Wawancara

Stephen Wong: Mendepani cabaran politik semasa Sabah pra-PRU14

Kehadiran pembangkang dari Semenanjung di Sabah dan Sarawak dianggap ancaman terbesar terhadap gerakan parti-parti politik nasionalis sehingga wujudnya istilah ‘parti Malaya’ yang dipropagandakan sebagai agenda perluasan ‘kuasa orang Semenanjung’. Ia memberi saingan sengit kepada DAP Sabah untuk meluaskan pengaruh dan perkhidmatannya. Namun, melalui usaha berterusan, rakyat Sabah khususnya di kawasan pedalaman semakin melihat DAP sebagai sebuah wadah politik yang berintegriti dan punya rekod yang baik dalam mendepani isu-isu masyarakat setempat. Ikuti wawancaa eksklusif wartawan Roketkini.com Hafiz Zainuddin bersama Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt membincangkan lanjut perihal politik dan rakyat Sabah.

 

Apa pandangan saudara terhadap politik Sabah saat ini dan masalah utama yang dihadapi?

Sudah tentu berbeza dengan lain-lain tempat. Jika dilihat sejak Sabah mencapai kemerdekaan pada 1963, politik di Sabah sentiasa berbeza dengan politik di Semenanjung. Antara faktor yang membezakan ialah faktor geografi, sentimen rakyat dan juga ekonomi.

Walaupun ada yang kata kita (Sabah) sama dengan Sarawak, hakikatnya Sabah lebih jauh terabai. Saya lihat masalah terbesar rakyat Sabah ialah apabila UMNO masuk ke negeri ini – terutama jika melibatkan urusan pentadbiran dan ketelusan. Sarawak tiada UMNO, sedangkan Sabah ada UMNO.

Masalah kedua ialah isu pendatang asing tanpa izin (PATI). Ada dua aspek perlu diberi perhatian, satu ialah isu kemasukan PATI iaitu isu pengurusan, keselamatan, imigresen dan keduanya ialah apabila PATI digunakan untuk tujuan politik. Jika pernah berkunjung ke Sabah, semua tahu, ini bukan sorok-sorok. Boleh rujuk laporan RCI PATI di Sabah. Sebab itu, kita di Sabah mendesak kuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya bersihkan daftar pengundi. Saya percaya kalau SPR tak bersihkan daftar pemilih, kita (pembangkang) akan hadapi banyak masalah lagi. Ia mengganggu proses demokrasi kita dan membelakangkangkan suara rakyat, penduduk asal Sabah sendiri.

 

Dengan keadaan ekonomi dan politik sekarang, bagaimana pandangan saudara terhadap rata-rata rakyat Sabah?

Sekarang kita dapat lihat senario Sabah berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini. Saya percaya, secara umum rakyat Sabah sudah bosan dengan Barisan Nasional (BN). Banyak janji pilihan raya yang tidak dilaksanakan dan paling ketara ialah apabila ekonomi negara tak diurus dengan baik, rakyat sangat marah dengan kenaikan harga barang serta kenaikan kos hidup. Sebelum ini sudah tentu kesedaran rakyat tidak sama. Dulu tiada cukai GST, sekarang apabila GST dilaksanakan 6 peratus, semua orang terasa kesannya. Perkara ini berlaku di seluruh Sabah, di kawasan pedalaman mahu pun di bandar.

Sudahlah pendapatan pun paling rendah, harga barang pula naik. Selain itu, jika di kawasan pedalaman, orang Asal pula sudah lama dan sampai sekarang nampaknya diabaikan oleh kerajaan terutamanya melibatkan isu tanah dan kebajikan.

 

Rakyat tertekan, tapi kenapa orang Sabah masih pilih BN?

Apa yang berlaku saat ini amat berbeza. Pembangkang, khususnya kita (DAP) dapat maklum balas dan sokongan yang baik dari rakyat terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar. Tapi bila saudara tanya kenapa masih ramai di kawasan pedalaman undi BN, itu kita tak nafikan sebelum ini. Ada beberapa sebab perlu kita lihat dan selesaikan. Apa yang berlaku di pedalaman semasa pilihan raya ialah ‘pecah undi’- bertanding banyak penjuru. Jika tak ada pecah undi, saya yakin pembangkang sudah lama boleh menang. Ya, selain pecah undi, salah satu sebab kenapa BN menang, seperti saya katakan tadi, daftar pemilih tak bersih, PATI mengundi.

 

BN gunakan kemiskinan raih keuntungan politik.

Kita tak boleh nafikan, faktor kemiskinan juga jadi dorongan kuat kepada BN untuk menang. BN gunakan kemiskinan supaya mereka boleh gula-gula dan takut-takutkan rakyat. DAP Sabah ada lakukan lawatan ke sebuah kampung di kawasan Kota Marudu. Kami adakan dialog, tanya soalan yang sama; sudahlah tak ada bekalan elektrik, bekalan air bersih, jalan pun ala-ala safari, nak seberang sungai pun kena guna sampan, kalau hujan air naik, tak dapat seberang, dan banyak lagi. Kita tanya mereka kenapa masih undi BN?

Penduduk di pedalaman ini jujur, mereka beritahu kita apa masalah mereka. Pertamanya sebab mereka dalam belenggu kemiskinan. Sangat susah. Dalam sebulan, pendapatan purata mereka sekitar RM400 sahaja melalui hasil sungai, berburu, tanam sikit sayur. Tetapi bila tiba musim pilihan raya, satu keluarga dapat bantuan, dibayar dalam RM1,000 . Ini yang mereka beritahu kami. Bukan itu sahaja, jika BN menang, mereka dapat lagi RM1,000.

Keduanya ialah jentera pilihan raya. Sudah tentu BN sebagai kerajaan dia gunakan segala kemudahan yang ada termasuk dana yang besar masa kempen. Masa itu ada orang kampung yang tanya, mana orang-orang pembangakang? Mereka kata, walaupun saya tak nak undi BN tapi sebab mereka ada bersama kami masa itu dan banyak beri bantuan seperti tangki air dan sebagainya, kami undi mereka. Jentera pembangkang di kawasan pedalaman tak ada, dan begitu juga BN sediakan kemudahan pergi balik ke pusat pengundi dan sebagainya. Ini semua antara faktor kegagalan pembangkang di kawasan pedalaman. Kita perlu atasi isu-isu seperti ini.

 

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13, kita lihat DAP Sabah catat kemajuan dengan kemenangan di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Apa pencapaian terkini DAP Sabah?

Kita sekarang sedang berkembang. Kita tak banyak masalah di kawasan bandar. Selepas kemenangan PRU-13 lalu, kita teruskan usaha kita di kawasan pedalaman yang sebelum ni tiada hubungan. Melalui projek Impian Sabah dan Batu Sumpah, kita dapat lihat kesan positif. Semakin ramai tertarik dan berminat untuk menyertai DAP. Saya amat yakin, jika momentum usaha ini diteruskan, kita akan memenangi lebih banyak kawasan di Sabah.

 

Maksudnya rakyat di pedalaman sudah tidak takut lagi dengan DAP?

Ya. Pada mulanya tidak dinafikan memang ada ketakutan. Antara sebab rasa takut ini ialah ada yang risau bantuan kebajikan atau subsidi mereka ditarik balik. Apa yang kita lakukan di kampung-kampung, kita berusaha lakukan khidmat masyarakat, keep in touch dengan mereka, kita ada pimpinan-pimpinan di peringkat kawasan. Sekarang saya lihat mereka tak takut lagi, mereka hadir dalam majlis-majlis yang kita anjurkan.

Baru-baru ini DAP anjurkan majlis sambutan hari Krismas di Keningau. Pada mulanya penganjur beritahu sama ada perlu atau tidak letakkan bendera parti, lepas itu kita buat keputusan letak sajalah bendera DAP. Apa yang berlaku selepas tu saya pun terperanjat sebab kehadiran mencecah 800 orang. Jadi sekarang kita boleh lihat masyarakat kampung di pedalaman sudah tak takut dengan logo roket kita. Ini respon kita lihat.

Selain tu, kita juga adakan beberapa perjumpaan, kita lihat perkembangan positif masyarakat kampung yang sekarang boleh berikan sokongan, hadir mendengar apayang kita sampaikan. Mereka tak takut lagi.

 

Jadi bagaimana sentimen ‘anti-parti Malaya’ yang dimainkan oleh parti-parti tempatan? Adakah masih kuat?

Sentimen ini saya rasa ia tidak kuat. Ironinya, ‘UMNO juga parti-Malaya’ dan ia boleh diterima. Tetapi kita akui ia masih terus digunakan. Memang sebahagian kecil parti tempatan gunakan isu ini untuk tarik sokongan orang tempatan. Namun, saya rasa secara amnya, sentimen ‘anti-parti Malaysa tidak lagi kuat. Saya percaya paling penting, rakyat nak lihat kita boleh beri perkhidmatan.

DAP antara parti peringkat kebangsaan yang terawal bertapak di Sabah malah, rekod menunjukkan kita merupakan parti yang boleh dipercayai, boleh diharap, dan kini di rakyat pedalaman juga lihat potensi DAP yang boleh diharapkan berjuang untuk angkat nasib mereka. Ini diakui sendiri.

Sudah tentu sebahagian dari parti tempatan mereka akan memainkan isu parti Malaya dan sebagainyatetapi rakyat semakin bijak menilai. Parti tempatan pula, jika dilihat dari rekod pilihan raya lalu hanya mendapat 5 peratus undi sahaja.

Jika parti tempatan terus menerus mainkan sentimen anti-parti Malaya pun saya rasa ia takkan beri impak yang banyak ke atas DAP. Saya agak pasti mereka akan lebih banyak alami kekalahan. Masa lalu, parti tempatan ini ada ikon, Datuk Jeffery Kitingan, tetapi apa yang berlaku, pada kali ini saya rasa beliau pun takkan bertanding di kawasan sekarang kerana beliau semakin kehilangan penyokongnya sendiri. Ada yang melarikan diri dari dia, ada yang sekarang bersama kita.

 

Bagaimana dengan penerimaan bumiputera-Muslim terhadap DAP di Sabah?

Menariknya semakin ramai bumiputera-Muslim di Sabah juga makin sedar yang UMNO – BN tak boleh dipercaya dan tidak boleh diharapkan beri khidmat terbaik. Contohnya di kawasan DUN Tanjung Papat yang diwakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Raymond, penduduknya lebih mudah untuk dapatkan khidmat DAP. Beliau sangat jarang di Sandakan.

 

Masalah utama DAP di kawasan Bumiputera-Muslim Sabah.

Secara realistik, saya rasa seperti di pembangkang alami sedikit kesukaran di kawasan UMNO yang majoriti Muslim. Kita disana masih lemah. Itu hakikat. Bagaimanapun kita sedang usahakan sesuatu yang diharap akan membuahkan hasil positif dalam tempoh enam bulan ini.

Sejujurnya kita masih lemah di kawasan UMNO sebab di kawasan UMNO ini terdapat banyak kawasan PATI. Kita sangat sedih dengan isu ini. Sebab itu kita menggesa daftar pemilih dibersihkan untuk pilihan raya adil. Bagi orang tempatan yang asli berasal dari Sabah, mereka sendiri tahu. Makin ramai PATI dapat IC.

 

Impian Sabah dan Gerakan Batu Sumpah

Kita akan memperbanyakkan lagi usaha memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Melalui projek Impian Sabah dan Batu Sumpah. Ia telah membuka mata ramai orang. Kita bersungguh-sungguh berikan perkhidmatan kepada rakyat yang diabaikan BN sejak sekian lama. Ini kita akan teruskan.

 

Apa sasaran DAP Sabah untuk Pilihanraya Negeri akan datang?

Dengan kerja keras kita di Sabah, saya yakin kita akan menang sekurang-kurangnya sekali ganda lagi kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Sebelum ini kita ada empat ADUN. Secara keseluruhan, kita yakin akan menang dengan jumlah 10 kerusi DUN dan 4 kerusi parlimen. Apapun ini juga tertakluk kepada perbincangan dengan parti-parti dalam pakatan.

 

Bagaimana dengan pengagihan kerusi Pakatan Harapan di Sabah?

Kini kita baru mulakan perbincangan kerusi bersama PKR Sabah, jika semuanya berjalan baik, kita akan lancarkan Pakatan Harapan di Sabah pada 27 Februari ini. Tapi kita sudah mulakan kerja dari sekarang, kita sudah tubuhkan seketariat Pakatan Harapan dan telah mulakan mesyuarat pertama. Kita harap dengan pelancaran Pakatan Harapan, kita lebih mudah untuk bekerjasama di kawasan yang penduduk majoriti bumiputera-Muslim dan memenangi kawasan tersebut. –Roketkini.com