Berita

Demi rakyat Murum, Mathew Silek bertanding walau terpaksa menentang rakan karib

MURUM, 27 APRIL: Keyakinan berlebihan Barisan Nasional menguasai kawasan pedalaman Sarawak menjadikan gabungan politik itu terlalu selesa sehingga terleka, malah mengabaikan kebajikan dan kemajuan penduduk kampung.

Calon DAP bagi kerusi DUN N.66 Murum, Mathew Silek, 45, berkata, label “simpanan tetap” yang diguna pakai BN Sarawak setiap kali pilihanraya negeri di pedalaman menjadikan parti itu culas terhadap permasalahan rakyat.

Sebagai contoh, beliau yang berketurunan Dayak-Orang Ulu berkata, tanah satu lot berukuran tiga ekar yang disumbangkan kerajaan negeri kepada penduduk setempat untuk tujuan pertanian adalah tidak memadai dan mencukupi, malah jalan untuk ke tanah tersebut tidak dibina, sekaligus menyukarkan kerja-kerja penanaman.

“Itu pun dengan geran selama 60 tahun. Kita mahu berjuang untuk dapatkan geran milik kekal. Itu pun hanya segelintir yang sudah dapat geran. Yang lain masih belum dapat,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Elektrik dan Elektronik dari Northumbria Newcastle University (UK) kepada Roketkini.com.

Selain itu, menurutnya, masalah asas seperti air, jalan, dan elektrik yang sering dialami penduduk setempat tidak pernah diendahkan kerajaan negeri sehingga menyukarkan mereka untuk menjalankan aktiviti harian.

“Bekalan air terawat tidak mencapai tahap kualiti minimum dan selalu terputus, terutamanya pada musim perayaan. Malah, jalan penghubung ke bandar juga selalu rosak kerana lori balak. Lebih buruk lagi, gangguan bekalan elektrik juga kerap dialami penduduk,” kata bapa kepada lima anak itu.

Menyedari permasalahan itu, kata Mathew, DAP melalui projek Impian Sarawak telah menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di kawasan berkenaan, sehingga berjaya menambat hati penduduk setempat kerana berjaya menyelesaikan permasalahan yang dihadapi mereka.

“Penerimaan penduduk adalah baik sebab faktor hubungan kekeluargaan, orang tempatan, melihat kesungguhan usaha parti yang banyak membantu menyelesaikan masalah rakyat, senang didekati dan ada pusat khidmat tetap. Majoriti penduduk di Murum adalah Orang Ulu,” ujarnya.

Dengan aktiviti pertanian menjadi sumber utama ekonominya, DUN N.66 Murum mempunyai 8,242 bilangan pengundi dengan majoriti penduduknya adalah Orang Ulu iaitu sebanyak 76.5 peratus, diikuti Orang Iban (20.2 %), Cina (1.5 %), Melayu dan Melanau (0.7 %), dan lain-lain (1.1 %).

Murum yang merupakan antara 11 kerusi DUN baru yang dipertandingkan bakal menyaksikan pertentangan empat penjuru di antara Mathew yang mewakili DAP dengan Abun Sui Anyit (PKR), Chukpai Ugon (BN-PRS) dan Stanley Ajang Batok (BEBAS).

Berhubung pertindihan calon dari PKR, Mathew mengakui sedih kerana terpaksa berdepan dengan Abun, rakan karibnya sejak di bangku sekolah.

“Saya sedih kerana terpaksa berdepan bukan sahaja rakan parti Pakatan Harapan tetapi juga rakan seperjuangan dari alam persekolahan. Saya hormati dia sebagai rakan seperjuangan dalam menentang BN.

“Apa pun, saya tetap akan berjuang demi rakyat Murum dan patuh kepada keputusan parti mengikut lunas ketetapan pihak atasan Pakatan Harapan,” katanya.

Malah, beliau berjanji akan memperjuangkan hak penduduk setempat yang sekian lama tidak didengari kerajaan BN Sarawak jika menerima mandat masyarakat di Murum pada pilihanraya negeri Sarawak yang akan tiba pada 7 Mei nanti.

“Visi saya selaras dengan visi DAP di Murum. iaitu memajukan Murum sebagai tempat tinggal yang lebih selesa. Dan sekiranya menang saya akan memperjuangkan hak hasil tanah, sungai dan hutan dipulangkan kepada rakyat Murum,” tambahnya. – Roketkini.com