Rencana

Luaskan kuasamu: Reformasi Dewan Negeri Johor

Kata Menteri Besar Johor, “kita tidak pernah memandang Selangor sebagai perbandingan dan suri teladan yang baik untuk Johor. Selangor bukan ‘standard kita’. Johor telah berada dalam liga yang berlainan dan tersendiri. Kita akan menjadi kuasa ekonomi baharu Malaysia”.

Saya bersetuju seratus peratus dengan hujah Dato’ Mohamed Khaled Nordin  dalam ucapannya pada Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-13, baru-baru ini. Memang saya berkongsi hasrat untuk melihat Johor lebih maju dan berada dalam kelas yang tersendiri. Justeru itu, tidak ada alasan untuk kerajaan negeri Johor untuk tidak melakukan reformasi Dewan Negeri.

Persoalan reformasi Dewan Negeri ini bukan berdasarkan polemik politik, tetapi ia adalah keperluan semasa yang memerlukan komitmen semua pihak untuk memberi perhatian yang sewajarnya.

Fungsi Dewan Negeri

Dewan Negeri adalah tempat di mana dasar kerajaan negeri digubal menjadi suatu polisi sosial, ekonomi dan pentadbiran untuk dilaksanakan. Kewujudan dewan negeri ini pada asasnya untuk memastikan sistem semak dan imbang oleh kerajaan dan agensi-agensinya dapat berfungsi.

Matlamatnya pula adalah untuk memastikan setiap dasar yang dicadangkan itu dapat dibahas demi mencari kesepakatan sebelum ia direkod, dilulus dan disahkan (gazet) sebagai suatu dasar atau undang-undang sebelum ia dilaksanakan sebagai akta.

Selain itu, fungsi dan aktiviti lain yang berlaku di dalam Dewan Negeri adalah membahaskan titah Ucapan Sultan, membawa usul-usul untuk dibahaskan, membawa rayuan-rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Negeri, mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Besar, memberi peluang kepada Ahli Dewan Negeri untuk berbahas, memberi peluang kepada Menteri Besar untuk memberikan penjelasan dan juga pembentangan belanjawan negeri.

Dari sistem asas yang berfungsi inilah maka hari ini kita berjaya mengecapi kemajuan ekonomi dan sosial seperti yang kita nikmati sekarang. Namun, setiap kemajuan yang dicapai, pastinya wujud had yang mana keperluan tambahan diperlukan bagi memastikan kelangsungan pembangunan itu kekal berjalan.

Mengapa perlu reformasi?

Jika perniagaan, pastinya ia memerlukan suntikan modal tambahan, baik daripada pemegang sahamnya atau dari sumber-sumber lain seperti pemilikan aset-aset yang baru atau teknologi baru.

Dalam sukan bolasepak pula, jika kita lihat pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), apabila diambil alih kepimpinan dengan membawa masuk sistem dan input yang baru, kita dapat lihat perkembangan pasukan ini, malah ia berkembang bukan sahaja dalam konteks sukan tetapi ekonomi dan sosial. Ini adalah natijah apabila berlaku reformasi dalaman atau luaran pada mana-mana entiti untuk menjadi lebih maju, berdaya saing dan berjaya.

Dalam konteks demokrasi, integriti dan pentadbiran, Dewan Negeri Johor merupakan simbol yang ulung, bukan sahaja dalam konteks Johor malah di Malaysia apabila perlembagaan negeri ini merupakan perlembagaan bertulis dan bersistem yang pertama digubal di Malaysia. Hinggakan, Perlembagaan Persekutuan dibentuk dengan merujuk kepada Perlembagaan Johor atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor ini.

Justeru itu, adalah wajar kerajaan negeri Johor menilai kembali fungsi dan peranan Dewan Negeri demi memastikan suntikan baru dapat dibentuk menerusi reformasi fungsi dewan yang mulia itu.

Menolak pengiktirafan

Benar, menurut Speaker Dewan Negeri Johor bahawa untuk mewujudkan atau mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang Dewan, tidak ada dalam klausa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.  Namun demikian, hujah ini tidak dapat disandarkan kerana kita harus melihat kedudukan Ketua Pembangkang Negeri sebagai elemen penting reformasi Dewan Negeri, bukan sekadar mewujudkan atau mengesahkan statusnya atau gajinya.

Jika kita mampu untuk melihat kedudukan Ketua Pembangkang dalam konteks sebagai satu daripada elemen reformasi sistem Dewan Negeri, pastinya hujah ‘tiada peruntukan dalam Perlembagaan Johor’ menjadi tidak relevan. Hujah Tan Sri Speaker itu sekadar memaklumkan bahawa ‘tiada peruntukan perlembagaan’, ini bukan jawapan.

Dalam hal ‘perlembagaan’ ini pula, ia bukanlah bersifat kekal tanpa boleh dipinda, buktinya sudah empat kali berlaku pindaan terhadap perlembagaan ini sejak ia mula wujud, iaitu perubahan pertama pada 1 April 1908, kedua pada 17 September 1912, ketiga pada 12 Mei 1914, dan perubahan keempat pada 17 Julai 1918. Kali terakhir ia dipinda ialah 98 tahun yang lalu.

Maka, pada era yang sudah semestinya memerlukan nafas baru (selepas hampir seratus tahun), maka sewajarnya aspek ini perlu diberi perhatian oleh Menteri Besar dan kerajaan negeri.

Kita ulangi lagi bahawa hasrat untuk membuat pindaan ini bukan sekadar kosmetik pihak pembangkang tetapi ia berdasarkan justifikasi untuk melakukan reformasi sistem semak dan imbang di dewan yang mulia itu.

Bersetuju dengan MB Johor

Sekali lagi saya memetik ucapan Menteri Besar Johor dalam sidang sama, “Ini abad ke-21. Belajarlah mengiktiraf perkara yang baik. Demokrasi kita telah cukup dewasa dan matang ”.

Menteri Besar sendiri memperakui bahawa zaman ini telah berubah, dan meminta anggota dewan (ditujukan kepada wakil rakyat pembangkang) untuk belajar mengiktiraf perkara yang baik. Justeru, saya sebagai ahli DAP, amat bersetuju dengan saranan Dato’ Menteri Besar agar kita bersama-sama berubah mengikut peredaran zaman dan belajar untuk mengiktiraf perkara yang baik.

Marilah kita lakukan reformasi Dewan Negeri dengan memberi pengiktirafan sewajarnya kepada Ketua Pembangkang, sebagai langkah permulaan. Hasrat saya sebagai ahli DAP, saya mahu wakil rakyat pembangkang di Johor ini lebih baik prestasinya berbanding anggota pembangkang di negeri Selangor. Malah saya juga mahu kerajaan negeri Johor ini lebih matang dan terbuka daripada kerajaan negeri Selangor.

Kematangan demokrasi di Dewan Negeri ini akan menjadi kayu ukur bagi menilai kemajuan negeri kita. Kita lakukan sekarang dengan semangat demokrasi yang tulen. Jika DYAM Tengku Mahkota Johor (TMJ) berani lakukan perubahan, mengapa kita tidak? Ayuh kita ikut contoh teladan yang baik ini. – Roketkini.com

 

* Penulis adalah Pengarah Pendidikan Politik, DAP Johor