Rencana

Meski kerusi bertindih, nasi belum jadi bubur

logopojok_manangatan_s“Jika satu kerusi, kita boleh memahami. Kita boleh cuba untuk ketepikannya tetapi, lima kerusi, bagaimana kita boleh ketepikannya? Kami rasa bahawa DAP telah ditipu,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Ada enam kerusi DUN Sarawak yang bertindih, iaitu Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong di mana DAP dan PKR bakal bertembung pada 7 Mei nanti. Sudah pasti, BN paling seronok.

Ada pihak menuduh satu parti tamak. Ada pihak mengaku ‘kami berhak!’ Ada yang salahkan pimpinan tertinggi, salahkan calon, malah ada yang salahkan BN. Salah-menyalah tidak akan kembalikan masa lampau.

Bagi Manang, ini bukan soal tamak atau tidak. Ini soal prinsip berpegang kepada janji. Jika janji sudah dimeterai, tidak perlulah bertukar di saat akhir. Apa juga alasan sekalipun, janji tetap janji.

Pakatan Harapan perlu belajar dari kesilapan lampau. Bukan dengan tuduh-menuduh. Masihkah kita ingat punca Pakatan Rakyat terkubur?

Suka atau tidak, kita harus bersetuju dengan Lim Kit Siang yang mahu kedua-dua parti DAP dan PKR perlu saling membantu dan bekerjasama ketika berkempen. Malah, pimpinan kita juga saling meluahkan kekesalan atas apa yang berlaku.

Nasi belum menjadi bubur, masih tidak terlambat untuk memperbetulkan keadaan, dengan merangka strategi konstruktif jangka pendek, ke arah kemenangan calon-calon Pakatan Harapan. – Roketkini.com