Berita

DUN N61 Pelagus masih kurang kemudahan asas, calon DAP mahu bawa perubahan

KAPIT, 28 APRIL: Satu-satunya kawasan DUN Sarawak – N61 Pelagus – yang dimenangi calon bebas dalam pilihanraya negeri 2011 kini menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara DAP dan Barisan Nasional yang diwakili Parti Rakyat Sarawak (PRS) serta seorang calon bebas yang bukan penyandang asal.

Penyandang, George Lagong, tidak bertanding mempertahankan kerusinya di kawasan pedalaman majoriti Dayak-Iban itu berikutan kemalangan jalanraya yang dialaminya tahun lalu.

Bagi kerusi Pelagus, DAP memperkenalkan Bendindang anak Manjah atau lebih dikenali dengan nama Frankie Bendindang. Beliau bukanlah calang-calang calon kerana telah berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan aktif dalam politik setelah persaraannya.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Walikota di Majlis Daerah Kapit sejak tahun 1998 hingga 2003 serta berpengalaman dalam politik apabila bertanding atas tiket PKR bagi DUN Baleh dalam pilihanraya Sarawak 2011.

Frankie merupakan kumpulan pertama 12 professional Dayak yang menyertai DAP tahun lalu.

Menurutnya, keputusan untuk menyertai DAP dibuat setelah melihat DAP serius mengetengahkan isu-isu masyarakat dan pembangunan infrastruktur.

“Keputusan saya menyertai DAP adalah tepat pada waktunya kerana melihat parti ini komited dengan apa yang diperjuangkan,” katanya kepada Roketkini.

Mengenai DUN Pelagus, Frankie berkata, isu kemudahan asas merupakan isu utama rakyat di Pelagus terutamanya melibatkan jaringan jalanraya, bekalan elektrik dan kemudahan air terawat.

“Walaupun daerah Kapit memiliki empangan Bakun, ironinya, hampir 90 peratus kawasan kampung dan pedalaman tidak menikmati bekalan elektrik dan bekalan air bersih. Penduduk terpaksa bergantung kepada generator dan pelita.

“Selain itu, di sini hanya mempunyai 30 peratus jaringan jalanraya dan selebihnya bergantung kepada laluan air melalui Sungai Rajang menggunakan bot yang disediakan syarikat bot ekspres,” jelas beliau.

Akibat kekurangan sistem jaringan jalan, Frankie yang berkelulusan Pengurusan Perniagaan dari Amerika Syarikat dan Sarjana Pengurusan Alam Sekitar UNIMAS berkata, ia menyebabkan kawasan itu kekurangan aktiviti ekonomi dengan kadar kemiskinan yang tinggi.

Walaupun ada yang mendakwa ‘orang di sini’ bekerja dalam bidang carigali minyak, beliau menjelaskan, kebanyakan mereka di sini bergantung kepada penanaman getah kecil-kecilan selain kerja-kerja kampung.

Berdasarkan suhu politik semasa, bapa kepada empat orang anak itu yakin sokongan terhadap DAP di Pelagus semakin meningkat khususnya di kalangan golongan muda.

“Saya lihat sokongan terhadap kita di sini semakin baik terutamanya dari orang muda. Mereka sendiri menyatakan mahu perubahan dan mahu pelaksanaan dasar membantu rakyat  yang baik. Saya juga berharap golongan muda ini mampu menjadi pencetus perubahan di Pelagus.

“Jika tidak menjadi kerajaan sekalipun, sekiranya saya dipilih menjadi wakil rakyat, kita akan memberi fokus untuk meningkatkan kemudahan asas kepada rakyat dan memajukan ekonomi setempat,” tegasnya.

Kawasan DUN N61 Pelagus memiliki 7,186 pengundi berdaftar dengan 98 peratus pengundi kaum Iban, Melanau/Melayu (0.5 peratus) Cina (0.5 peratus) dan kaum-kaum lain (1 peratus).

Dalam pilihanraya Sarawak 2011, calon bebas, George Lagong mendapat 5,740 undi menewaskan calon-calon PKR dan PRS-BN dengan majoriti 2,837 undi. – Roketkini.com