Berita

Rupa-rupanya ada pengecut di Sarawak pasang kain rentang haram untuk burukkan DAP

SIBURAN, 2 MEI: Calon DAP bagi DUN N19 Mambong, Sanjan Anak Daik, mengecam perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memburuk-burukkan DAP dengan memasang kain rentang tanpa logo atau nama yang memfitnah parti itu dekat sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat pihak yang melakukan perbuatan tidak bermoral seperti itu atas prinsip demokrasi dan pilihanraya adil serta saksama yang didukung negara ini.

“Sejak awal, DAP bertanding dalam pilihanraya negeri ini secara adil, tetapi nampaknya ada orang yang cuba bermain kotor untuk mendapatkan kelebihan dalam pilihanraya.

“Walaupun DAP menghormati demokrasi dan prinsip pilihanraya adil, perbuatan mencetak dan menyebar kain rentang yang memfitnah DAP itu menunjukkan bahawa wujud cubaan jahat untuk menjatuhkan imej parti kepada penduduk,” katanya dalam satu kenyataan media.

banner

Sanjan yang juga Setiausaha DAP Mambong itu berkata demikian ketika mengulas pemasangan kain rentang tanpa logo atau nama yang berbunyi “DAP tidak boleh dipercayai” di kawasan berkenaan.

“Pasukan kempen saya akan membawa perkara ini kepada SPR dan kami akan menggesa SPR menyiasat kes ini secara serius.

“Kami menyeru kepada semua parti yang bertanding agar mendukung prinsip keadilan dalam pilihanraya kali ini dan sama-sama kita jauhi politik kotor. Biar pengundi memilih wakil dan parti yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Menurutnya, penduduk Sarawak sedar tentang pelbagai usaha dan penat lelah DAP dalam membantu kehidupan mereka, terutama melalui program Impian Sarawak yang berjaya menaik taraf kemudahan dan peluang penduduk di negeri itu.

“Di Mambong saja, kami telah menyiapkan 11 projek dalam tiga tahun, termasuk projek membina jambatan, jalanraya, bekalan air terawat, kem pendidikan serta kem kesihatan.

“Keikhlasan kami sudah terbukti dan kami akan tetap meneruskannya untuk tahun-tahun akan datang,” katanya. – Roketkini.com