Rencana

DAP 50 tahun: Ke mana harus kita mengorak langkah?

 

 

SAYA fikir tidak ada seorang pun yang pernah menyatakan bahawa DAP harus mengorbankan prinsipnya untuk keadilan, kebebasan dan demokrasi. Yang perlu kita ubah ialah modus operandi yang membolehkan kita mengorak langkah untuk menjadi sebuah parti yang inklusif di Malaysia terutama di Sabah dan Sarawak, untuk semua kaum Melayu, Iban dan Kadazan – selaras dengan visi penubuhan parti kita untuk menjadi sebuah parti rakyat Malaysia untuk rakyat dan dari rakyat.

Mari kita sama-sama merenung di mana kini kita berada. Apabila DAP ditubuh 50 tahun lalu – dan saya salah seorang daripada segelintir yang mampu bercakap mengenainya – tidak seorang pun dari kami pernah terfikir untuk menjadi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), malah membentuk kerajaan.  

Untuk 50 tahun lamanya. Kini satu persoalan yang harus dijawab : Quo vadis, DAP? Di mana kita akan mengorak langkah dari sini?

Kita bermula sebagai sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia. Tidak pernah terlintas bahawa parti ini hanya milik kaum Cina dan India sahaja. Sudah tentu pada awal penglibatan kami hanya menumpukan terhadap usaha dalam Semenanjung Malaysia, namun kemudiannya, kami menjadi parti Se-Malaysia pertama apabila memulakan operasi di Sabah dan Sarawak.

Sebagai sebuah parti pelbagai kaum yang sejati, dalam tiga Pilihan raya kecil yang kami tandingi sebelum Pilihan raya Umum pada 1969, kami bertanding di kubu kuat UMNO. Kami tidak akan sama sekali bertanding dalam Pilihan raya kecil berkenaan, jika kami sebuah parti Cina.

Pilihan raya kecil pertama yang kami tandingi ialah di Kampung Baru. Bayangkan Kampung Baru yang majoritinya kaum Melayu di Kuala Lumpur dan calon UMNO ketika itu ialah Ahmad Razali yang kemudian menyandang jawatan Menteri Besar Selangor pada 1982, dan adik ipar kepada Dr Mahathir Mohamad.

Pilihan raya kecil kedua ialah di Tampoi, Johor dan Daeng Ibrahim sebagai calon kami. Dan ketiga di Segamat Utara, juga di Johor dengan calon UMNO ketika itu ialah Musa Hitam yang kemudian menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Kami tidak takut untuk bertanding di kawasan UMNO kerana kami percaya dalam perjuangan dan memenangi hati dan minda semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Pilihan raya umum pada 1969 adalah julung-julung kalinya DAP bertanding, dan terdapat ramai calon kaum Melayu untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Kita menang satu kerusi di Perak oleh Ibrahim Singgeh dan seorang lagi di Negeri Sembilan iaitu kerusi Si Rusa.

Kemenangan itu tidak mudah memandangkan kami sering diburuk-burukkan, kami diserang tapi ia salah satu masalah yang perlu kami hadapi.

Dalam suasana politik Malaysia yang didominasi dengan politik berdasarkan kaum, diikuti politik dan agama, dan politik kelas ketiga, dan itu salah satu sebab mengapa Parti Rakyat Malaysia tidak berjaya melakukan impak besar dalam politik di Malaysia, walaupun hakikatnya ia dipimpin oleh golongan intelektual Melayu.

Adakah kita berpuas hati dengan pencapaian kita kini?

Kini, kita di ambang yang sangat kritikal. Adakah kita berpuas hati dengan pencapaian kita kini? Tidak dinafikan dalam keadaan tertentu, kita sudah pun menjadi sebuah parti yang mantap kerana kita parti kedua terbesar berdasarkan jumlah kerusi. Kita adalah parti pilihan di kawasan maju, sama ada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

Tetapi adakah setakat itu yang kita mahukan? Ada kita sudah berpuas hati? Adakah itu misi utama kita? Adakah itu yang mahu ditegakkan DAP?

Kita untuk Malaysia, dan untuk seluruh rakyat Malaysia. Dan oleh itu kita harus berupaya mendekati, mengembeling sokongan bukan sahaja daripada kaum Cina dan India, malah kaum Melayu, Iban dan Kadazan; itu adalah tanggungjawab kita, tugas kita. Jika tidak untuk apa kita berada dalam DAP? Untuk menjadi jaguh kaum Cina sahaja? atau India? Tidak!

Dan bagaimana kita harus mengorak langkah seterusnya? Kita harus mendepani realiti. Suka atau tidak, kita ada limitasi dalam bagaimana kita harus berfungsi, bagaimana kita harus beroperasi. Tetapi sudah tentu bukan dari segi ideologi serta kepercayaan kita. Keyakinan terhadap sosial demokrasi adalah untuk semua rakyat Malaysia. Kita ada ideologi yang tepat.

Tetapi dari segi praktikalnya kita terkurung dalam ruang lingkup kawasan maju terutama kepada kaum bukan Melayu. Kita harus mendekati kaum Melayu, Kadazan, Dayak dan Orang Asli.

Salah satu sebab utama saya berpindah ke Gelang Patah, Johor pada Pilihan raya ke-13 (PRU 13) lalu dari kawasan pilihan raya Ipoh Timur ialah kerana keperluan berkenaan. Kita harus berhijrah dan mendekati semua rakyat Malaysia.

Ia  langkah berisiko. Saya tidak tahu sama ada saya akan menang, dan ramai orang fikir ia adalah langkah yang kurang bijak. Namun, ia sebab mengapa kita berada dalam DAP dan politik Malaysia; untuk mengambil risiko.

Saya bernasib baik kerana menang tetapi ia bukanlah pengakhiran bagi perjuangan saya, ia permulaan kepada perjuangan kedua saya untuk Cita-cita Malaysia; Impian Malaysia, Impian Sabah, Impian Sarawak, Impian Kelantan, Impian Kedah, Impian Perak dan Impian Johor. Itu  peringkat kedua kami.

Proses Impian menjadi usaha selepas 2013. Ketika itu, harapan rakyat membuak-buak untuk melihat perubahan pada PRU 13 tetapi malangnya ia gagal membuahkan hasil ekoran proses pilihanraya yang pincang dan tidak adil. Barisan Nasional (BN) diketuai Datuk Seri Najib Razak hanya memperoleh 47 peratus undi, dan 60 peratus kerusi Parlimen, Perdana Menteri pertama yang mendapat undi minoriti.

Setelah itu, Pakatan Rakyat terbubar, dan kita sampai ke tahap kini. Dalam kehancuran Pakatan Rakyat, Parti Amanah Negara (Amanah) tertubuh, dan gabungan baru, Pakatan Harapan juga lahir. Kita mampu untuk membina satu harapan baru, dan seperti mana yang diharapkan Pakatan Harapan.

Tetapi bagaimana pula dengan DAP? Memandangkan misi kita selama ini untuk menjadi sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia, kita mahukan semua parti yang boleh diharapkan oleh semua rakyat Malaysia, tidak kira kaum, agama dan kawasan. Ia akan terus menjadi impian serta objektif kita.

Tetapi realiti kini, sekurang-kurangnya untuk masa akan datang, menunjukkan DAP tidak akan boleh dengan sendirinya membentuk Kerajaan Persekutuan, malah kerajaan negeri. Ia harus menjadi sebuah gabungan untuk parti pembangkang kini menentang UMNO yang memimpin BN.

Bukan Melayu lawan Cina

 

Kita tidak harus terjerumus dalam perangkap UMNO sehingga membenarkan ejen propaganda UMNO melabel perjuangan kita sebagai “UMNO lawan DAP” kerana amat mudah untuk mereka menyatakan ia perlawanan antara Melayu dan Cina.

Ia bukanlah perlawanan antara Melayu dan Cina meski ada cakap-cakap yang mengatakan jika UMNO kalah pada pilihan raya akan datang, Najib kehilangan kedudukan, dan kaum Melayu kehilangan kuasa politik. Dengan itu DAP dan kaum Cina kononnya akan merampas kuasa politik. Ini fitnah  tidak berasas tetapi itulah propaganda politik yang kuat. Kita mesti menepis dan mematahkan segala tipu muslihat dan fitnah berkenaan.

Bagaimana kita boleh mengelakkan Najib daripada mengetepi serangan yang ditujukan terhadapnya ekoran salah laku rasuah, penyalahgunaan kuasa, dasar pembangunan negara yang gagal dengan mengubah keseluruhan isu kepada peperangan kaum dan agama antara yang beragama Islam dan bukan beragama Islam, kaum Melayu menentang kaum Cina?

Inilah sebab mengapa ia penting untuk DAP meneruskan perjungan misinya untuk mengubah diri kita kepada parti Malaysia yang boleh diterima oleh semua bangsa di negara ini. Persoalan mengenai mengorbankan kepercayaan dan ideal kita tidak pernah timbul. Tetapi saya fikir, kita harus mengubah modus operandi kita.

Kita mudah terperangkap ke dalam jerangkap samar mereka yang mahukan kita terlibat dalam perbalahan kaum. Saya mahu berterus terang dan bersikap agak kritikal di sini. Kita jatuh dalam perangkap sedemikian di Perak pada pilihan raya lalu. Untuk dua pilihan raya umum, kita tidak meletak sebarang calon kaum Melayu kerana ada cakap-cakap yang mengatakan langkah itu akan mengecilkan hati rakan kita ketika itu, PAS.

Mereka bimbang kita akan mempertaruh diri untuk jawatan Menteri Besar. Memandangkan jawatan Menteri Besar tidak menjadi tujuan kita, kita merebut peluang itu daripada mereka, tetapi kita fikir ia satu tindakan salah berikutan pengundi melihat kita tidak meletak calon kaum Melayu di Perak. Kita harus meletak calon Melayu di Perak sambil menegaskan tidak berniat untuk jawatan Menteri Besar.

Saya sudah menyuarakan pandangan tegas itu kepada kepimpinan Perak dan saya tidak fikir kita patut membuat kesalahan sama lagi. Kini, kita dengar perkara sama dari rakan pakatan kita di Amanah Johor. Mereka fikir DAP tidak harus meletak calon Melayu di peringkat DUN terutama di Johor berikutan tuduhan terhadap DAP sebagai parti Cina. Ia jerangkap samar politik. Kita harus menangani perkara ini secara serius.      

Perlunya sebuah pakatan

Kita harus bekerjasama dengan Amanah dan PKR. Kita harus mengambil iktibar daripada kejayaan Pakatan Harapan dalam politik Malaysia. Ujian pertama kita adalah di Sarawak, dengan pilihan raya negeri yang akan berlangsung dua bulan lagi, sama ada kita boleh menepati janji kepada semua rakyat Malaysia.

Deklarasi Pakatan Harapan hanya akan ada pertandingan satu-lawan-satu. Ia tidak mudah, sangat sukar – satu tugas yang kini dipikul Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

Saya fikir yang penting ialah: bagaimana kita harus beroperasi dan bagaimana kita boleh mengubah secara drastik modus operandi kita? Ia sesuatu yang semua pimpinan negeri DAP harus berbincang dan memperhitung kaedah termasuk langkah politik yang inovatif untuk mendekati mereka yang kita tidak pernah lakukan sebelum ini untuk dua setengah tahun akan datang.

Kembara ke seluruh negara sebagai kesan penggantungan enam bulan dari Parlimen akibat isu “Mana RM2.6 bilion?” harus digunakan sebagai peluang untuk mendekati kawasan baru. Saya berharap untuk melawati sebahagian 150 kawasan parlimen daripada 222 kawasan sebelum tiba masanya saya kembali ke Parlimen pada Mei.

Saya berharap seluruh negeri dapat merancang program seumpama itu dan pemimpin hadir bersama-sama kerana ia menjadi langkah terbaik untuk mendekati kawasan yang kita tidak pernah lawati sebelum ini.

Menentang  propaganda kotor

Kita harus lebih sensitif terhadap serangan jahat yang menuduh kita sebagai “parti Cina” atau “parti agama Kristian”. Terdapat banyak tuduhan bahawa mesyuarat di Pulau Pinang bertujuan membentuk sebuah negara Kristian, ada segelintir menggambarkan DAP sebagai parti yang mengagungkan Kristian, ada sebuah buku bertajuk “Sang Nila Utama and the Lion of Judah” yang secara serius melakukan serangan jahat dengan menyatakan wujud konspirasi di negara ini untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian, dan DAP kononnya  sebahagian usaha itu.

Semua itu adalah palsu. Semua itu tidak benar. Tetapi ia ‘makanan’ propaganda UMNO untuk memburuk-burukkan DAP dan mengelirukan orang Melayu dengan gambaran salah kononnya ia perlawanan antara Melayu lawan Cina, dan  Islam lawan Kristian. Semua ini tidak benar sama sekali tetapi bagaimana kita boleh menepis segala penipuan itu?

Saya sudah menjadi mangsa banyak penipuan untuk 50 tahun lamanya. Bermula pada kekecohan 13 Mei apabila saya dituduh sebagai dalang kekecohan itu, kononnya memimpin demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur, diberi julukan anti- Melayu dan anti-Islam walaupun saya tidak berada di Kuala Lumpur ketika itu kerana berada di Sabah.

Penipuan terbaru terhadap DAP adalah berkaitan tuduhan kononnya Israel memberi tawaran RM1.2 bilion untuk membuka pangkalan tentera laut di Port Dickson. Mengapa mereka mahukan pangkalan berkenaan di sebuah kawasan resort di Port Dickson, saya sendiri tidak dapat menghadamnya. Tetapi penipuan demikian memberi kesan besar. Bagaimana kita harus menepisnya? Bagaimana kita harus mematahkannya?  

Ada satu perkataan baru dalam dunia politik, pengantaraan (disintermediation), lambakan orang tengah. Dalam era internet, lambakan orang tengah tidak sahaja berlaku dalam sektor komersial dan industri malahan politik.  

Siapakan orang tengah ini? Mereka termasuk parti politik, pengamal media, dan peninjau pendapat. Apalah yang harus kita lakukan? kita harus mendekati secara terus kepada rakyat kerana kita tidak mahu bergantung dengan media sahaja, kerana kita tidak mahu bergantung dengan tinjauan pendapat sahaja.

Menjangkau

Bagaimana kita harus membawakan proses pengantaraan ini di Malaysia? Ia salah satu cabaran baru yang kita harus hadapi, untuk pergi kepada rakyat di kawasan terpencil di semenanjung malahan di Sarawak dan Sabah. Persoalannya adalah mengenai modus operandi.

Sudah tentu kita boleh katakan modus operandinya ialah kerja keras. Segelintir kita mungkin berkata dengan keadaan kita, rakyat boleh menerima atau menolak kita. Segelintir akan berkata kerana kita percaya terhadap sosial demokrasi, kita percaya kepada keadilan dan demokrasi, dan segala prinsip kita jelas dan sudah diisytihar, kita tinggalkan keputusan kepada rakyat sama ada mahu memilih kita atau tidak. Bahawa walaupun kamu seorang Melayu, Iban, Kadazan, India, Cina, tetapi apabila melibatkan DAP, kamu diberi pilihan sama ada untuk menerima atau tidak. Saya tidak fikir ia sikap sewajarnya.

Kita tidak harus ada sikap sedemikian kerana kita akan lari dari tanggungjawab kita. Kita harus sedar bahawa dalam keadaan sosial yang pelbagai, masih ada kaum Cina yang hidup dalam dunia kecinaannya, Melayu yang duduk dalam dunia kemelayuaannya, India yang duduk dalam dunia keindiannya, dan begitu juga Iban dan Kadazan.

Ini tugas kita untuk mendekati mereka untuk berkongsi gambaran Malaysia yang lebih luas. Kita mahu mereka berkongsi ideal kita bahawa Malaysia ini milik kita bersama, ia takdir yang dikongsi.

Ini tanggungjawab kita sebagai pemimpin politik untuk memimpin kaum Cina yang sangat tinggi kecinaannya untuk melihat dalam perspektif semua rakyat Malaysia yang turut diguna pakai untuk dunia kaum India, malah kaum Melayu yang hanya terperuk dalam dunia Melayu dan Kadazan dan Iban juga. Adakah kita bersedia untuk cabaran mendekati mereka?

Ia tidak mudah, ia jalan yang sukar, dan kita mungkin menemui kegagalan. Tetapi jika kita tidak melakukan apa-apa, adakah kita akan berjaya? Jika kita berpuas hati dengan apa yang kita ada kini, adakah kita akan mencapai kejayaan sebenar?

Adakah kita akan berjaya mendekati mereka yang tinggal di kawasan pendalaman di negara ini, di Sabah, di Sarawak, di Semenanjung Malaysia? Atau adakah kita akan terus selamanya mendapat sokongan pengundi bandar?
Kita tidak harus lupa rakyat menyokong kita kerana mereka percaya bahawa kita boleh memimpin ke arah Malaysia yang lebih baik. Bagaimanapun, kita tidak boleh memimpin mereka ke arah itu, melainkan jika kita menjadi sebahagian pakatan yang mampu memerintah, merangka dan melaksanakan dasar untuk negara.

Saya ulangi, kita dalam keperluan untuk berubah dan harus berani mendekati dan untuk melakukan itu, kita harus berani mengubah DAP kepada parti untuk seluruh rakyat Malaysia yang sebenar, dengan sokongan seluruh rakyat termasuk Melayu, Iban dan Kadazan mahupun Cina dan India.
Tidak ada seorangpun berpandangan kita mengkhianati dan mengkompromi atau menjual prinsip kita, ideal dan objektif. Yang kita perlu ubah secara drastik ialah modus operandi kita, bukannya ideal dan prinsip kita, untuk menjadi lebih inklusif untuk mengharapakan sokongan semua rakyat Malaysia.

 

* Lim Kit Siang ialah pemimpin politik  veteran yang kini berperanan sebagai Ketua Parlimen DAP