Rencana

Berani Ubah, Sarawak nantik apa gik? (Bahagian 2)

Versi Bahasa Melayu Sarawak
(Untuk versi Bahasa Malaysia, sila lihat di bawah)

*Baca bahagian pertama di sini)
Kamek nangga banyak orang ngepost gambar banner-banner nok digantung di kampong masing-masing. Sejujurnya tok bukan lah benda baruk jadi kinek tok tapi udah beberapa kali terjadi bila tibanya musim pilihan raya. Dan yang udah pastinya memang berlaku di kawasan luar Bandar, di kawasan rumah panjang. Dengan menggantung banner nok berbunyi “ini kawasan Barisan Nasional. Parti pembangkang dilarang masuk”.

Sebenarnya apa nak ditunjuk kitak orang bila molah macam ya? Adakah ya atas sebab kawasan kitak ya nang menar-menar dibangunkan oleh pihak kerajaan kah? Mun benar macam ya cuba kitak bandingkan kawasan lain yang sama DUN atau Parlimen ngan kitak org. Sama kah nisik pembangunan kitak orang tek dengan di tempat sidak nya? Mun sama maka kitak orang nang bertuah dapat YB dan MP yang bagus.

Tapi mun ngak kawasan kitak jak bagus rasa adil atau sik mun macam ya? Di siney rasa sama kemanusian kita ngan sesama bangsa sesama saudara kita sik dapat kemudahan macam yg kita dapat. Dari sia kita nangga YB atau MP yg pilih bulu. Mun kitak rasa bertanggungjawab untuk masyarakat,kitak bertindaklah yang sewajarnya. Tunjuk pada YB atau MP yang kita sik layak di polah macam tok!

Giney rasa ati kitak mun benda ya jadi ngan kitak orang,atau jadi ngan ahli keluarga atau kawan-kawan di kampung? Mun kamek,memang kamek marah. Kita udah milih YB atau MP ya tapi sidak sik ngerja apa yang patut. Sikda pembangunan diberik,sikda pembaharuan di lakukan. Jadi patut atau nisik orang macam ya diberik peluang?

UBAH! Ubah kinek atau selamak nya kita dilayan macam ya. Bila perlu ngagak kita bermulut manis. Milih bulu mun nak merik pembangunan dan pembaharuan.Udah dapat mandat nak nangga batang hidung pun susah! Sama lah gia untuk sidak calon dari pihak pembangkang. Waima kitak kalah kelak kah,jangan lalu putus asa. Sekali sekala,datang ngabas kawasan san kitak stand ya. Baruklah kali orang tok tauk nok kitak sebenar nya nang serius maok jadi wakil rakyat sidak. Bukan nya telus masa nak pilihan raya ajak bah.

Dekat siney-siney rasanya sama jak isu tentang anak mudak nok malas mok amik peduli gilak tentang politik. Bila di tanyak kenak sik maok ngundi atau kenak sik maok daftar sebagai pengundi jawapan nya dah kedak standardize jak semua. “Malas ku lalek ngan politik eh. Sikda nguntong aku. Nyuruh penin palak jak”.

Adik-adik,abang-abang,kakak-kakak tuk kamek nak madah sikit. Generasi kita tuk lah yang bakal nentu hala tuju politik negara kita. Kerna kita tuk lah ada kuasa untuk nentu siapa di atas. Gunalah kuasa yang ada pada kita. Kuasa memilih!

Besar tanggungjawab kita tok bila nentu siapa yang bakal mentadbir negara atau negeri kita. Kelak bila sik dapat peruntukan untuk molah program atau tajaan atau sik dapat derma kitak orang ya lah bising. Yang sik ngundi,yg sik bertanggungjawab tok lah yg bising lebih. Sebab ya kamek menar-menar nak nekan hal tok. ANAK MUDA,SILA AMBIK TAUK HAL POLITIK!

Mun kitak nak nutup mata dengan segala salah guna kuasa atau penyelewengan oleh pihak kerajaan, silakan. Ya hak kitak. Tapi, dengan adanya sikap ambik tauk tok kelak benda yalah akan molah kita mupok untuk peduli kenak pihak pembangkang mala ngeluar isu camtok,mala carik salah laku sidak kerajaan. Sebab nak nunjuk ngan kitak orang,Barisan Nasional bukan nya bagus gilak seperti yang kitak orang mikir.

Bukak mata,bukak pikiran kitak. Jangan mudah dibeli dengan wang ringgit. Duit nang penting kinek tok dengan keadaan ekonomi kita yang teruk. Barang nait rega,rega minyak kejap nait kejap turun,kemudahan asas manusia seakan masih sik ada perubahan. Pikir balit, siapa yg meletak kita semua dalam keadaan tok mun bukan kerajaan yang mentadbir kita selamak tok.

Akhir kata dari kamek, kerajaan negeri pusat atau seluruh Barisan Nasional menganggap Sarawak dengan Sabah tok sebagai fixed deposit sidak. Maksud nya,apa-apa pun jadi di semenanjung nun,Sarawak Sabah tok lah yang akan nyelamat sidak. Kita tok di pandang remeh oleh sidak nya. Kenak kamek madah gia? Tangga lah apa yang sidak mulang balit ke kita? Setimpal kah nisik dengan segala “penyelamatan” yang udah di polah kita selamak tok? Tok Nan dirik pun masih cuba berunding dengan Najib mintak jumlah royalti yg sepatutnya milik Sarawak dari zaman Tun Hussein Onn lagik (ingat kejadian tragedi Double 6?). Tapi ada Najib merik ngan kita? Sik ada! No Sarawak No Putrajaya.

Tapi apa nok kita di Sarawak tok ada? Sarawak ada kawasan-kawasan yang masih sik dapat bekalan air bersih. Sarawak ada kampung-kampung yang jalan bertanah merah yang lecak menjadi satu-satunya jalan keluar masuk yang ada. Sarawak ada kawasan bila malam sia sitok nengar bunyi enjin generator pakey nyambung bekalan eletrik ke rumah-rumah. Sarawak juak masih ada pengangkutan awam yang BELUM percuma.

Dan yang lucu nya nak, bila orang luar dari Sarawak nganok Sarawak ketinggalan atau masih jauh dibelakang tauk pulak kitak orang nak moha. Padahal, yalah realiti hampir keseluruhan tempat kita disinun! Kamek berharap, di hari pengundian tok kelak kitak berfikir lah sewarasnya sebelum memangkah. Ingat,kuasa memilih ditangan anda. Iboh takut ngambik risiko untuk berubah. Percayaklah bahawa ada perubahan ya kelak untuk kebaikan kita bersama.

 


 

Versi Bahasa Malaysia:

Saya perhatikan banyak orang pos gambar banner yang digantung di kampung masing-masing. Sejujurnya ini bukan benda baru terjadi kini tetapi sudah sering kali terjadi bila tibanya musim pilihan raya. Dan yang sudah pastinya memang berlaku di kawasan luar bandar, di kawasan rumah panjang. Dengan menggantung yang berbunyi “ini kawasan Barisan Nasional. Parti pembangkang dilarang masuk”.

Sebenarnya apa yang ingin dibuktikan kalian bila berbuat yang sedemikian? Adakah atas sebab kawasan kalian itu memang benar-benar dibangunkan oleh pihak kerajaan? Jika benar begitu maka cuba awak bandingkan kawasan lain yang sama DUN atau Parlimen dengan kalian. Sama ratakah pembangunan kalian dengan tempat mereka? Jika sama maka beruntunglah kalian kerana memiliki YB dan MP yang bagus.

Tapi jika hanya kawasan kalian sahaja yang bagus adakah anda merasa adil atau tidak? Di mana rasa kemanusiaan kita terhadap sesama bangsa atau sesama saudara kita yang tidak dapat kemudahan yang sama seperti kita. Dari situ kita dapat menilai YB atau MP yang pilih kasih. Jika anda merasa bertanggungjawab untuk masyarakat, anda bertindaklah yang sewajarnya. Tunjuk pada YB atau MP bahawa kita tidak layak dilayan sebegini.

Apa yang anda rasa jika perkara ini terjadi kepada anda sendiri, atau ahli keluarga atau kawan-kawan di kampung? Jika saya, memang saya marah. Kita susah memilih YB atau MP tersebut tapi mereka tidak melakukan apa yang patut. Tiada pembangunan diberi, tiada pembaharuan dilakukan. Jadi, patut atau tidak orang sebegini diberi peluang?

UBAH! Ubah sekarang atau selamanya kita dilayan sebegini. Bila perlu baru datang bermulut manis. Pilih kasih bila hendak beri pembangunan dan pembaharuan. Sudah dapat mandate nak tengok batang hidung pun susah! Samalah kiranya untuk calon dari pihak pembangkang. Walaupun anda kalah nanti, jangan terus putus asa. Sekali sekala datanglah melawat kawasan tempat anda stand itu. Barangkali nanti orang akan tahu yang anda sebenarnya memang berniat mahu menjadi wakil rakyat mereka. Bukan hanya muncul masa musim pilihanraya sahaja.

Di mana-mana rasanya sama saja isu tentang anak muda yang malas nak ambil tahu sangat tentang politik. Bila ditanya kenapa mereka tidak mahu mengundi atau mendaftar sebagai pengundi jawapan nya dah seakan standardize saja semua. “Malas lah nak peduli pasal politik. tak bagi keuntungan kat aku. Bagi kepala pening saja”. Adik-adik, abang-abang, kakak-kakak ni saya nak cakap sikit. Generasi kita inilah yang bakal menentukan hala tuju politik negara kita. Kerana kita ada kuasa untuk menentukan siapa di atas. Gunalah kuasa yang ada pada kita. Kuasa memilih!

Besar tanggungjawab kita bila menentukan siapa yang bakal mentadbir negara atau negeri kita. Nanti bila tidak dapat peruntukan untuk buat program atau tajaan atau tidak dapat derma kalian jugaklah yang akan bising. Yang tidak mengundi, yang tidak bertanggungjawab inilah yang bising lebih. Kerana itulah saya benar-benar menekankan hal ini. ANAK MUDA, SILA AMBIL TAHU TENTANG POLITIK!

Jika anda ingin tutup mata dengan segala salah guna kuasa atau penyelewengan oleh pihak kerajaan, silakan. Itu hak anda. Tapi, dengan adanya sikap ambil tahu ini kelak akan menyebabkan anda sedikit sebanyak untuk mula peduli kenapa pihak pembangkang sentiasa mengeluarkan sekian-sekian isu, sentiasa mencari salah laku pihak kerajaan. Kerana ingin membuktikan pada kalian, Barisan Nasional tidaklah sebagus yang anda fikirkan.

Buka mata, buka fikiran anda. Jangan mudah dibeli dengan wang ringgit. Duit memang penting sekarang dengan keadaan ekonomi kita yang teruk. Barang naik harga, harga minyak sekejap naik sekejap turun, kemudahan asas manusia seakan masih tiada perubahan. Fikir semula, siapa yang meletakkan kita semua dalam keadaan ini jika bukan kerajaan yang mentadbir kita selama ini.

Akhir kata dari saya, kerajaan negeri pusat atau seluruh Barisan Nasional menganggap Sarawak dengan Sabah ini sebagai fixed deposit mereka. Maksudnya,apa-apa pun yang terjadi di Semenanjung, Sarawak dan Sabah inilah yang akan menyelamatkan mereka. Kita ini dipandang remeh oleh mereka. Kenapa saya berkata begitu? Lihatlah apa yang mereka pulangkan kepada kita? Setimpal atau tidak dengan segala “penyelamatan” yang telah dilakukan kita selama ini? Tok Nan sendiri pun masih cuba berunding dengan Najib minta jumlah royalti yg sepatutnya milik Sarawak dari zaman Tun Hussein Onn lagi (ingat kejadian tragedi Double 6?). Tapi ada Najib berikan kepada kita? Tidak ada! No Sarawak, No Putrajaya.

Tapi apa yang kita ada di Sarawak? Sarawak ada kawasan-kawasan yang masih tidak dapat bekalan air bersih. Sarawak ada kampung-kampung yang jalan bertanah merah yang lecak menjadi satu-satunya jalan keluar masuk yang ada. Sarawak ada kawasan bila malam sana sini kedengaran bunyi enjin generator sebagai penyambung bekalan elektrik ke rumah-rumah. Sarawak juga masih ada pengangkutan awam yang BELUM percuma.

Dan yang lucu nya kan, bila orang luar dari Sarawak kutuk Sarawak ketinggalan atau masih jauh di belakang tahu pula kalian naik angin. Padahal, itulah realiti hampir keseluruhan tempat kita di sana! Saya berharap, di hari pengundian ini nanti berfikirlah anda sewarasnya sebelum memangkah. Ingat,kuasa memilih di tangan anda. Jangan takut ambil risiko untuk berubah. Percayalah bahawa ada perubahan ya kemudian untuk kebaikan kita bersama. – Roketkini.com