Berita

Doktor gigi calon DAP N75 Senadin mahu terus bela nasib golongan miskin

MIRI, 29 APRIL: Walaupun peningkatan sokongan terhadap DAP mulai dilihat di beberapa kawasan pedalaman, ia bukanlah jaminan kemenangan kerana semua pihak perlu terus bekerja keras mengajak rakyat tempatan keluar mengundi pada 7 Mei nanti.

Keadaan yang sama juga sedang berlaku di kawasan DUN N75 Senadin yang semakin menarik minat pengundi untuk mendekati DAP yang turut semakin ramai disertai etnik Dayak pelbagai kaum.

Senadin diberi jolokan sebagai kerusi panas setelah BN yang diwakili Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menang dalam pilihanraya negeri Sarawak lalu dengan majoriti paling kecil, iaitu 58 undi, menewaskan calon PKR.

Dalam pilihanraya kali ini, penyandang Datuk Lee Kim Shin akan bertembung dengan calon DAP, Dr Bob Baru Langub, 64, yang merupakan doktor pergigian yang telah berkhidmat di Miri selama lebih 30 tahun.

Dr. Bob merupakan graduan doktor pergigian Universiti Malaya pada tahun 1977 yang berkhidmat di Kapit dan Bintulu selama 7 tahun sebelum berpindah ke sini untuk membuka klinik pergigian sendiri.

Anak dari kaum Dayak-Lun Bawang ini menyertai DAP sejak 2011 dan pernah bertanding untuk merebut Parlimen Lawas pada 2013. Walaupun tidak berjaya merebut kerusi itu, beliau kekal berjuang dan bekerja memberi khidmat kepada rakyat dan parti.

Calon DAP berwibawa ini terkenal dengan sifat pemurah kerana sering memberi rawatan percuma kepada golongan kurang berkemampuan.

Dengan semangat itu jugalah beliau memilih DAP sebagai wadah perjuangan kerana yakin DAP satu-satunya parti yang serius membela golongan tertindas dan masyarakat terpinggir.

“Saya menyertai DAP kerana konsisten memperjuangkan mereka yang tidak bernasib baik dan terpinggir,” katanya kepada Roketkini.

Beliau sedih kerana walaupun Sarawak negeri yang kaya, masih ramai rakyat yang miskin dan tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Katanya, ramai kecewa melihat Sarawak sebagai negeri paling mundur di Malaysia sedangkan pemimpin dan dasar-dasar kerajaan BN dibiarkan dimonopoli oleh kroni-kroni.

Tambah beliau, keadaan itu merupakan punca kelembapan pembangunan Sarawak dan telah menyebabkan kehidupan rakyat semakin mencabar.

Menyentuh isu melibatkan kaum Bumiputera Sarawak, Dr Bob berkata, BN bukan sahaja gagal menjamin hak dan meningkat taraf hidup Bumiputera, malah sering dilihat menjadi dalang merampas tanah-tanah adat tanpa mempedulikan kesengsaraan yang bakal dihadapi.

Bagi kawasan Senadin, masalah utama yang diberi perhatian ialah bekalan elektrik dan sistem saliran di beberapa buah kampung dan masalah pengurusan sampah.

“Saya juga melihat wujud masalah melibatkan kawasan berniaga bagi peniaga-peniaga kecil yang datang dari kampung. Begitu juga dengan masalah saliran, sampah dan pengurusan sisa pepejal yang teruk” katanya lagi.

Dengan saingan sengit yang dihadapinya, beliau berharap pengundi di Senadin memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada DAP. – Roketkini.com