Berita

BN tak sebut hak autonomi dalam manifesto, DAP tuntut kutipan cukai di Sarawak untuk Sarawak

SIBU, 28 APRIL: Cakap tak serupa bikin. Itulah muslihat Barisan Nasional Sarawak yang banyak bercakap tentang hak autonomi negeri tetapi tidak berani mengesahkannya secara hitam putih dalam manifesto BN.

Sehubungan itu, calon DAP N51 Bukit Assek, Irene Chang Oi Ling, mempersoalkan sikap berpura-pura BN Sarawak yang mengetepikan agenda hak autonomi negeri dalam manifesto mereka.

“Manifesto mereka mengelak untuk memperkatakan tentang hak autonomi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau yang juga seorang peguam menjelaskan, DAP pula tidak pernah lari daripada menuntut hak autonomi Sarawak secara terbuka seperti mana yang disuarakan dalam Deklarasi Bintulu pada Oktober 2014.

“Pendirian DAP dalam Deklarasi Bintulu menyatakan dengan jelas pemberian lebih kuasa kepada Sarawak dalam bidang kesihatan, pendidikan, pengangkutan, keselamatan perbandaran dan tuntutan pengagihan cukai yang lebih tinggi kepada Sarawak,” ujar ibu kepada lima anak itu.

Menurutnya, sudah tiba masanya untuk memberi fokus kepada desentralisasi kuasa yang lebih kepada Sabah dan Sarawak yang merupakan entiti yang setaraf dengan Semenanjung yang sama-sama membentuk Malaysia.

Beliau menjelaskan, apa yang rakyat Sarawak mahu ialah lebih autonomi seperti soal peratusan cukai.

Jika 50 peratus cukai yang dikutip di Sarawak dikembalikan kepada kerajaan Sarawak, ia akan mengurangkan kebergantungan negeri terhadap penjualan tanah, balak, minyak dan gas di mana ia amat baik kepada alam sekitar dan kemampanan, tambahnya.

Dengan pengagihan hasil cukai yang lebih kepada Sarawak, katanya, ia akan memberi kesan positif terhadap pembangunan negeri dan modal insan Sarawak.

“Pulangan cukai yang lebih kepada Sarawak bertujuan untuk mengurus dan memberikan khidmat pendidikan, kesihatan, keselamatan perbandaran. Ini bermakna, ia akan memberikan lebih banyak ruang kepada rakyat Sarawak sendiri untuk mengawal kehidupan dan menentukan nasib mereka,” tegasnya lagi.

DUN N51 Bukit Assek merupakan kerusi DAP yang sebelum ini disandang oleh bekas pengerusi parti, Wong Ho Leng, yang telah meninggal dunia pada 21 Jun 2014 akibat barah. Sebagai ahli yang aktif dalam perjuangan untuk rakyat, DAP telah memberi amanah kepada Irene untuk meneruskan perjuangan mendiang suaminya mempertahankan Bukit Assek dari BN.

DAP akan bertembung dengan calon BN dari parti SUPP dan Parti Reformasi Negeri (STAR) dalam pilihanraya negeri pada 7 Mei ini. – Roketkini.com