Berita

Rakyat Sarawak perlu hukum Adenan dan BN kerana sokong GST

KUCHING, 4 MEI: Lain dikata lain pula dituduh. Adakah pemangku Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem tidak faham isu GST atau cuba timbulkan fitnah?

Sehubungan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mencabar Adenan menunjukkan bukti bahawa beliau (Guan Eng) pernah mengatakan akan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di Sarawak jika DAP menang dalam pilihanraya negeri Sabtu ini.

Jika Adenan tidak dapat memberi bukti, katanya, ia menunjukkan bahawa pemangku Ketua Menteri itu merupakan seorang yang tidak boleh dipercayai kerana bukan sahaja membuat tuduhan palsu, malah menghalang pemimpin pembangkang dari Semenanjung masuk ke Sarawak.

“Saya tidak pernah berkata bahawa DAP akan memansuhkan GST di Sarawak jika menang. Apa yang saya kata ialah rakyat harus menghukum BN dan Adenan kerana membenarkan GST dilaksanakan dan membebankan rakyat.

“GST adalah undang-undang Persekutuan dan hanya boleh dihapuskan di peringkat Parlimen, bukannya kerajaan negeri.

“Namun, Adenan mesti bertanggungjawab untuk pelaksanaan GST di Sarawak kerana beliau dan kesemua 25 ahli parlimen BN turut menyokong Akta GST di Parlimen sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Setiausaha Agung DAP itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Adenan yang mengelirukan, seolah-olah beliau tidak faham isu, bahawa DAP dan PKR perlu memansuhkan GST di Pulau Pinang dan Selangor terlebih dahulu sebelum mahu mengusulkan idea itu di Sarawak.

Menurut Guan Eng, walaupun kerajaan negeri tidak boleh memansuhkan GST, Pulau Pinang mencuba sedaya-upaya mengurangkan beban rakyat yang ingin menikmati perkhidmatan awam di negeri itu dengan membayar GST bagi pihak mereka.

“Rakyat perlu membayar cukai GST untuk tempat letak kereta dan sewa dewan. Namun di Pulau Pinang, GST ditanggung oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan kos sebanyak RM20 juta setahun.

“Saya kesal Adenan memilih untuk terus menyokong GST. Sepatutnya, beliau bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang atau Selangor untuk menentang pelaksanaan GST bagi perkhidmatan kerajaan dan projek awam seperti membuat jalan dan longkang,” katanya. – Roketkini.com