harga diesel itu dari RM2.10 kepada RM1.55 seliter akan mengurangkan kos operasi SESB.

“Kos operasi SESB sepatutnya turun kerana harga diesel turun. Maka tarif elektrik juga wajar diturunkan.

“Sejak 2013, SESB dua kali naikkan tarif elektrik dengan alasan kenaikan bahan api. Jadi, bahan api sekarang sudah turun, tarif juga patut turun,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas itu.

Junz yang juga Ahli Jawatankuasa DAPSY Kebangsaan meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau & Air, Dr Maximus Ongkili supaya mengambil perhatian kepada gesaan itu.

SESB merupakan anak syarikat di bawah TNB (Tenaga Nasional Berhad) yang memiliki 80 peratus saham syarikat itu dengan mencatatkan keuntungan besar tahun lalu.

Tariff elektrik SESB di Sabah hanya mencatat penurunan 3.5 peratus dari purata tarif semasa selepas peningkatan 16.9 peratus pada 2014 berbanding tariff elektrik TNB di Semenanjung Malaysia sebanyak 14.89 peratus pada tahun sama. –Roketkini.com