Berita

Apa pun alasan, bukan DAP yang mungkir janji satu-lawan-satu

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: DAP menegaskan ia berpegang teguh kepada perjanjian yang telah dipersetujui dengan PKR dalam rundingan calon bagi menghadapi pilihanraya negeri Sarawak.

Sehubungan itu, Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke, berkata perjanjian bertulis dalam bentuk nota pada 7 April lalu yang juga tarikh bagi “persetujuan terakhir” telah menetapkan bahawa DAP akan bertanding di lapan buah kerusi, manakala PKR lima kerusi.

Lapan kerusi yang dipersetujui berkenaan ialah, Senadin, Murum, Ngemah, Mambong, Tasik Biru, Simanggang, dan Bukit Semuja. Manakala kerusi yang diperuntukkan untuk PKR pula ialah, Batu Kitang, Marudi, Machan, Layar, dan Belangga.

Keputusan itu, menurut Anthony, dibuat selepas beberapa rundingan yang dilakukan di antara kedua-dua pihak, dan juga merujuk kepada hasil kajian selidik Merdeka Center yang dilantik PKR dan DAP seperti yang dipersetujui pada 19 Februari.

“Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi dua pihak PKR dan DAP telah memutuskan untuk melantik Merdeka Center untuk menjalankan kaji selidik untuk melihat parti mana yang lebih sesuai untuk bertanding di kawasan-kawasan bertindih.

“Enam kerusi yang dipilih (untuk dibuat kajian) ialah Batu Kitang, Senadin, Simanggang, Tasik Biru, Mambong dan Bukit Semuja.

“Kos sebanyak RM100,000 ditanggung sama rata antara kedua-dua parti,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat DAP di sini hari ini.

Penolong Setiausaha DAP Selangor, Ong Kian Ming, ketika membentangkan hasil kaji selidik Merdeka Center itu, menjelaskan bahawa lima kawasan yang menjadi pertikaian sebenarnya memihak kepada DAP, manakala hanya satu kawasan, iaitu Mambong, dilihat memberi sedikit kelebihan kepada PKR.

Hasil kajian yang dibacakan Kian Ming tersebut menunjukkan bahawa kawasan Senadin, DAP memperoleh 53 peratus peluang untuk menang, manakala PKR 18 peratus; Simanggang, DAP (47%) dan PKR (23%); Bukit Semuja, DAP (46%) dan PKR (27%); Batu Kitang, DAP (60%) dan PKR (8%); Tasik Biru, DAP (43%) dan PKR (21%); dan Mambong DAP (36%) dan PKR (21%).

Bagaimanapun, Anthony pula menjelaskan, hasil kaji selidik yang menelan perbelanjaan beratus ribu itu telah tidak dihormati dan tidak diterima PKR kerana mereka tetap meletakkan calon di kerusi yang sepatutnya ditandingi DAP.

Hasilnya, pada hari penamaan calon, semalam, terdapat enam pertindihan kerusi di antara PKR dan DAP iaitu di Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah, Mambong dan Batu Kitang.

Ditanya pemberita mengenai kemungkinan rundingan akan terus dijalankan setelah tamat sesi penamaan calon, Anthony berkata hal itu tidak boleh lagi berlaku di Malaysia.

“Selepas tahun 2013, calon sudah tidak boleh mengundurkan diri selepas penamaan calon, tidak seperti tahun sebelum itu, di mana calon diberikan masa tiga hari.

“Tapi jika calon-calon PKR di lima kawasan yang menjadi pertindihan itu mengambil keputusan untuk tidak berkempen dan menyokong calon DAP di situ, kami juga akan mengambil keputusan yang sama di Batu Kitang dan menyokong sepenuhnya calon PKR di situ,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut menempelak kenyataan pihak PKR yang didakwa membuka rundingan sehingga jam 12 tengah malam sebelum hari penamaan calon kononnya untuk menyelesaikan masalah pertindihan berkenaan.

“Mana boleh kita buat keputusan untuk esok tapi runding hari ini, ia tidak masuk akal,” katanya sambil menambah, penamaan calon memerlukan pelbagai proses dan dokumen yang memerlukan masa yang agak panjang untuk diselesaikan. – Roketkini.com