Berita

Pentadbiran UM jangan halang mahasiswa bersuara

GEORGE TOWN 10 FEB: Universiti Malaya didesak untuk menarik semula notis tindakan tatatertib terhadap enam mahasiswa yang mengkritik universiti itu dalam sidang media berkaitan kuota internet, Disember lalu.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menyifatkan tindakan menutup mulut mahasiswa i itu tidak profesional dan mengongkong kebebasan bersuara dalam menuntut hak asasi mereka.

“Tindakan enam mahasiswa itu mengetengah isu melibatkan warga kampus patut mendapat pujian dan diberi perhatian serius, tetapi mereka pula digertak untuk diambil tindakan disiplin.

“Sepatutnya naib canselor dan pengurusan universiti yang perlu kena tindakan disiplin kerana gagal menjaga amanah terhadap anak-anak kita,” kata bekas mahasiswa uniersiti itu.

Sebelum ini, beberapa portal melaporkan enam mahasiswa diarah menghadiri prosiding tatatertib kerana mengetengahkan isu kuota internet di kampus.
Mereka kemudian menerima notis berkaitan prosiding tatatertib dan diarah hadir ke prosiding pada 15 Februari.

Mereka ialah Suhail Wan Azahar, Nur Hananie, Chua Hun Chi, Chow Abdullah, Ho Chi Yang, Muhammad Luqman dan Fahmie Nuaiman.

Pada kenyataan media, Sim bimbang jika mahasiswa tidak dibenarkan bersuara dan berfikir secara kritis, universiti sekadar menjadi kilang untuk menghasilkan ‘robot’ tetapi tetap gagal memenuhi pasaran kerja.

“Merujuk kepada Laporan Bank Dunia tahun 2013, seorang daripada lima siswazah di Malaysia bawah umur 25 tahun menganggur.

“Pada 2014, sekali lagi Bank Dunia memberi amaran tentang pengangguran mahasiswa. Kali ini ia memetik statistik Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan lebih 56,000 mahasiswa gagal mendapat kerja 6 bulan selepas tamat pengajian,” katanya.

Beliau berkata, antara faktor pengangguran yang berlaku ialah akibat kegagalan institusi pengajian tinggi negara ini menyediakan latihan kepada mahasiswa untuk memenuhi cabaran pasaran kerja. -Roketkini.com