Berita

Usia muda bukan penghalang calon DAP N17 Stakan berkhidmat demi Sarawak

KUCHING, 3 MEI: Walaupun baru berusia 25 tahun, calon DAP bagi kawasan DUN N17 Stakan, Leslie Ting Xiang Zhi, yakin bahawa ia bukanlah penghalang untuk beliau berbakti dan menjadi pencetus perubahan kepada penduduk Stakan.

Malah, beliau berpendirian bahawa seorang wakil rakyat yang baik diukur melalui sifat ikhlas dan jujur dalam memperjuangkan hak dan keperluan masyarakat, dan bukannya tertakluk kepada umur, pengaruh dan pangkat semata-mata.

Atas dasar itu, Leslie berkata beliau memilih DAP kerana tertarik dengan wadah perjuangan parti untuk membawa perubahan kepada semua masyarakat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama, selain sanggup turun ke padang untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya amat berbesar hati apabila dipilih bertanding di Stakan dalam pilihanraya negeri kali ini. Ia menaikkan lagi semangat saya untuk bekerja dengan lebih keras pada masa hadapan.

“Seiring dengan manifesto DAP yang memberi fokus kepada menaik taraf kehidupan penduduk dengan menawarkan khidmat bas percuma, peningkatan khidmat jalur lebar, autonomi dalam percukaian serta peluang pekerjaan baru, saya berjanji akan memastikan kemudahan-kemudahan itu dinikmati oleh rakyat Sarawak,” katanya.

Berasal dari Kampung Haji Baki, Kota Sentosa, Leslie bergiat aktif dalam program-program kemasyarakatan di kawasan DUN Stakan.

Beliau bekerja sebagai eksekutif pemasaran sejak 2012 dan mula melibatkan diri dalam politik selepas melihat bagaimana ayahnya, seorang ahli DAP untuk lebih 30 tahun serta ibunya, Setiausaha Hal Ehwal Wanita DAP Pending, bekerja keras dalam memastikan hak dan nasib penduduk di Sarawak terbela.

Anak keempat dari lima beradik itu berazam untuk membawa perubahan di Stakan serta tidak kisah bertungkus-lumus bekerja demi kesejahteraan masyarakat setempat dan menjadi suara kepada penduduk di kawasan itu.

Beliau percaya bahawa dengan menjadi wakil rakyat Stakan, DAP akan mampu memberi lebih banyak tekanan kepada kerajaan negeri, seterusnya dapat menjadi ejen semak dan imbang yang baik supaya kehendak rakyat didengari oleh pihak atasan.

Dalam pilihanraya kali ini, Leslie bakal berentap dalam pertarungan satu-lawan-satu dengan calon Barisan Nasional dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Mohamad Ali Mahmud.

N17 Stakan yang merupakan gelanggang baru untuk pilihanraya negeri 7 Mei ini memiliki 14,846 pengundi berdaftar, dengan 7,059 pengundi pos yang membentuk 47.48 peratus. Ia dilihat sebagai kawasan yang memiliki pengundi pos tertinggi di Malaysia.

Kawasan tersebut terdiri daripada orang Melayu dan Melanau (41.9 peratus), Iban (21.9 peratus), kaum Cina (18.0 peratus), Bidayuh (14.1 peratus), Orang Ulu (1.0 peratus) serta lain-lain (3.1 peratus). – Roketkini.com