Berita

BN tangguh projek tebatan punca Kuching dilanda banjir

KUCHING 10 FEB: Sikap sambil lewa kerajaan Barisan Nasional (BN) melambat-lambatkan projek tebatan banjir Fasa 2 di bandar ini mencerminkan mereka membelakangkan kepentingan rakyat meskipun DAP berulang kali mendesak supaya disegerakan.

Akibatnya, beberapa lokasi di sini kerap ditenggelami banjir dengan terkini lima kawasan iaitu Sungai Sarawak Kanan di Buan Bidi, Jambatan Bau, Sungai Sarawak Kiri di Batu Kitang dan Kampung Git yang diletak dalam keadaan berjaga-jaga kerana paras air melangkaui aras bahaya.

Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan Kok Ping kesal dengan sikap kerajaan yang tidak memberi keutamaan kepada projek itu, malah menyatakan ia bergantung kepada situasi kewangan negara sekaligus menunjukkan pengabaian terhadap kepentingan rakyat.

Beliau merujuk jawapan Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2010, program tebatan banjir Fasa 2 yang bernilai RM584 juta itu hanya dilaksanakan pada 2016 dan 2017 bergantung kepada situasi kewangan negara.

Kok Ping berkata demikian selepas bersama sukarelawan DAP Sarawak menghulurkan bantuan kepada lebih 450 mangsa banjir di Dewan Masyarakat Taman Malihah dekat sini, pada 8 Februari sekitar pukul 12 pagi hingga 4 pagi.

“Kami mengedar bantuan makanan dan keperluan asas. Jalan raya ditenggelami air. Kami memuji komitmen bomba dan sukarelawan lain yang lumus membantu mangsa,” katanya yang kesal berikutan keadaan mangsa banjir pada hari pertama sambutan Tahun Baru Cina.

Katanya, hampir setiap tahun penduduk di sekitar sini bimbang terhadap kekerapan banjir terutama pada musim hujan dan antara faktor utamanya ialah sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik.

“Keadaan bertambah buruk dengan kemunculan banyak projek pembangunan sekeliling perumahan kerana pihak berkuasa tempayan tidak menyelenggara sistem perparitan dengan baik,” katanya. -Roketkini.com