Berita

Kekalkan kerusi DAP di N46 Meradong untuk elak BN angkuh, tekan rakyat

SARIKEI, 1 MEI: Kesungguhan peguam muda, Ting Tze Fui, membela rakyat serta berani bersuara dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak perlu dihargai dengan mengundi beliau sekali lagi untuk mempertahankan kerusinya di DUN N46 Meradong.

Dikenali sebagai wakil rakyat yang lantang dalam DUN Sarawak, Tze Fui, 35, yang merupakan calon DAP yang ditentang oleh Ding Kuong Hiing, calon Barisan Nasional daripada SUPP, dalam pertandingan satu-lawan-satu.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau banyak membangkitkan isu rakyat setempat, terutamanya melibatkan isu geran tanah dan kemudahan asas, malah tidak lokek mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membantu rakyat.

Beliau juga lantang dan menyokong usul supaya Kerajaan Persekutuan meningkatkan royalti minyak kepada negeri Sarawak, selain membantah pelaksanaan GST.

Kepedulian dan kelantangan wanita gigih ini pernah menyebabkan beliau dilarang masuk dan ditutup mikrofon oleh Speaker Dewan, dan tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat Majlis Daerah hanya kerana suaranya yang ditakuti BN.

Sejak perkhidmatannya di Meradong mulai 2006, banyak perubahan telah berjaya dilakukan seperti menaiktaraf kemudahan awam, memansuhkan tol Jambatan Lanang dan mengekalkan peruntukan kerajaan untuk kawasannya..

“Banyak yang telah berjaya kita lakukan. Ini merupakan hasil yang dibawa oleh DAP apabila kita menang 12 kawasan DUN dalam pilihanraya negeri yang lalu pada 2011.

“Tanpa adanya pembangkang yang kuat, saya percaya rakyat Sarawak akan lebih teruk ditekan kerajaan BN,” katanya kepada Roketkini.

Menurut Tze Fui, walaupun kemajuan berjaya dibawa, ia masih gagal menarik minat golongan muda di kawasan itu kerana ramai telah berhijrah ke kawasan bandar atau ke Semenanjung untuk mendapatkan peluang yang lebih baik.

“Untuk meneruskan perjuangan dan mengekalkan suara yang kuat di DUN Sarawak, terutamanya untuk mendesak kerajaan negeri membangunkan kawasan-kawasan bandar kecil serta menambah peluang pekerjaan, saya menyeru golongan muda yang berada di luar supaya pulang untuk mengundi kali ini,” ujar beliau.

DUN N46 Meradong mempunyai 55 peratus pengundi berketurunan Cina, 41 peratus Iban, 3.2 peratus Melayu dan Melanau serta 0.8 peratus lain-lain, dengan jumlah keseluruhan yang layak mengundi seramai 16,882 pemilih.

Dalam pilihanraya Sarawak yang lalu, Tze Fui Berjaya menewaskan calon BN-SUPP, Ling Kie King, dengan majoriti 2,687 undi. – Roketkini.com