Berita

Tunjuk perasaan di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, isu akan diserah kepada polis

GEORGE TOWN, 9 FEB: Sewaktu rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa gembira menikmati juadah Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang di sini semalam, majlis itu dicemari dengan kehadiran sekumpulan individu yang melakukan demonstrasi.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan ia adalah satu perbuatan berniat tidak baik yang tidak menghormati perayaan dan budaya rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Menurutnya, beliau akan menyerahkan hal berhubung tindakan kumpulan pelampau berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, walaupun kerajaan negeri mempertahankan hak dan kebebasan rakyat untuk bersuara, perbuatan kumpulan tersebut dianggap tidak menghormati sensitiviti rakyat Malaysia kerana mereka mengadakannya pada hari sambutan Tahun Baru Cina.

“Saya terkejut kerana ada kumpulan pelampau yang ingin buat kacau di Rumah Terbuka anjuran pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang. Inilah kali pertama di mana rumah terbuka di mana-mana tempat di Malaysia dikacau sebegini rupa, seakan-akan mereka tidak menghormati satu perayaan besar.

“Kalau ada rumah terbuka parti-parti lain termasuk Barisan Nasional, ia patut berjalan seperti biasa dengan lancar. Kalau (sesiapa) ada isu, mereka boleh buat protes. Di Pulau Pinang, kita ada kebebasan untuk membantah.

“Tapi apa yang mengejutkan ialah protes ini bukan isu rakyat. Ini isu fitnah, iaitu fitnah bahawa saya berjumpa dengan pemimpin Israel. Ini tidak benar. Saya rasa mereka ini ada tujuan politik kerana yang buat pembohongan ini ada terlibat dengan parti lawan kita,” katanya kepada pemberita.

Semalam, seramai 30 anggota yang dikatakan mewakili Persatuan Mukabuku Pulau Pinang membuat kacau di majlis orang ramai itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (SPICE) dekat sini dengan menuntut agar Guan Eng menjelaskan dakwaan bahawa DAP kononnya menerima sejumlah dana RM1.2 bilion daripada Israel sebagaimana difitnah oleh seorang bekas anggota DAP, Razali Abdul Rahman.

DAP telah berkali-kali menolak fitnah itu di samping menafikan dakwaan kononnya Razali pernah menyandang jawatan dalam parti, sama ada di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan atau di pejabat DAP Pulau Pinang.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menjelaskan bahawa jika benar beliau pernah berjumpa dengan pemimpin Israel atau menerima apa-apa sumbangan, sudah tentu awal-awal lagi sudah ada usul di Parlimen untuk menggantung beliau.

“Tentu saya akan jadi seperti Nurul Izzah (Ahli Parlimen Lembah Pantai) yang digantung dari Parlimen kerana komen beliau tentang Sabah serta kerana bergambar dengan anak seorang pemimpin Moro di Filipina,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tindakan kumpulan itu sebagai perbuatan ‘tidak ada akal’, sambil menyifatkannya sebagai satu lagi helah kerajaan UMNO-BN untuk mengalihkan isu semasa.

“Tindakan memfitnah DAP dengan RM1.2 bilion itu hanyalah untuk menangani publisiti buruk yang dihadapi kerajaan UMNO BN berkaitan skandal derma RM2.6 bilion.

“Berbeza dengan tuduhan yang dilemparkan NGO itu, skandal RM2.6 bilion bukanlah fiksyen, tetapi kenyataan, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri mengakuinya,” katanya. – Roketkini.com