Berita

Calon DAP Kemena mahu bangunkan ekonomi mikro, atasi kemiskinan di pedalaman

BINTULU, 26 APRIL: “Kemiskinan akan mudah dieksploitasi pemerintah untuk kekal berkuasa. Ia juga akan mengakibatkan kemunduran dalam bidang pendidikan. Melalui kemiskinan, rakyat mudah diugut dengan pelbagai ugutan.”

Itulah suara calon DAP bagi N69 Kemena, Leighton Anak Manjah, yang melihat belenggu kemiskinan yang dihadapi rata-rata rakyat di pedalaman Sarawak perlu diatasi segera.

Bagi calon berusia 50 tahun itu, antara kaedah utama adalah melalui pembangunan ekonomi mikro kerana ia dapat mengatasi pengabaian pemerintah BN sejak puluhan tahun terhadap pembangunan ekonomi yang telah melebarkan jurang kemiskinan antara rakyat.

Leighton beriltizam untuk membangunkan semula ekonomi mikro di kawasannya melalui dorongan dan usaha membangunkan tanah-tanah mereka.

“Sejak zaman-berzaman, kita tahu masyarakat Dayak memang bagus dalam bertani. Kita diajar untuk bercucuk tanam dan perlu membangunkan tanah-tanah kita. Bukannya dengan cara pemerintah memberikannya kepada syarikat-syarikat besar,” jelas beliau kepada Roketkini.com

Leighton yang memiliki Ijazah Seni dalam Hubungan Antarabangsa, dan Sarjana dalam Sains Pengurusan Teknologi, masing-masing dari dari Kennesaw State University dan Southern Polytechnic State University Amerika Syarikat, bakal berentap dengan penyandang BN dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr Stephen Rundi.

Selain isu kemiskinan, katanya, rakyat di kawasan itu juga berdepan dengan isu Tanah Hak Adat (NCR) yang sering dieksploitasi kroni dipercayai mempunyai hubungan akrab dengan pemimpin BN.

“Tanah di sini telah banyak dieksploitasi oleh syarikat-syarikat kroni,” ujar beliau.

Bagaimanapun, menurutnya, terdapat keputusan kes pencerobohan dan rampasan tanah NCR yang dibawa ke mahkamah telah berjaya memihak kepada rakyat.

“Walaupun banyak kes berjaya, masih banyak lagi yang masih menunggu keputusan,” katanya.

Leighton berkata, isu kemudahan asas juga yang ketinggalan juga merupakan masalah utama di Kemena.

“Apa yang BN telah buat ini mengarut. Apa yang mereka buat setelah lebih 50 tahun memerintah?” soalnya.

Dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu, BN menang dengan majoriti 3,349 undi menewaskan dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan PKR.

N69 Kemena terletak dalam Parlimen Bintulu yang merupakan bandar ketiga terbesar di Sarawak yang terkenal dengan jolokan ‘Bandar Minyak’.– Roketkini.com