Berita

Mahkamah Sivil ada kuasa isytihar tukar agama sebelah pihak tidak sah?

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Kes perebutan anak antara bekas suami isteri, Izwan Abdullah dan S Deepa menimbulkan persoalan sama ada Mahkamah Sivil memiliki kuasa mengisytihar penukaran sebelah pihak kepada Islam, sebagai tidak sah.

“Itu persoalan yang perlu dijawab untuk menyelesaikan masalah suami atau isteri yang menukar agama untuk mendapatkan hak penjagaan anak seperti yang perlu diputuskan dalam kes Indira Gandhi sebelum ini,” kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

Katanya, keputusan itu membangkitkan persoalan dan keraguan kerana Izwan, bapa kepada dua anak itu menculik anaknya dua hari sebelumnya, Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan hak penjagaan diberi kepada isteri, S Deepa.

“Boleh diragukan jika Mahkamah Persekutuan seolah-olah mengiktiraf perbuatan memalukan si bapa yang menculik anaknya setelah dua hari Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan hak penjagaan diberi kepada si isteri.

“Persoalannya, sama ada si bapa layak diberi hak penjagaan berdasarkan kelakuan berdasarkan skim Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976?” katanya pada kenyataan media.

Beliau merujuk keputusan mahkamah yang memutuskan Izwan yang memeluk Islam dari Hindu diberi hak jagaan anak lelakinya, Nabil (Mithran) manakala Nurul Nabila (Sharmila) dijaga bekas isterinya, S Deepa yang beragama Hindu.

Justeru, Ramkarpal Singh membidas kenyataan Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam yang mengganggap isu berkenaan sudah selesai, sebagai cetek dan gagal memahami selok belok undang-undang.

Beliau menasihati Subramanian supaya tidak terburu-buru dan meminta supaya menunggu kes Indira Gandhi yang dalam proses rayuan, diputuskan Mahkamah Persekutuan.