Sastera

Puisi Karl Agan serlah kejujuran berkarya

AKU bukanlah orang yang mudah untuk menulis sebuah refleksi setelah membaca buku-buku.

Untuk orang yang terlalu cerewet dalam membaca, paling kurang ada dua sebab kenapa dia tidak mahu menulis sebarang ulasan selepas menghabiskan buku yang dibacanya – sama ada buku itu tidak mendatangkan minat kepadanya untuk diulas atau dia tidak mahu berseteru dengan penulisnya selepas mengulas.

Tetapi tidak buat Sekumpulan Epitaf & Surat-Surat Yang Lewat. Karl Agan berjaya memaksa aku untuk menaip juga papan kekunci seusai menutup halaman terakhir dalam puisi bukunya itu yang bertajuk Poskad Dan Alamat Yang Kau Hafal dengan dua bait terakhir,

“betapa pun laut menjarakkan kita
dan angin bertiup berlainan arah.”

Sejujurnya, membaca puisi-puisi Karl Agan tidak menemukan aku dengan sebarang pembaharuan kata mahupun teknik sekalipun untuk aku ucapkan tahniah kepada kerana berjaya memilih kata-kata yang menurutnya adalah kumpulan kata-kata daripada batu nisan.

Ya, epitaf itu maksudnya ialah tulisan-tulisan di batu nisan. Mungkin itulah kelainannya, jika benar, bahawa kumpulan puisi yang baru habis kubaca ini adalah dikutip daripada batu-batu nisan. Jika benarlah.

Tetapi aku tidak percaya pun perkara itu kerana pemuisi ada yang jujur tetapi banyak juga yang menipu. Tetapi mungkin juga ada benarnya, kerana adakala pengucapan Karl Agan berbentuk nasihat ringkas yang wajar ditulis di batu nisan sebagai wadah muhasabah untuk kita meneruskan kehidupan.

Tetapi sesuatu yang aku rasa aku harus percaya dan aku rasa itu sebabnya aku memilih untuk menulis tulisan ini ialah, puisi-puisi ini lahir daripada sebuah kejujuran. Aku sentiasa percaya bahawa sebuah puisi itu harus lahir daripada kejujuran untuk menjadikannya terus hidup.

Puisi juga memiliki nyawanya dan jasadnya. Kata-kata itu adalah jasad yang kita baca, dan nyawanya adalah emosi yang diresapkan ke hati pembaca kata-kata lalu menjadi darah daging dan ianya terus bergerak dalam hati pembaca kata-kata itu.

Dan puisi itu tidak akan bernyawa tanpa kejujuran daripada hati pemuisi itu sendiri yang menumpahkan isi hatinya ke dalam kata-kata dan coretan-coretan yang dibina adalah lahir daripada gerak halus hati yang ingin berkongsi apa yang dirasainya kepada orang lain.

Sebab itu aku semakin mula tidak percaya dengan puisi-puisi yang dihias dengan lenggok bahasa bintang dan langit sekadar hendak menaikkan seri puisinya sedangkan ia hanyalah sekadar pendustaan yang tidak membawa sebarang makna yang dapat dirasa.

Kejujuran dalam puisi-puisi Karl Agan mengingatkan aku kepada puisi-puisi William Butler Yeats yang sering aku senangi kerana kejujuran makna yang diberi tetapi kata-katanya tersusun rapi atau puisi-puisi Emily Dickinson yang selalu ringkas dan bercerita tentang kehidupan diri sendiri.

Pengucapan Karl Agan yang begitu sederhana dalam puisi-puisinya menjadikan aku sangat selesa untuk menyelak helaian-helaian muka suratnya dengan perlahan-lahan tanpa perlu tergopoh-gopoh untuk menghabiskannya. Kumpulan puisinya aku baca berselang-seli sebagai tempat merehatkan diri sambil membaca buku-buku akademikal yang berat-berat.

Aku tidak tahu mengapa, tetapi puisi-puisi Karl Agan sentiasa membayangkan aku kepada Sapardi yang sedang membawa haluan yang lebih jujur dan keluar daripada kebiasannya yang menyelit-nyelit makna dalam puisinya.

Sebab itu mata aku agak terbuntang seketika ketika menyelak halaman 100 dan membaca tajuknya, Mencuri Sajak Sapardi. Ketika ini Karl Agan bagai mula mengakui bahawa dia sedang mencuri sajak Sapardi tetapi digarapnya dengan lebih jujur.

“Aku cuba mencuri sajak Sapardi
dan mencintaimu dengan sederhana,
tapi aku selalu merasakan terlebih
dan kau sering merasakan yang kurang,
maka ku pinjam piano Jokpin
dan meletuplah nada-nada
yang tak terungkai oleh kata.”

Tetapi sesuatu perkara baru yang aku belajar daripada seorang Karl Agan – “puisi hanyalah sebuah taman yang sunyi.” Begitu kata Karl Agan dalam puisnya yang bertajuk Mitos. Kata-kata ini seperti agak sukar untuk dicabar, sekurang-kurangnya untuk seseorang yang sentiasa bersendirian dan puisi-puisinya hanyalah sebagai teman tempat dia meluahkan isi hatinya tanpa dia mempedulikan sama ada ia dibaca atau tidak.

Aku seperti dapat merasai naluri kesunyian itu dalam keseluruhan puisi-puisinya yang seperti membawa aku ke suatu ruang yang aku duduk dan berseorangan merenungi diri sendiri.

Puisi-puisi Karl Agan bagi aku terlalu peribadi, dan Karl Agan bagaikan begitu berani untuk orang lain turut membaca coretan peribadinya yang orang lain tidak akan berani untuk mengeluarkannya daripada diari. Sebab itu membaca puisi-puisinya adalah seperti sedang membaca diri sendiri.

Puisi-puisi Karl Agan adalah puisi orang yang patah hati. Sebab itu banyak puisinya berkisarkan cinta yang tumpas dan ditujukan kepada kekasih yang bergelar mantan sehingga ada puisi-puisinya yang bertajuk Berlalulah, Mantan Kekasihku atau dalam sajak Epitaf, ianya diakhiri dengan bait,

“kepada mantan kekasihku,
Berlalulah.”

Maka seusai menutup kumpulan puisinya itu, aku perlu segera mengenal dan mengejar kehidupan yang dia titipkan pesan lewat puisinya Mengenal Kehidupan yang sepatutnya bagi aku harus berada sebagai puisi yang paling belakang.

“Kalaupun kota ini mengajar sesuatu,
ia mengajar tentang satu hal,
bahwa kehidupan hanya ada
nun jauh di rumah yang kita tinggalkan.”

Di tangan seorang pemuisi, kehidupan itu diwakilkan menjadi kata-kata kita dibawa menelusurinya. Tetapi di tangan Karl Agan, kita sedang dibawa untuk menelusuri dirinya sendiri kerana itu dia menulis puisi yang katanya:

“Puisi hanyalah sebuah taman yang sunyi.”

 

* A Muziru Idham ialah anak muda rajin mengupas pelbagai isu  dan sesekali turut menulis cerpen.