Berita

Kata-kata “UMNO celaka” tidak menghasut, ADUN DAP bebas tuduhan

GEORGE TOWN, 1 MEI: Mahkamah Sesyen di sini membebaskan Ali Dewan Undangan Negeri Seri Delima, R.S.N Rayer, daripada tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut – dengan menyebut “UMNO celaka” – di ceramahnya di Jalan Delima, Island Glades dekat sini, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat kelmarin oleh Hakim Roslan Hamid selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh manakala perkataan yang digunakan oleh tertuduh tidak membuktikan kecenderungan untuk menghasut.

Menurutnya, Umno bukanlah satu kaum tetapi merupakan sebuah parti politik.

“Dengan ini mahkamah memutuskan pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan kes prima facie dalam kes di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948,” kata beliau.

Rayer juga dilepaskan daripada pertuduhan pilihan yang dihadapinya di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana pihak pendakwaan turut gagal membuktikan elemen menghasut yang dibuat oleh tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit, manakala Rayer pula diwakili barisan peguam diketuai Gobind Singh Deo.

Pada Jun 2014 lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyataannya berkata pertuduhan menghasut terhadap Rayer ini bukan sahaja bermotifkan politik tetapi juga menunjukkan bahawa Peguam Negara menjalankan dasar pilih bulu dan melakukan pendakwaan terpilih.

Menurut beliau, tindakan mendakwa seseorang berdasarkan kenyataan yang dibuat dalam Dewan boleh dianggap sebagai menghina sistem demokrasi berparlimen serta kesucian Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sebagai lembaga tertinggi di negeri tersebut.

Sebulan sebelum itu, pada 22 Mei 2014, lebih 50 orang samseng Pemuda Umno mengadakan demonstrasi di hadapan ibu pejabat DAP di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, kira-kira jam 3 petang.

Mereka telah bertindak biadap dengan mencetuskan provokasi perkauman apabila membawa banner bertulis ‘RSN Rayer anak haram!’ dan ‘Melayu Umno bukan barang dagangan! Mampus DAP!’ dan melaungkan ‘hidup Melayu’ dan ‘hancur DAP’. – Roketkini.com