Berita

Calon DAP N74 Pujut seru rakyat tambah suara pembangkang, tuntut autonomi adil

MIRI, 1 MEI: Calon DAP bagi kawasan N74 Pujut, Dr. Ting Tiong Choon, 51, berpegang teguh kepada prinsip politik ‘pemimpin baik negara maju, pemimpin dungu negara musnah’.

Malah, doktor perubatan ini yakin prinsip itu merupakan aspek terpenting bagi mana-mana ahli politik atau aktivis yang mahu membela nasib rakyat, terutamanya masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak.

Atas dasar itu, beliau menyeru agar rakyat Sarawak berani ubah untuk menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri, serta bangkit mempertahankan autonomi Sarawak.

Beliau menjelaskan, suara pembangkang yang kuat, khususnya dalam tuntutan autonomi yang benar-benar adil, adalah bagi mengelakkan kerajaan pimpinan Tan Sri Adenan Satem tunduk kepada kehendak Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Saya percaya bahawa Sarawak perlu berubah secara menyeluruh tanpa mengira kaum dan agama. Sebab itulah saya menyertai DAP dalam perjuangannya untuk menyelamatkan Malaysia.

“Pemerintahan Barisan Nasional selama ini dikotori oleh sentimen perkauman. Saya berazam, dengan menjadi wakil rakyat DAP, kita dapat melaksanakan dasar-dasar yang mesra rakyat dan mengiktiraf kuasa autonomi Sarawak untuk mencapai negara maju,” katanya.

Berasal dari keluarga miskin di Marudi dekat sini, Tiong Choon melanjutkan pelajaran dalam bidang doktor perubatan di University of New South Wales Australia dengan sokongan kewangan daripada adik-beradik sebelum memulakan perkhidmatannya sebagai doktor di sana.

Sejak remaja, beliau menunjukkan minat mendalam terhadap politik, malah mengambil tahu perkembangan politik seluruh dunia, terutama tsunami politik yang berlaku di Malaysia selepas pilihanraya umum ke-12 pada 2008.

Kecenderungan mengikuti senario politik tempatan membuatkan beliau mula percaya betapa pentingnya politik dan pengaruh haluan politik kepada kehidupan rakyat, sekaligus membangkitkan semangat beliau untuk bekerja keras demi menaik taraf kehidupan masyarakat di negeri tercinta Sarawak.

“Saya bertekad untuk menggalakkan aktiviti pertanian dengan bantuan subsidi dan teknikal dan membina lebih banyak rumah berkualiti tinggi dengan harga munasabah di Sarawak, khususnya di Pujut supaya setiap penduduk mampu memiliki rumah mereka sendiri.

“Pilihanraya kali ini benar-benar menentukan sama ada akan berlakunya perubahan serta pembangunan untuk rakyat Sarawak.

“(Memang) tidak mudah untuk kami menentang Barisan Nasional di sini, tetapi kami sanggup berjuang habis-habisan agar semua penduduk Sarawak boleh mengecapi kesenangan dan kemudahan jika mereka memilih DAP,” katanya.

Dalam pilihanraya kali ini, Tiong Choon bakal berentap dalam pertembungan empat penjuru bersama penyandang calon bebas, Fong Pau Teck, yang sebelum ini merupakan wakil DAP tetapi dipecat atas sebab-sebab disiplin, serta Jofri Jaraiee (PAS) dan Hii King Chong (BN).

DUN N74 Pujut dalam kawasan Parlimen Miri mempunyai 26,202 pengundi yang terdiri daripada 70.4 peratus kaum Cina, Melayu dan Melanau (17.9 peratus), orang Iban (7.5 peratus), Orang Ulu (1.8 peratus), Bidayuh (0.6 peratus) serta lain-lain (1.6 peratus). – Roketkini.com