Berita

PBB-BN dikawal UMNO, DAP hormati autonomi Sarawak

SERIAN, 29 APRIL: Pengundi Sarawak diseru supaya tidak termakan dengan dakyah PBB-Barisan Nasional (BN) dalam kempennya yang menuduh DAP sebagai parti untuk orang Cina sahaja walaupun mereka tahu DAP merupakan parti pelbagai kaum.

Calon DAP N23 Bukit Semuja, Edward Luak, berkata tomahan jahat itu semata-mata mahu menutup kelemahan mereka sendiri yang sebenarnya dikawal oleh UMNO.

Menurutnya, DAP telah membuktikan ia menjunjung semangat dan prinsip autonomi apabila surat-surat watikah yang dikeluarkan kepada calon-calon pilihanraya ditandatangani oleh DAP Sarawak sendiri, dan bukannya ditentukan oleh pucuk pimpinan pusat.

“DAP telah buktikan ianya parti majmuk yang mengangkat aspirasi seluruh rakyat berbilang bangsa.

“Sebaliknya, PBB sebagai komponen BN sendiri didominasi UMNO. Ia sekaligus membuktikan parti itu dikuasai UMNO,” katanya dalam satu ceramah di sini malam tadi.

Hujan tidak menghalang orang ramai untuk menghadiri ceramah itu yang turut menampilkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Bukit Semuja merupakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu. Ia bakal menyaksikan persaingan sengit pertarungan lima penjuru antara DAP, BN, Parti Reformasi Negeri (STAR), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) dan calon bebas dengan 13,365 pengundi berdaftar. – Roketkini.com