Berita

DUN N49 Ngemah perlu akses jalan lebih baik, calon DAP tawar suara desak kerajaan

KANOWIT, 5 MEI: Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran sewaktu menjalankan kempen di kawasan N49 Ngemah di sini, calon DAP, Richard Anak Lias, tetap tampak bersemangat untuk menyampaikan aspirasi parti kepada masyarakat.

Dalam satu kempennya yang terpaksa mengharungi lapan jam perjalanan menaiki bot untuk sampai ke kawasan Ulu Ngemah, Richard, 57, dengan keletihan yang tidak terungkap, masih sempat tersenyum dan bersalaman serta beramah mesra dengan penduduk rumah panjang yang dilawatinya.

Namun, dalam kegembiraan dan semangat yang ditonjolkannya itu, tetap ada kekesalan dan keresahan yang dirasakannya perlu untuk disuarakan, terutamanya berkaitan pembangunan desa atau luar bandar yang terlalu jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kawasan di bandar.

Kerana itulah Richard berharap diberi peluang menjadi wakil rakyat Ngemah untuk menyuarakan segala permasalahan utama, khususnya berkaitan akses jalan raya yang mudah dan selamat, yang tidak pernah dinikmati penduduk sejak 53 tahun BN memerintah Sarawak.

“Jika saya dipilih, saya akan desak kerajaan BN Sarawak untuk laksanakan apa yang seharusnya diperlukan penduduk di sini.

“Tetapi jika Pakatan Harapan dapat membentuk kerajaan, ia akan lebih baik,” ujarnya yang pernah mendapat pendidikan di Institut Teknologi Mara (ITM) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan.

Walaupun kawasan luar bandar sering dilabel sebagai “simpanan tetap” kerajaan BN, menurut Richard, tanggapan itu tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk terus bekerja dan mempertahankan hak rakyat Sarawak daripada terus dicabuli oleh pemimpin rakus BN.

Beliau yang berketurunan Iban turut aktif dalam lapangan aktivisme, malah aktif dalam sebuah badan NGO yang lantang memperjuangkan tanah adat, Kongres Kebangsaan Dayak dan turut memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung badan berkenaan.

Selain itu, Richard yang juga merupakan seorang usahawan, turut pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya Ahli Majlis Kawasan Sibu, dari 1999 hingga 2006, Ahli Jawatankuasa Sibu Kidney Foundation (2009-2013), dan merupakan Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak sehingga kini.

Ngemah merupakan kawasan majoritinya adalah luar bandar dan sungai adalah akses utama untuk sampai ke kawasan penduduk di sini. Mempunyai 8,899 bilangan pengundi dengan kaum Iban menjadi penduduk teramai di sini, 91.9 peratus, diikuti kaum Cina (6.9%) dan lain-lain (1.2%).

Kawasan ini bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Richard dengan penyandang kerusi DUN Ngemah terdahulu, Alexander Vincent dari Barisan Nasional, Thomas Laja Besi (PKR), Joseph Jawa Kendawang (Bebas).

Alexander memenangi kerusi DUN N43 (kini N49) Ngemah pada pilihanraya negeri Sarawak yang lalu dengan majoriti hanya 995 undi, sekaligus mengalahkan lawannya, Yakup Bin Khalid (Bebas), Gabriel Adit Demong (PCM), Micheal Anak Lias (SNAP) dan Aris Anak Alap (PR). – Roketkini.com