Berita

Kerusi N53 Bawang Assan yang tak pernah dimenangi DAP, cabaran hebat buat calon Chiew Sung Ngie

SIBU, 2 MEI: Walaupun ramai pemerhati politik menganggap Sibu, salah satu kawasan bandar utama di Sarawak, sebagai kubu kuat DAP, andaian itu sebenarnya lebih bersifat persepsi berbanding realiti sebenar.

Kawasan DUN N53 Bawang Assan dalam Parlimen Sibu adalah satu-satunya kerusi pengundi bandar yang tidak pernah dimenangi DAP sejak parti itu bertapak di Sarawak pada 1978.

Malah, sewaktu kebangkitan Ubah di Bumi Kenyalang, khususnya pada pilihanraya negeri 2011, DAP memang semua kerusi DUN yang ditandinginya dalam Parlimen Sibu serta kawasan berhampirannya tetapi gagal di Bawang Assan.

Keadaan yang mengecewakan DAP ini disambut dengan kata-kata semangat Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, di sini semalam, yang menyatakan jika DAP mampu menang di Bawang Assan, ia menandakan rakyat Sarawak bersedia untuk mengubah kerajaan dalam pilihanraya negeri akan datang yang dijangka diadakan pada 2021.

Dalam pilihanraya Sarawak kali ini, DUN N53 Bawang Assan menyaksikan persaingan sengit lima penjuru yang merupakan ujian getir buat DAP sama ada mampu atau tidak merampas kerusi tersebut.

DAP mencalonkan Chiew Sung Ngie, 38, seorang usahawan yang merupakan Setiausaha DAP Lanang yang aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan program rakyat pedalaman Impian Sarawak.

Mengakui bahawa pilihanraya kali ini amat mencabar, Sung Ngie berkata, pertembungan lima penjuru di Bawang Assan merupakan salah satu cabaran terbesar DAP selain terpaksa melawan budaya politik wang yang telah menjadi kelaziman parti pemerintah di sini.

Bagaimanapun, beliau merasakan, penerimaan masyarakat terhadap DAP, khususnya di kawasan Bumiputera amat berbeza kali ini setelah DAP melaksanakan beberapa projek Impian Sarawak seperti pemasangan sistem solar bagi menjana bekalan elektrik dan sistem air graviti bagi kawasan yang tiada kemudahan air.

“Ini satu fenomena yang penting. Kita sedar kebanyakan penduduk rumah panjang sebelum ini adalah penyokong kuat BN. Apa yang kita lihat sekarang berbeza dengan yang lalu.

“Sekarang, bila kita datang, tuai rumah akan keluar jemput kita masuk dan duduk bersama. Itu bermakna mereka menerima kita,” katanya kepada Roketkini.com

Menurut beliau, melalui projek-projek Impian Sarawak yang dijalankan, DAP telah membuktikan kepada masyarakat bahawa walaupun DAP bukan kerajaan, tia sudah mampu untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat.

“Melalui kesedaran dan pendidikan politik, kita pergi ke kawasan pedalaman, kita buat program dan memang kita dapat lihat di kawasan rumah panjang,” jelas beliau.

Selain itu, katanya, hubungan baik dengan tuai rumah dan penduduk dapat dikekalkan bagi mengelakkan sebarang masalah dan menjaga imej parti.

“DAP sentiasa komited untuk membantu rakyat, kita sudah buktikan dan kita mampu membawa perubahan. Mereka lihat ini,” ujarnya.

Sung Ngie yang kini sedang bertugas sambil belajar dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perundangan (External), Universiti Malaya itu, berharap pengundi Bawang Assan memilihnya untuk menjadi suara dan ejen semak dan imbang kepada kerajaan, serta mengetengahkan masalah rakyat di sini.

DUN N53 Bawang Assan mempunyai 18,340 pengundi, dengan 55 peratus pengundi keturunan Cina, Iban (38.8 peratus), Melayu dan Melanau (5.3 peratus) dan kaum-kaum lain (0.8 peratus).

Dalam pilihanraya Sarawak 2011, calon BN-SUPP, Datuk Sri Wong Soon Koh menang dengan majoriti 1,808 undi dalam pertandingan satu-lawan-satu menewaskan DAP yang diwakili Alice Lau Kiong Yieng. Kini Alice adalah Ahli Parlimen Lanang setelah menang dalam pilihanraya umum 2013. – Roketkini.com