Berita

Cadangan pinda OSA untuk elak skandal rasuah BN didedahkan?

KUALA LUMPUR 11 FEB: Kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk meminda hukuman mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) bertujuan menghalang rakyat dari mendedahkan skandal kewangan melibatkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata kenyataan itu jelas cuba menakut-nakutkan pemberi maklumat di samping mengalih perhatian umum daripada kegagalan pelbagai agensi kerajaan menyelesaikan skandal kewangan yang didedahkan hari ini.

“Sesiapa yang didapati bersalah membocorkan rahsia akan dihukum penjara seumur hidup dan 10 sebatan. Malah, wartawan yang enggan mendedah sumber serta berpegang dengan etika kewartawanan juga bakal didakwa.

“Langkah zalim itu bukan saja menghina demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan akhbar, tetapi turut menghukum wartawan dan pemberi maklumat yang membongkarkan isu rasuah,” katanya.

Pada kenyataan media semalam, Setiausaha Agung DAP itu berkata pendedahan isu rasuah kepada rakyat memerlukan maklumat dari dalam, justeru pindaan itu akan menghalang sebarang gejala rasuah daripada terdedah.

“Pemberi maklumat yang harus dilindungi, bukannya pelaku rasuah, lebih-lebih lagi apabila maklumat itu kemudian terbukti benar,” katanya.

Beliau berkata, tindakan Apandi mengaitkan situasi di Malaysia dengan China tidak wajar kerana negara itu mengenakan hukuman mati kepada pelaku rasuah walaupun mengenakan hukuman sama kepada pembocor rahsia kerajaan.

“Apandi perlu ingat, pelaku rasuah di China juga dihukum dengan hukuman mati. Adakah dia berniat untuk membuat pindaan sama terhadap jenayah rasuah di negara ini?” katanya.

Sebelum ini, media melapor Apandi menimbang pindaan hukuman OSA kepada penjara seumur hidup dan 10 sebatan, malah mahu mendakwa wartawan dan editor media bagi mengekang kebocoran rahsia di negara ini.

Tindakannya itu mendapat kritikan keras beberapa kumpulan dan persatuan wartawan, antaranya Gerakan Media Marah (GERAMM) dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ). -Roketkini.com