Sastera

Sajak Pak Samad sempena ulang tahun Lim Kit Siang ke-75

Impian Pemimpin
(istimewa untuk YB Lim Kit Siang)

Datangnya dengan peta yang tulus terbuka
Cekal disemainya benih impian bangsa
Dirinya pemahat peta hidup berukun
Dengan peluh diukirnya secermat tekun

Di dalam taman merpati mesra menari
ternampak dia meneroka rimba asli
tabah disemainya benih janji yang murni
diusaha yang mercup: Impian Sejati

Tujuh dekad setengah dirinya berarah
Diasasnya demokrasi di era resah
dilepaskan kekunang di alam gelita
agar malam merdeka berwarnian indah

Kini di tasik dirinya menilai hajat
di sisi panji pastinya berdiri hebat
Dia tak mudah ditelan gelombang nista
cekal di pantai pupuk Impian Malaysia

Dia tidak berkibar atas harta orang;
maka panji yang dijulang tetap gemilang.

 

sajak pak samad

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

*Sajak ini didedikasi oleh Pak Samad kepada Lim Kit Siang sempena hari jadi Lim Kit Siang yang ke-75.