Rencana

DAP Johor lancar Bank Makanan untuk keluarga yang memerlukan

Berdasarkan statistik kerajaan terkini, kadar kemiskinan di Malaysia hanya tinggal 0.6%. Johor mencatatkan prestasi pembasmian kemiskinan yang paling cemerlang, dengan hanya tinggal dua ratus (200) isi rumah sahaja yang berada di bawah kadar garis kemiskinan, iaitu pendapatan kurang daripada RM930 sebulan. Dari statistik rasmi kerajaan ini, memang isu kemiskinan rakyat nampaknya bukan lagi isu yang membimbangkan.

Namun demikian, pengalaman saya berkhidmat di kawasan DUN Mengkibol, Kluang sejak 2013 memberi gambaran realiti yang berbeza.  Hampir setiap minggu ada orang awam yang datang ke pejabat saya meminta wang untuk membeli makanan. Mereka mengeluh akan keadaan ekonomi yang amat merunsingkan, khususnya selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak April 2015.  Saya mendapati bahawa ramai antara golongan ini terjerumus dalam kesempitan hidup selepas ditimpa peristiwa ataupun kemalangan di luar jangkaan. Bantuan ekonomi dan sokongan sosial dari segi jangka masa pendek amat mustahak untuk mereka.

Sebagai contoh, pada bulan lepas saya mendapati ada sepasang ayah dan anak yang kelaparan selepas ayah yang bekerja sebagai tukang rumah ditimpa kemalangan jalan raya dan hilang sumber pendapatan. Anak perempuan tersebut, 15 tahun, terpaksa berhenti sekolah untuk menjaga bapanya yang cedera.  Pasangan ayah dan anak ini tinggal dalam sebuah bilik sewa yang sempit di atas rumah kedai. Pejabat saya menghulurkan sedikit bantuan makanan, lalu melegakan sedikit masalah mereka.

Program Food Bank Membantu Rakyat

Sehubungan itu, pejabat saya melancarkan program food bank dengan sasaran memberi bantuan jangka pendek kepada golongan yang tidak berupaya membeli makanan.  Kami akan mengumpul beras, minyak masak, susu kotak dan makanan dalam tin (seboleh-bolehnya makanan tin halal sahaja) dan mengedarkannya kepada keluarga-keluarga yang dikenalpasti menghadapi masalah. Saya menggesa mana-mana pihak yang berminat untuk memWIRA3951beri sumbangan, bolehlah menghubungi pejabat saya untuk mengaturkan penghantaran barang.

Projek ini adalah berasaskan semangat kesukarelawan (volunteerism). Walaupun keadaan ekonomi agak gawat, saya yakin tetap ada individu dan syarikat-syarikat yang sanggup menderma barangan makanan untuk membantu warga lain yang kurang bernasib baik, tanpa mengira kaum dan agama.

Saya mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan syabas kepada kakitangan kerajaan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang telah menghadapi pelbagai cabaran.  Permintaan rakyat semakin tinggi, tetapi peruntukkan kerajaan untuk tujuan kebajikan sosial tidak bertambah. Mari kita sama-sama memainkan peranan masing-masing untuk memastikan tiada warga Malaysia yang ketinggalan atau dilupakan.

Sebarang pertanyaan untuk tujuan pengumpulan barang bantuan dan sumbangan boleh berhubung terus dengan pejabat saya di :

11A, Jalan Tong Teow Kee, Taman Lian Seng, 86000 Kluang. No Telefon 010-5351758 atau 010-5171758.

* Penulis adalah Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Mengkibol