Berita

SUPP-BN gaduh sama sendiri, DAP terus bantu rakyat di N32 Simanggang

SRI AMAN, 30 APRIL: Kesejahteraan rakyat sepatutnya menjadi keutamaan calon  yang bertanding dalam pilihanraya Sarawak, dan bukannya dijadikan medan perebutan kuasa Barisan Nasional seperti sedang yang berlaku di kawasan DUN N32 Simanggang.

Calon DAP bagi kawasan DUN tersebut, Leon Jimat Donald, berkata walaupun beliau tewas dalam percubaannya pada pilihanraya negeri yang lalu, ia tidak menjadi penghalang untuknya terus membantu penduduk tempatan.

Katanya, beliau tidak akan mengheret rakyat tempatan dalam perebutan kuasa antara parti seperti mana yang berlaku apabila calon bebas, Datuk Ngu Piew Seng, mendapat sokongan bekas ADUN SUPP-BN, Michael Pilo, yang menentang penyandang, Datuk Francis Harden, juga daripada SUPP-BN.

“Adalah amat tidak wajar menjadikan pilihanraya Sarawak ini sebagai gelanggang perebutan kuasa dalam parti.

“Jadi, jika mereka benar-benar ingin membawa perubahan kepada Simanggang, mereka perlu menerima cabaran untuk debat terbuka membincangkan perubahan yang diperlukan di Simanggang demi kesejahteraan rakyat,” kata dalam satu kenyataan media.

Menurut Leon, DAP di Simanggang terus mencurahkan khidmat dan dedikasi kepada masyarakat demi kesejahteraan dan keselesaan mereka.

Melalui projek Impian Sarawak, beliau berkata, DAP berjaya membina jalan, mengumpul dana untuk kebajikan rakyat, membantu rakyat mendapatkan hak tanah, menyuarakan bantahan penduduk yang terjejas akibat daripada aktiviti perlombongan dan banyak lagi.

Malah, katanya, rakyat di Simanggang akan beruntung sekiranya memilih DAP lebih banyak usaha dan program bakal dilaksanakan, termasuk:

  • Mendesak kerajaan menyempurnakan Hospital Sri Aman dan memastikan ia beroperasi dalam masa yang singkat;
  • Membangunkan dan memperkenalkan eko-pelancongan di Simanggang;
  • Menentang penyelewengan, rasuah dan GST;
  • Memastikan pembangunan Simanggang tidak diabaikan;
  • Memperbaiki serta mempertingkatkan keadaan kemudahan asas; dan
  • Mempertahankan hak tanah, budaya dan kebebasan beragama

“Saya amat berharap, rakyat Simanggang memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat dan menjadikan Simanggang sejahtera dan lebih baik,” ujar beliau. – Roketkini.com