Berita

Ahli Parlimen DAP Klang hanya diberi peluang 24 jam berada di Sarawak

BINTULU, 4 MEI: Ketika hari pembuangan undi semakin menghampiri detiknya, kerajaan Barisan Nasional di Sarawak dilihat berterusan mengambil tindakan tidak demokratik dan menyalahi perlembagaan Malaysia dengan menghalang pemimpin pembangkang masuk ke negeri berkenaan.

Hari ini Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, ditahan oleh pihak imigresen di Lapangan Terbang Bintulu.

Bagimanapun beliau dibenarkan untuk berada di Sarawak hanya untuk tempoh 24 jam.

Menurut Charles, tindakan itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional takut untuk menghadapi tentangan serta suara-suara perubahan yang ingin dicetuskan pihak pembangkang, khususnya DAP, di negeri berkenaan.

“Apatah lagi ia melanggar Perlembagaan, yang mana membenarkan warganegara ini untuk memasuki Malaysia Timur untuk tujuan aktiviti politik yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merupakan pemimpin pertama yang diberikan tempoh 24 jam seumpama itu.

Sebelum ini, pemimpin DAP yang lain terus dipaksa pulang, atau jika dibenarkan masuk seperti Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, hanya dibenarkan untuk berada di negeri berkenaan sehingga esok. – Roketkini.com