Rencana

Semangat waja DAP hadapi rintangan di N47 Pakan

Pada jam 12 tengahari 25 April 2016, bermulalah pertembungan tiga penjuru yang melibatkan Barisan Nasional, DAP dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang merupakan parti bebas-tapi-mesra-BN di Pakan, Sarawak.

Melibatkan diri dalam pilihanraya Sarawak bersama-sama dengan orang Sarawak, saya sebagai anak Perak dan aktivis DAP, melihat ada kelainan yang sangat nyata. Apakah takrifan pilihanraya negeri kepada orang Sarawak? Apakah yang mereka harapkan daripada calon, khususnya, dan juga kerajaan yang berjaya dibentuk amnya, jika mereka keluar mengundi nanti?

Saya mempelajari banyak benda baru daripada mereka. Daripada pandangan politik, sosial, kepercayaan, budaya, bentuk muka bumi, cuaca Sarawak sehinggalah kepada makanan dan juadah mereka.

pakan01

Perjalanan dengan jalanraya yang ‘kasar’ dan beralun menyaksikan tiada resah di hati rakyat pedalaman Sarawak dengan kemunduran pembangunan di tempat mereka. Bukan kerana mereka redha dengan apa yang ada tetapi itulah yang terpaksa mereka terima daripada kerajaan BN sejak zaman-berzaman. Asal mereka upaya menyara hidup dengan perut kenyang dan rumah yang selesa, maka kemunduran itu bukan sesuatu yang perlu diperjuangkan untuk dipulihkan. Itulah yang dibiarkan BN selama ini.

Pada hari penamaan calon hampir seminggu lalu, muka bundar runching mahupun garis-garis tua yang ada pada wajah warga Pakan di Bahagian Sarikei itu menyaksikan ramai antara mereka taat pada pemerintahan yang ada sekarang. Berbaris dengan berbaju biru Barisan Nasional serta berpayung dengan logo yang dicetak juga bercap, mereka seakan tidak terkesan langsung dengan isu besar cukai GST, skandal 1MDB, dan juga penyelewengan dana wang kerajaan. Kelihatannya pentadbiran rakus kerajaan hari ini masih diterima dan bagai tiada apa-apa yang melukakan hati mereka. Itulah penyokong BN.

BN perguna anak muda

Tanpa deruman motosikal yang kuat dan jeritan sahut menyahut, itu bukan penyokong Barisan Nasional. Bukan di sini sahaja, di Semenanjung juga anak-anak muda dipergunakan sedemikian rupa. Jenama mereka harus menjerit, berkonvoi dan bising baru nampak gah.

Apakah ini acuan generasi pelapis yang mahu dibentuk? Mabuk di jalan raya dan berpesta arak di tempat umum sehingga mencabar kesabaran pihak berkuasa pada masa penamaan calon yang dihadiri oleh semua lapisan masyarakat. Tidak malukan berkelakuan buruk di tempat umum?

Lima penggal Barisan Nasional memerintah, sesungguhnya saya sudah jelak dengan budaya begini. Mempersendakan bangsa sendiri tanpa ada rasa mahu  memartabatkan mereka. Mereka dibiarkan lena dan leka dari mendengar kebenaran isu skandal 1MDB dan penyelewengan dana kerajaan. Mereka tidak dibenarkan rasa sakit dengan implementasi GST, maka diberi BR1M agar ‘gula-gula’ ini boleh memutarbelitkan rasa marah pada pentadbiran. Ini hakikat dan bukan omongan sampah.

Sesungguhnya inilah permainan yang perlu diteruskan oleh pentadbiran agar masyarakat, khususnya mereka di pedalaman Sarawak, jangan sedar dan jangan berjuang. Biar mereka yang di tampuk kuasa BN tentukan bagaimana corak masa depan masyarakat sendiri agar penduduk-penduduk ini tiada ada upaya untuk bersuara.

pakan02

Peluang dan harapan

Berkelana dengan hanya beberapa hari di Bumi Kenyalang ini, saya masih belum ada pandangan sendiri tentang bagaimana peluang calon tiga penjuru yang bertanding di Pakan. Setiap calon ada peluang dan dengan takdir Allah sesiapa sahaja boleh menang.

Rinda Juliza Alexander secara langsung masih baru di arena politik walau sudah lama berkhidmat untuk masyarakat di Sarawak. Melalui pembacaan artikel mengenainya, saya ketahui Rinda dahulunya seorang jururawat yang kini menjadi aktivis politik DAP. Perjuangannya sama seperti anak muda yang kini semakin banyak menyertai DAP. Mahu berjuang kerana enggan lagi melihat penyelewengan yang sangat berleluasa bermaharajalela.

Jiwa anak muda sentiasa bergelora, pemikiran mereka sentiasa berpaksikan pada fakta, penerimaan akal dan akan mudah memberontak walaupun hal-hal yang kecil jika tidak sehaluan dengan hati dan jiwa mereka. Maka jika mereka ini berjuang, perjuangan mereka bukan main-main. Perjuangan mereka benar, telus dan bersungguh-sungguh dan hari ini, pilihlah anak-anak muda yang punya semangat untuk berjuang.

Walaupun untuk mencatatkan sejarah kemenangan DAP di pedalaman Sarawak merupakan sesuatu yang amat sukar, tidak mustahil berlaku keputusan yang mengejutkan jika orang kampung bersedia untuk berani ubah. Memang ia bukan mudah kerana selama ini setiap kali pilihanraya, saya difahamkan, BN berkempen dengan cara mengugut, mengancam dan membuat intimidasi terhadap pengundi. Pada masa yang sama mereka datang menghulurkan ‘gula-gula’ dan bermain sentimen kenegerian.

Hanya pengundi Sarawak yang sedar bahawa semua ini adalah ilusi BN, dan yang penting ialah mereka berani ubah demi kesejahteraan rakyat Sarawak serta generasi masa depan, mungkin tidak mustahil satu sejarah baru dpat dicatatkan di Bumi Kenyalang. – Roketkini.com