Rencana

Pilihanraya Sarawak: DAP mampu buat kejutan di kawasan Dayak

Gelanggang kempen pilihanraya negeri Sarawak ke-11 yang bakal dibuka 25 April ini – hari penamaan calon –  merupakan ujian terbesar kepada DAP dalam sejarahnya dengan mempertaruhkan 29 calon yang bakal menyaingi lawan utama Barisan Nasional.

Apa yang lebih mengujakan, dari 29 kerusi yang ditandingi, 15 kerusi merupakan kawasan majoriti pengundi Dayak mewakili pelbagai kaum Bumiputera seperti Iban, Bidayuh dan Orang Ulu. Perkembangan terbesar DAP Sarawak ini sekaligus menutup mulut sesetengah pihak yang gemar menuduh DAP sebagai parti ‘cauvinis Cina’ yang kononnya ‘anti’ kepada kaum lain.

Tambahan pula, PRN Sarawak kali ini akan lebih mencabar kesetiaan pengundi BN kerana ia membabitkan skandal mega puluhan bilion melibatkan pemimpin utama negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kawan-kawannya. Masalah yang bakal dihadapi BN ini adalah kerana Tan Sri Adenan Satem, buat masa ini selaku Pemangku Ketua Menteri, berkempen atas slogan #SarawakForNajib.

Bangkitnya suara Dayak dalam DAP

leon sarawakMenurut calon berpotensi DAP N32 Simanggang, Leon Jimat Donald, apa yang menggusarkan BN sekarang ialah kemungkinan calon-calon Dayak yang mewakili DAP menang kerana lantang memperjuangkan nasib masyarakat yang diabaikan pemerintah BN sejak puluhan tahun lalu.

“Jelas mereka (BN) sangat takut dengan DAP dan sedaya upaya untuk menghalang pemimpin DAP untuk masuk ke Sarawak konon atas alasan mengganggu ketenteraman awam,” jelasnya ketika dihubungi Roketkini.com

Apa yang lebih menakutkan BN, kata Leon, dengan adanya pemimpin DAP yang turun padang berkempen di Sarawak, dijangka lebih banyak kerusi BN majoriti Dayak akan tumbang kepada DAP.

Beliau berpandangan, melalui kemenangan calon DAP dari kaum Dayak, suara komuniti itu yang sering dipinggirkan BN selama ini akan lebih kuat dan terbela.

Bagi PRN Sarawak 2016, seramai 1.14 juta orang mendaftar sebagai pengundi. Daripada jumlah itu, kaum Cina mencatatkan bilangan pengundi paling besar dengan 365,417 pengundi, diikuti oleh Iban (306,942), Melayu (304,781) Bidayuh (85,044), Orang Ulu (45,406) dan kaum lain (3,803). Gabungan Dayak – Iban, Bidayuh dan Orang Ulu – mewakili 38 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi, dan kebanyakan mereka terdiri daripada golongan Kristian.

rindaBagi Rinda Alexander calon berpotensi DAP di N47 Pakan pula, kemenangan lebih ramai calon DAP di kalangan masyarakat Dayak mampu untuk membangunkan komuniti itu dari pelbagai sudut.

Malah, menurutnya, DAP terbukti membela nasib rakyat terpinggir walaupun bukan berada dalam kawasan yang diwakili melalui banyak program pembangunan kemudahan infrastruktur dan pembangunan komuniti.

“Selama ini kita lihat, DAP banyak mengangkat isu berkaitan Tanah Hak Adat (NCR). Begitu juga dengan perjuangan kita untuk mendapatkan keadilan dalam bidang pendidikan, peluang pekerjaan dan sebagainya.

“DAP juga telah terbukti amat prihatin dan peka dengan masalah kehidupan rakyat di pedalaman yang ketinggalan untuk mendapatkan kemudahan asas,” katanya.

paren nyawi 3Calon di N62 Katibas, Paren Nyawi pula menyeru masyarakat khususnya pengundi dari komuniti Dayak melakukan perubahan dengan memilih calon-calon DAP dalam pilihanraya negeri akan datang.

Ia disebabkan sudah terlalu lama BN diberi peluang mentadbir namun mereka gagal memberikan khidmat dan layanan yang baik kepada rakyat. “Masyarakat Dayak harus membuka lembaran baru dalam politik mereka dengan memberi peluang kepada calon-calon DAP untuk mewakili mereka,” ujar beliau.

Katanya, dengan lebih ramai wakil DAP dalam DUN, banyak dasar dirangka DAP yang menguntungkan rakyat dapat disuarakan dengan lebih lantang dan kuat.

“Antaranya adalah dasar untuk mengembalikan tanah-tanah adat dan peluang membangunkan tanah mereka. Begitu juga dengan peluang yang lebih cerah untuk memasuki bidang perkhidmatan awam, peluang pendidikan, perniagaan dan sebagainya termasuk peluang pembangunan di kawasan komuniti itu yang lebih baik,” jelasnya.

Tidak mudah tapi tidak mustahil

Walaupun kemenangan bukan sesuatu yang mudah untuk DAP, khususnya di kalangan pengundi Dayak yang sering dipujuk, ditekan dan diancam oleh kumpulan-kumpulan pro-pemerintah menjelang PRN Sarawak, ia tidak menghalang calon-calon serta ahli-ahli dari kalangan Bumiputera Sarawak untuk meneruskan perjuangan melalui DAP.

Bagi mereka, daripada membiarkan nasib Dayak di tangan pemerintah yang tidak begitu mempedulikan hal-ehwal anak negeri, khususnya di pedalaman, lebih baik mereka berbuat sesuatu walaupun terpaksa berdepan dengan rintangan dan cabaran.

Malah, kini BN pula menghadapi saingan daripada DAP yang selama ini dianggap hanya memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan majoriti kaum Cina serta di kawasan bandar.

PRN Sarawak 2016 membuka lembaran baru untuk DAP dalam usahanya untuk meluaskan idea, prinsip dan amalan kepelbagaian budaya serta sikap saling menghormati antara satu sama lain tanpa mana-mana pihak dipinggirkan. – Roketkini.com