Berita

Calon DAP N32 Simanggang: Usah percaya lagi janji BN, perlu berani undi DAP

SRI AMAN, 27 APRIL: Janji Barisan Nasional untuk siapkan Hospital Sri Aman yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu masih belum ditunaikan. Malah, pada pilihanraya negeri 2011, BN janji ia akan disiapkan pada 2013. Pada pilihanraya umum 2013, BN janji pula ia akan disiapkan tidak lama lagi.

Kini untuk kempen pilihanraya 2016, BN sekali lagi berjanji hospital itu akan disiapkan pada 2018 pula. Ini mungkin bererti BN bakal berjanji lagi bila tiba pilihanraya umum yang akan datang. Ini bererti rakyat Sarawak terus sakit dan menderita sementara menanti siapnya Hospital Sri Aman.

Sehubungan itu, calon DAP bagi DUN N32 Simanggang, Leon Jimat Donald, menyeru semua anak Sarawak, khususnya pengundi Simanggang, agar tidak lagi termakan janji-janji kosong BN yang ditabur setiap kali kempen pilihanraya.

“Sampai bila mereka harus memberi janji kosong dan sampai bila pula kita hendak diperbodohkan oleh mereka?

“Setiap kali pilihanraya semakin dekat, BN mula menabur janji-janji manis selain mengagihkan ‘gula-gula’ pilihanraya mereka kerana terdesak untuk menang,” kata Naib Pengerusi DAP Sarawak itu.

Sehubungan itu, beliau membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa kononnya kerajaan akan menaiktaraf infrastruktur jaringan internet di Sarawak kepada jaringan berkelajuan tinggi 4G jika diberi mandat besar pada pilihanraya negeri, 7 Mei ini.

Tegasnya, penduduk Sarawak tidak akan tertipu lagi dengan gimik politik dimainkan oleh BN, terutama apabila parti itu masih gagal menyelesaikan isu kemudahan asas yang membebankan penduduk walaupun telah memerintah untuk lima dekad, termasuk pembinaan Hospital Sri Aman di Simanggang.

“Hospital pun tak boleh siapkan, bagaimana pula Najib mahu yakinkan anak Sarawak bahawa kerajaan BN akan membawa pembangunan dan kononnya memberi infrastruktur internet 4G jika banyak lagi masalah asas yang lain masih diabaikan?” ujar beliau.

Menganggap BN gagal menjalankan tanggungjawab membela nasib masyarakat setempat, anak jati Simanggang berusia 42 tahun itu sudah lama aktif membantu penduduk sekitar membuat permohonan kebajikan dan bantuan khas dari pihak bertanggungjawab.

Beliau turut terlibat secara langsung dalam aktiviti dan program kebajikan seperti membina jambatan besi di bawah anjuran Impian Sarawak serta membina jalan konkrit di Siga selain lantang membawa suara penduduk kepada kerajaan.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu juga terkenal dengan keberanian beliau dalam menegakkan hak masyarakat, malah pernah mengadakan protes di depan Ibu Pejabat Tanah bersama penduduk Melikin selama empat hari tiga malam dan protes di Kuari Melugu.

“Saya berazam untuk menaik taraf ekonomi penduduk Simanggang dengan menyediakan projek yang akan menjana pendapatan mereka seperti projek penternakan anak babi kepada masyarakat rumah panjang dan projek penanaman anak kelapa sawit kepada penduduk.

“Saya ingin membawa perubahan di Simanggang, lebih-lebih lagi apabila penyandang Adun Simanggang yang lalu, YB Francis Herden dari BN, tidak melakukan apa-apa pembangunan di sini setelah 4 penggal,” katanya.

Leon yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan Kewangan dan Diploma Pengurusan; masing-masing dari Bolton University United Kingdom dan Universiti Malaya itu bakal berentap dalam perlawanan empat penjuru bersama Francis, Norina Utot dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon bebas, Datuk Dr Ngu Piew Seng.

Walaupun beliau tewas kepada Francis pada pilihanraya negeri yang lalu, Pengerusi DAP Sri Aman itu optimis bahawa DAP akan menang pada pilihanraya kali ini memandangkan mereka telah menunjukkan potensi terbaik sepanjang lima tahun ini.

“Kami telah berusaha keras dan membuktikan bahawa kami mampu menjadi wakil kepada penduduk Simanggang. Oleh itu, saya amat yakin dengan kebijaksanaan pengundi-pengundi Simanggang dalam pilihanraya kali ini serta percaya bahawa mereka akan buat pilihan yang tepat,” katanya.

Simanggang terletak dalam parlimen Sri Aman dan mempunyai 11,472 bilangan pengundi yang terdiri daripada 52.4 peratus orang Iban, kaum Cina (35.5 peratus), orang Melayu dan Melanau (8.8 peratus) dan lain-lain (1.5 peratus). – Roketkini.com