Wawancara

Rinda Alexander: Dari jururawat kepada aktivis politik

Daripada seorang jururawat di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu di Sabah, beliau beralih menjadi aktivis DAP di negeri asalnya di Sarawak. Sebagai seorang wanita prihatin, beliau merasa terpanggil untuk berkhidmat secara langsung kepada masyarakat tanpa mengira penat dan lelah. Aktif sejak 2013 dalam program parti dan program Impian Sarawak, kini Rinda Juliza Alexander, 31, sedia menjadi pencetus perubahan kepada masyarakat berpusat di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.47 Pakan, Sarawak. Ikuti wawancara wartawan Roketkini.com, Hafiz Zainuddin bersama wanita gigih ini untuk mengupas pengalaman dan visi berjuangnya bersama DAP. Foto oleh Wan Ahmad Yusufi.

Fokus kawasan: DUN N.47 Pakan terletak di bawah bawah Parlimen Julau, salah sebuah kawasan pedalaman di Sarawak. Lebih 90 peratus populasi Pakan terdiri daripada kaum Dayak-Iban, lima peratus kaum Cina manakala 5 peratus lagi suku kaum-kaum lain dengan aktiviti utama penanaman lada, sawit dan padi huma. Dalam pilihanraya negeri Sarawak 2011, BN yang diwakili Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang memperoleh majoriti 1,197 undi menewaskan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang menjalin hubungan dengan pembangkang Pakatan Rakyat pada masa itu. Kali ini, DAP dijangka meletakkan calon sulungnya di DUN Pakan dan menjadi pesaing utama merebut kerusi tersebut yang mungkin ditandingi beberapa calon lain.

Bagaimana daripada seorang jururawat saudari boleh berminat menyertai politik?

Saya gemar pada cabaran dan saya juga percaya bahawa perubahan perlu berlaku. Selain itu, faktor penglibatan ayah saya dalam politik sebelum ini juga mungkin menyumbang kepada minat saya dalam politik. Pada tahun 1973 beliau bertanding di salah satu kawasan Dewan Undangan Negeri di daerah Sibu mewakili SNAP. Nasib tak menyebelahinya, beliau tak menang, kemudian mencuba nasib bertanding di Dudong.

Kenapa memilih DAP dan bukan parti tempatan lain?

Terus-terang saya katakan, DAP parti yang mesra golongan muda dan wanita. Malah, DAP banyak mengetengahkan pemimpin-pemimpin muda di peringkat Parlimen mahupun DUN. Ini menunjukkan DAP adalah sebuah parti yang terbuka dan mahukan perubahan. DAP lebih terbuka terima idea-idea baru malah mengetengahkan ramai pemimpin-pemimpin pelapis muda.
Jika dibandingkan dengan parti-parti lain di Malaysia khususnya di Sarawak, memang terdapat banyak parti-parti tempatan yang bernaung di bawah Barisan Nasional seperti SPDP, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan banyak lagi. Tapi apa yang berlaku adalah peluang untuk ketengahkan orang muda sukar sekali.

Selain itu, DAP juga terbukti konsisten dalam perjuangannya untuk semua golongan masyarakat tidak kira majoriti atau minoriti. DAP juga banyak ketengahkan masalah yang timbul di kalangan masyarakat terpinggir seperti di kawasan-kawasan pedalaman. DAP adalah platform yang sangat kukuh dan sudah berpuluh tahun DAP di Malaysia. Walaupun pada awalnya DAP tidak pernah menang satu kerusi pun di Sarawak, ia tetap berjuang dan angkat isu masyarakat khususnya mereka yang terpinggir. Sekarang di Sarawak DAP ada 12 ADUN dan lima Ahli Parlimen.

Politik di Malaysia dikuasai lelaki. Apa pandangan saudari?

Di Malaysia, lebih ramai lelaki dalam politik. Jika di negara lain, ada negara boleh menerima wanita sebagai Perdana Menteri, sebagai pemimpin tertinggi negara, ini bermakna golongan wanita boleh bersaing setara dengan lelaki. Sebagai wanita, kita perlu ingat sampai bila kita kita perlu keluar dari kepompong ‘wanita tak perlu bekerja’. Apa yang kita mahu lihat sekarang biarlah wanita duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan lelaki.

rinda julizaKenapa wanita dilihat kurang minat aktif politik?

Pada pendapat saya mungkin wanita merasakan bahawa keluarga lebih penting dari politik. Memang dari pengalaman saya sejak berkecimpung aktif dalam politik saya kurang berada di rumah, banyak perjumpaan dan mesyuarat di luar, balik pun lewat, mungkin itu sebab wanita agak kurang selesa untuk melangkah ke depan. Mungkin masih ada yang berfikir walaupun berpendidikan, mereka rasa cukup jika mereka hanya bekerja, dapatkan gaji, habis kerja boleh pulang rumah.

Sebagai orang asal Sarawak iaitu Dayak Iban, saya merasakan bahawa wanita Dayak Iban sangat kurang meceburkan diri dalam bidang politik dan saya mengambil langkah untuk bertukar dari jururawat kepada seorang politik demi membuktikan wanita juga mampu bersaing dengan lelaki dan menjadi contoh kepada wanita Dayak yang lain. Penglibatan wanita Iban dalam politik sangat rendah, boleh dikatakan seperti 0.1 peratus. Sangat rendah. Bukan sahaja dalam DAP tapi juga dalam BN.

Di Sarawak DAP disebut ‘parti Malaya’, ‘parti Cina’. Apa pandangan saudari?

Sepatutnya isu parti Malaya ini tidak timbul. Perkara ini tak sewajarnya berbangkit. Saya nak tanya, adakah pemimpin DAP Sarawak juga dari Semenanjung? Di Sarawak sendiri kita tak boleh lari dari pandangan sesetengah orang yang menuduh DAP parti Cina. Tetapi adakah DAP memperjuangkan orang Cina semata-mata? Tidak. Malah jika diukur dari segi keahlian di Sarawak, majoriti adalah dari masyarakat Dayak. Malah ada yang berseloroh mengatakan DAP ialah ‘Dayak Action Party’. Namun, apapun, DAP adalah parti yang terbuka untuk semua kaum.

Saya melihat, walaupun DAP sering dituduh dengan pelbagai dakwaan kononnya parti kaum tertentu, kita jangan tidak melihat bahawa, misalnya di dalam DAP sendiri wakil rakyat kaum India lebih ramai dari MIC. Ini ramai kita tak perasan. Sekarang kita lihat ramai pembabitan di kalangan anak-anak muda kaum Dayak dan Melayu.

Prestasi DAP di DUN Pakan?

Sejak tahun 2013 saya menubuhkan cawangan DAP di sini, memperkenalkan DAP kepada penduduk sekitar banyak cabarannya dan pada memang diakui wujud sedikit kesukaran bagi saya sebagai pengerusi di sana. Antara faktornya kerana ini kali pertama DAP menjejakkan kaki di Pakan dan ramai yang tidak kenal apa itu ‘DAP’. Bila kita sebut DAP. Memang tak dikenal, bila kita bawa bendera DAP bawa masuk ke rumah panjang, baru mereka kenal “Oh ini parti Roket…” dan rata-rata di Sarawak, DAP lebih popular dipanggil sebagai ‘Parti Roket’.

Masalah-masalah utama di Pakan?

Seperti kebanyakan kawasan pedalaman di Sarawak, isu utama dan sensitif kepada penduduk Pakan ialah melibatkan kemudahan infrastruktur. Kemudahan asas ini tidak baik. Walaupun lima penggal diwakili BN di bawah SPDP, 70 peratus pembangunan infrasturktur kawasan ini tdaik dilaksanakan, masih ketinggalan seperti jalan yang masih tak berturap dan terpaksa menggunakan jalan balak, jika hujan jalan tak boleh digunakan, kadang-kadang terputus laluan. Jadi, kenderaan yang sesuai digunakan adalah pacuan empat roda sahaja. Begitu juga dengan bekalan elektrik. Hanya boleh didapati di kawasan pekan dan di premis tertentu seperti sekolah, pejabat-pejabat kerajaan dan rumah-rumah panjang berdekatan. Yang lain terpaksa menggunakan generator, dan bagi yang tak mampu pula menggunakan pelita.

Kebanyakan 90 peratus isu di rumah panjang daripada 138 rumah panjang adalah sama, iaitu masalah jalan yang tidak baik sebagai perhubungan mereka dengan kawasan luar. Contohnya jika berlaku kecemasan atau ada pesakit dari sini, atau perlu selesaikan perkara melibatkan urusan luar, mereka mengalami kesukaran dan ini menyedihkan saya.

Ibu-ibu yang mahu bersalin terpaksa menumpang rumah saudara-mara mereka di pekan selama seminggu untuk mudahkan urusan kelahiran. Di kawasan ini memang tiada hospital, kita hanya ada klinik kesihatan dan hanya dua pegawai perubatan, bukan doktor. Hospital terdekat adalah hospital Sarikei yang mengambil masa sejam dari Pakan. Jalan tar yang ada pun hanya di pekan Pakan ke Sarikei. Jalan itu pun sempit bengkang bengkok dan jika di Semenanjung, di sini sama macam jalan kampung.

SUFI5233Isu peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) hilang?

Setiap kali bajet di DUN, setiap kawasan dapat peruntukan. Tetapi persoalan besarnya sekarang peruntukan itu tidak sampai kepada rakyat, seolah tersekat entah di mana. Jika wakil rakyat jujur, perkara ini takkan berlaku. Contohnya projek MRP untuk baiki rumah dan sebagainya, bagi sebuah rumah panjang, misalnya dapat peruntukan RM70,000. Tetapi bila kita lihat hasilnya, lebih kurang RM50,000 sahaja digunakan. Mana pergi baki RM20,000? Pergi mana? Adakah ini adil kepada rakyat di sana?

Keadaan golongan muda di Pakan?

Yang saya lihat sekarang ramai tidak bersekolah dan mereka yang menganggur kerana tiada peluang pekerjaan. Golongan yang lebih berpendidikan kebanyakannya keluar, berhijrah dan bekerja di luar kawasan Pakan untuk meningkatkan ekonomi mereka. Bagi yang berkemampuan, mereka tak kembali ke Pakan kerana mereka telah membeli rumah di luar disebabkan kemudahan yang sepatutnya kerajaan boleh sediakan dengan baik tidak dilaksanakan. Tiap-tiap DUN ada peruntukan tetapi apa yang saya lihat, peruntukan itu tidak sampai kepada rakyat. Itulah yang membuatkan anak-anak muda ini berhijrah ke luar.

Apa mesej saudari kepada orang muda bagi pilihanraya kali ini?

Saya menyeru seluruh anak-anak muda Pakan yang berada di luar untuk pulang mengundi dalam pilihanraya negeri akan datang. Jika mereka tidak pulang mengundi, ia menyebabkan peratusan pengundian berkurang sedangkan kita ada 9,923 pengundi berdaftar. Berdasarkan penelitian saya terhadap peratusan mengundi dalam pilihanraya lalu, pengundi yang keluar tidak sampai 75 peratus. Lebih ramai keluar mengundi, lebih besar peluang kita buat perubahan. – Roketkini.com