Berita

Jika rizab Sarawak berpuluh bilion ringgit, mana hasilnya kepada rakyat Sarawak?

SERIAN, 4 MEI: Jika benar rizab Sarawak yang terkumpul adalah RM27 bilion, mengapa pendapatan pekerja di negeri itu masih terlalu rendah berbanding negeri-negeri Pakatan Harapan?

Mengapa banyak projek infrastruktur untuk rakyat Sarawak tidak dilaksanakan walaupun sudah berkali-kali dijanjikan?

Persoalan itu dibangkitkan oleh Pengarah Pendidikan Politik DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong, bagi menjawab dakwaan pimpinan Barisan Nasional yang bangga dengan rizab Sarawak yang besar itu.

“Kadar purata pendapatan sebulan bagi rakyat Sarawak adalah masih di bawah RM2,000, iaitu RM1,948. Ianya 15 peratus rendah daripada min gaji negara.

“Dibandingkan dengan Pulau Pinang, iaitu RM2,263 dan Selangor, RM 2,629, malah Johor, RM2,394 di mana min gaji bulanan lebih tinggi daripada purata negara.

“Apa yang lebih menyedihkan, 50 peratus pekerja di Sarawak menerima gaji bulanan kurang daripada RM1,300. Sarawak diletakkan sebagai negeri keempat yang menerima gaji median terendah selepas Sabah dan Kelantan, RM1,020 dan Terengganu, RM1,200,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak di dalam blognya yang mahu bangga diri bahawa rizab yang dikumpul kerajaan negeri Sarawak adalah lebih tinggi berbanding kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, ingin tahu ke mana perginya rizab Sarawak tersebut yang sepatutnya disalurkan untuk tujuan pembangunan infrastruktur asas seperti hospital, loji rawatan air dan sekolah yang tidak pula diutamakan kerajaan negeri.

Sebagai contoh, katanya, Hospital Serian yang terpaksa menampung lebih daripada 150,000 pesakit tidak pernah menerima sebarang penambahbaikan sejak ia dibina pada 1971.

“Loji rawatan air Slabi yang dibina pada 2013 dan menelan belanja RM113 juta dijanjikan kononnya akan menyalurkan air paip terawat ke sekitar 90 peratus kawasan Serian.

“Bagaimanapun ianya tidak terlaksana seperti yang diharapkan, BN terus menerus menyogok rakyat Sarawak dengan “tong biru” dalam kempen-kempen politiknya di kampung-kampung kerana di tempat berkenaan masih tidak ada akses kepada air paip yang terawat,” ujarnya.

Tambah Steven, Sekolah Menengah Kebangsaan Serian kedua yang dijanjikan kerajaan BN dan telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010) masih tidak dibina sehingga kini meskipun kini sudah melalui fasa Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020).

“Jelas sekali, dana itu ada, tapi ianya tidak disalurkan kepada golongan biasa di Sarawak. Persoalannya, siapa yang mengaut semua hasil kekayaan itu?,” katanya.

Beliau menyifatkan satu undi buat BN adalah sama seperti menyerahkan “cek kosong” kekayaan negeri Sarawak yang kini kian menipis. – Roketkini.com