Rencana

Mencari Tuhan (Bahagian Pertama)

Kata Mircade Eliade dalam bukunya “The History of Religion”, “Pencarian agama itu adalah sebahagian daripada struktur intelektual manusia”. Walaupun kata-kata ini dilihat biasa-biasa sahaja, bagi seorang peneroka kebenaran kehidupan, ia memberi sesuatu impak yang sangat besar. Pencarian spiritual ini adakalanya berlaku pada seseorang pada usia yang sangat muda, ada pula berlaku apabila usianya sudah lanjut atau pencen.

Oleh itu dalam norma masyarakat Melayu kita, adanya terma “belum sampai seru”, “nanti dah tua kita sembahyang lah”. Hal ini menyebabkan masjid dan surau sering dikuasai oleh golongan tua, golongan yang sudah puas “enjoy” dengan hidup mereka. Ada pula golongan yang dipanggil oleh sahabat aku, saudara Sadiq Jebat “golongan hipokrit Tuhan”, iaitu apabila di saat susah baru mencari Tuhan, dan bukankah kita semua begitu? Lebih-lebih lagi mereka yang apabila gagal dalam percintaan (gagalis).

Walaubagaimanapun, perjalanan spiritual ini bermula pada aku pada waktu yang awal. Hal ini adalah kerana faktor sejarah keluarga yang sangat kuat berpegang dengan tradisi di sebelah ibu aku. Keluarga di sebelah ibu aku, merupakan keluarga yang berasal dari Hadramaut, Yaman yang datang ke Tanah Melayu sebagai pedagang dan juga pendakwah. Keluarga kami jika di Tanah Arab dikenali sebagai Ba’alawi. Bani Alawi diambil sempena keturunan kepada Alawi ibn Ubaidullah ibn Ahmad ibn Isa al Muhaijir.

Keadaan ini telah menyebabkan ada beberapa keadaan keluarga aku menjadi “assobiyyah” maka apa sahaja yang dilakukan oleh keluarga yakni keturunan kami semua dianggap betul dan jika ada salah perlu bersangka baik. Mereka ini sangat kritikal terhadap pegangan orang lain tetapi sedihnya bukan pada pegangan sendiri. Segala dalil hujah yang boleh menyebelahi mereka akan dicari untuk mempertahankan pegangan keluarga manakala hujah dalil agama yang tidak selari dengan mereka dipejamkan mata sebelah.

Ada pula yang dalam kalangan kami merasakan diri mereka sudah pun dijamin syurga hanya kerana mereka berketurunan kepada satu tokoh yang dianggap mulia iaitu Imam Ahmad ibn Isa al Muhajir. Disebabkan oleh mereka ini berketurunan demikian maka mereka ini sering dihormati dan dilayan begitu baik sekali oleh masyarakat sekeliling. Keadaan ini menjadikan segelintir daripada kami sangat angkuh dan sombong serta selalu memandang orang lain sebagai golongan kelas bawahan.

Namun demikian, ini semua tidak membawa ke mana-mana kerana kampung ku sering menjadi sasaran kebanyakan orang luar sebagai kampung ajaran sesat. Ada yang menuduh penduduk kampung aku suka membela anjing hitam, ada yang berkata kami minum darah haiwan, ada yang menyatakan kami apabila sembahyang hanya dengan niat sahaja dan paling dasyat sekali tuduhan kami melakukan umrah di satu bukit yang aku pun tidak tahu di mana tempat itu.

Segala yang berlaku menyebabkan mulanya minat intelektual aku bertumbuh untuk memahami apakah itu agama dan ianya bukan hanya dengan sangkaan semata-mata tetapi dengan lebih mendalam. Pada waktu inilah aku mula merenung konsep Tuhan dan kebenaran. Pada waktu persekolahan aku sering mempertikaikan ustaz atau ustazah apabila mereka mengajar subjek Pendidikan Islam. Antara perdebatan dengan ustazku adalah mengenai talfiq (menggabungkan) mazhab iaitu percampuran pendapat antara mazhab-mazhab lain. Ini juga termasuk mazhab Syiah dengan mazhab Syafi’i.

Tidak akan sesekali aku lupa pertembungan idea antara aku dengan Ustaz Azim. Beliau adalah merupakan individu yang bertanggungjawab yang telah menambahkan lagi minat aku terhadap pengajian agama semasa di Tingkatan 4. Rakan-rakan sekelas akan gembira kerana waktu pengajian bagi subjek Pendidikan Islam akan habis dengan perdebatan aku dengan Ustaz Azim. Walaupun aku selalu mempertikaikan beliau, beliau sentiasa menyambut baik segala persoalan dan menghormati sifat kritikal anak muridnya.

Tidak pernah sesekali beliau menuduh aku sebagai sesat malah bangga kerana ada anak muridnya bukan sekadar belajar agama tetapi yang mampu berhujah. Ini menyebabkan, sehingga hari ini aku masih menghubunginya.

Selesai pengajian di sekolah, pencarian Tuhan aku tidak terhenti di situ. Oleh sebab talfiq mazhab itu berjaya menarik minat aku maka permikiran aku banyak dipengaruhi oleh permikiran gerakan tajdid (pembaharuan) yang dibawa oleh tokoh-tokoh pembaharu seperti Syeikh Muhammad Abduh, Sayyid Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Rashid Redha. Di Nusantara pula, tokoh-tokoh seperti Buya Hamka, Syeikh Syed al-Hadi, Burhanuddin al-Helmi, Hassan Bandung dan Kiyai Ahmad Dahlan kebanyakan buku dan sejarah kehidupan mereka aku pelajari.

Di sinilah bermulanya aku mengenali metodologi salaf iaitu satu metodologi yang berasaskan al-Quran dan Sunnah dengan fahaman para ulama salaf. Kebanyakan mereka yang melalui jalur ini akan sering dilihat seperti mazhab “Protestant” dalam Kristian. Selalunya pendekatan yang diambil mereka adalah ketulenan sumber rujukan agama seperti Al-Quran, kitab-kitab hadith dan kitab-kitab imam mazhab. Argumentasi kebenaran yang sering dibawa adalah rujukan siapa yang lebih sahih dan rujukan yang dibawa hendaklah juga daripada para ulama akidah yang sahih (mazhab Athari).

Barangsiapa yang berada dalam keadaan ini mungkin akan merasakan dirinya bahawa dialah paling benar dan boleh seperti dia sedang minum kopi dengan Tuhan. BERSAMBUNG… – Roketkini.com