Berita

Pakatan Harapan tidak terlibat sidang media dengan Mahathir esok

PETALING JAYA, 3 MAC: Pakatan Harapan tidak akan terlibat dalam sidang media dengan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad esok yang dikatakan akan membincangkan mengenai kerjasama untuk ‘Selamatkan Malaysia’.

Demikian jelas Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, dalam satu sidang media di sini petang ini, bagi menjelaskan khabar-khabar kononnya Pakatan Harapan akan mengadakan sidang akhbar bersama Mahathir.

“Jika ada mana-mana pemimpin Pakatan Harapan dalam sidang media esok bersama Tun Mahathir, itu adalah atas kapasiti peribadi dan tidak ada masalah.

“Yang penting, secara rasmi, Pakatan Harapan tidak ada apa-apa kaitan dengan apa-apa yang akan dilakukan dengan Tun Mahathir. Esok, Pakatan Harapan tak kan terlibat,” katanya.

Menjelaskan lanjut, Saifuddin berkata kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang dilaporkan oleh portal berita sebagai mengatakan pembangkang akan mengadakan satu sidang media berhubung kerjasama dengan Mahathir adalah di luar konteks Pakatan Harapan.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan akan memberi butiran lanjut berasaskan kenyataan media yang dibuat lalu mengenai kedudukan Perdana Menteri dan langkah seterusnya yang akan diumumkan pada 7 Mac ini,” ujar beliau.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook, yang ditemui selepas sidang media itu berkata, Pakatan Harapan bersifat terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang mempunyai agenda bersama menolak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap pentadbiran negara.

“Tunggu mesyuarat Majlis Presiden minggu hadapan.

“Grand coalition itu konsep yang baru dan bukan hanya pendekatan parti politik, ataupun Mahathir atau Muhyiddin perlu masuk parti politik. Dia boleh juga atas kapasiti mereka sebagai individu,” katanya.

Selasa lalu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, mencadangkan kewujudan satu “grand coalition” tanpa mengira latar belakang politik, kaum dan kepercayaan untuk menyelamatkan Malaysia yang semakin teruk dilanda krisis akibat korupsi, salah urus ekonomi dan salah guna kuasa.

Mengikut cadangan itu, ia bukan “kerajaan perpaduan” yang dipelopori PAS dan UMNO yang berasaskan satu kaum dan satu agama sahaja, kerana gabunganraya itu bercirikan sebuah kerajaan berdaya maju dan mampan yang merentas kaum, agama, gender, budaya dan wilayah. – Roketkini.com