Berita

Skandal 1MDB: Di mana dua laporan penting PAC, soal Kit Siang

PETALING JAYA, 8 APRIL: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa supaya Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Hasan Arifin, menjelaskan ketiadaan dua laporan penting di dalam buku laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diedarkan kepada semua Ahli Parlimen semalam.

Dua laporan yang tidak disertakan itu adalah Laporan Interim Ketua Audit Negara yang diserahkan kepada PAC pada Jun tahun lalu, dan laporan akhir yang disiapkan PAC pada bulan lalu.

Menyifatkan Hasan gagal dalam melaksanakan tugasnya, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut mempersoalkan tindakan Pengerusi PAC itu yang tidak melakukan sebarang sidang media selepas laporan terhadap syarikat sarat hutang dan skandal itu didedahkan.

“Adakah PAC tiada timbalan pengerusi? Biar beliau (timbalan pengerusi) yang mengadakan sidang media untuk memberikan penjelasan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas satu majlis pertemuan pemimpin DAP bersempena PRN Sarawak Ke-11 di sini semalam.

Dalam pada itu, Kit Siang turut menempelak tindakan keras polis terhadap Ahli Parlimen Pandan merangkap Naib Pengerusi PKR, Rafizi Ramli, atas sesuatu yang hanya bersifat teknikal.

“Beliau ditahan selepas memetik sesuatu daripada laporan akhir Ketua Audit Negara, yang mana ketika itu diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Namun pada jam 10 pagi (semalam), selepas laporan PAC telah didedahkan, apa yang dipetik Rafizi bukan lagi di bawah OSA. Jadi mengapa kenakan tindakan yang keras seperti itu untuk alasan yang sangat teknikal?” soalnya.

Kelmarin, Mahkamah Majistret memutuskan Rafizi ditahan reman selama tiga hari susulan daripada tindakannya mendedahkan dokumen sulit yang mengaitkan 1MDB dengan Lembaga Angkatan Tentera (LTAT). Beliau disiasat mengikut seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi.

Pagi ini Rafizi telah dihadapkan ke mahkamah dan beliau tidak mengaku salah atas semua tuduhan terhadapnya. – Roketkini.com