Berita

Pakatan Harapan gagal setuju satu-lawan-satu dengan BN, Kit Siang mohon maaf

KUCHING, 26 APRIL: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, memohon maaf atas kegagalan Pakatan Harapan memastikan pertandingan satu-lawan-satu dengan Barisan Nasional dalam pilihanraya Sarawak kali ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut berjanji akan bekerja keras dan berganding bahu bersama-sama kepimpinan dan ahli DAP untuk memastikan kegagalan itu tidak menghalang Pakatan Harapan untuk melakarkan kejayaan.

“Saya memohon maaf kepada rakyat Sarawak dan Malaysia di atas kegagalan Pakatan Harapan dalam memastikan pertandingan satu-lawan-satu menentang Barisan Nasional pada pilihanraya negeri Sarawak akan datang.

“Malah pemimpin-pemimpin DAP, ahli-ahli serta penyokong di setiap peringkat akan bekerja lebih keras untuk mengimbangi kegagalan Pakatan Harapan dalam memastikan satu-lawan-satu dengan Barisan Nasional,” katanya di hadapan kira-kira 4,000 hadirin dalam satu ceramah di sini malam tadi.

Beliau yang tidak terlibat secara langsung dalam sesi rundingan di setiap peringkat antara parti komponen Harapan turut menegaskan bahawa tidak akan menyentuh isu berkenaan sehingga pilihanraya negeri Sarawak yang diadakan pada 7 Mei selesai.

Semalam, setelah penamaan calon berlangsung, didapati terdapat enam kerusi yang dipertandingkan berlaku pertindihan di antara calon DAP dan PKR. Kerusi-kerusi berkenaan ialah Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah, Mambong dan Batu Kitang.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, Pemangku Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hampir pasti akan terus memerintah Sarawak untuk sepenggal lagi.

Namun begitu, beliau tetap menyeru supaya rakyat negeri Bumi Kenyalang itu membantu calon-calon DAP untuk mempertahankan 12 kerusi yang telah dimenangi DAP pada pilihanraya yang lalu, malah turut merayu supaya mereka menyokong calon-calon Dayak dan Melayu yang mewakili DAP.

Ia penting bagi memastikan supaya rakyat negeri Sarawak dapat menafikan dua pertiga majoriti Barisan Nasional, sekaligus memperkuatkan barisan pembangkang dalam menjadi sistem semak dan imbang terhadap permasalahan yang melibatkan rakyat di negeri berkenaan, tambah Kit Siang. – Roketkini.com